Sunday, 14 October 2018

20180909 RAJA-RAJA - PUNGUTAN SUARA ( REFERENDUM ) PERLU DIADAKAN

RAJA-RAJA - PUNGUTAN  SUARA ( REFERENDUM )
PERLU  DIADAKAN

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 09/09/18
( 1 -  23 )

1.  Hari ini rakyat meraikan Hari Keputeraan rasmi Yang Di Pertuan Agong.

2.  Buat pertama kali dalam sejarah negara tidak ada sebarang pengurniaan anugerah kebesaran diberikan kepada sesiapa pun atau dalam erti kata lain tidak ada sebarang Bintang dan Pingat  pun diberi pada tahun ini.

3.  Sebenarnya anugerah sedemikian bolehlah disamakan seperti Sijil Pelajaran, ia hanya diberi kepada mereka yang telah lulus peperiksaan saja.

4.  Mereka yang telah berkhidmat dengan baik dan berjasa kepada negara dan negeri sahaja yang sepatutnya diberi penghormatan menerima anugerah sedemikian.

5.  Amalan memberi anugerah  secara sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja tanpa menggambil kira latar belakang sesaorang penerima seharusnya diberhentikan serta merta mulai sekarang.

6.  Cukuplah dengan cakap - cakap kononnya  ada seorang Sultan dan keluarga beliau dari Pantai Timur yang menjual Pingat Datuk dan Datuk Seri kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar pada harga yang ditetapkan.

7.  Difahamkan amalan itu telah dilakukan sejak sekian lama setiap kali  menyambut Hari Kelahiran Sultan tersebut.

8.  Hasil dari perbuatan  tersebut, kita sering kedengaran bagaimana segala jenis manusia termasuk kaki busuk seperti samseng,  penipu dan perompak dengan mudah menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri di merata-rata.

9.  Perbuatan  sebegini  sudah tentu mengguris perasaan mereka yang benar - benar layak sama ada yang telah dianugerahkan atau yang masih menunggu untuk diberikan sesuatu anugerah.

10.  Ada juga pingat  diberi lagi kepada orang yang sama beberapa kali seolah-olah jasanya sangat besar, sedangkan biasanya orang berkenaan selalunya hanyalah ‘kaki mengampu’ saja.

11.  Sebagai perbezaan , di England  misalnya, pingat HANYA  diberi kepada beberapa orang sahaja dari sekian ramai yang layak
menerimanya.

12.  Cliff Richard , penyanyi terkemuka dunia dan Paul Mac Cartney dari kumpulan The Beatles sebagai contoh, mereka hanya menerima gelaran ' Sir ' dari Ratu Elizabeth selepas berpuluh tahun berkecimpung dalam industri hiburan, tidak seperti di sini bersepah-sepah artis diberikan gelaran Datuk dan Datuk Seri.

13.  Sebagai makluman, gelaran 'Sir' adalah lebih kurang sama gelaran Datuk atau Datuk Seri di negara kita.

14.  Amalan  memberi dan menjual gelaran-gelaran tersebut seperti ‘kacang putih’ perlu dihentikan serta merta.

15.  Allahyarham bapa saya, Tun Abdul Ghafar Baba hanya bersetuju menerima Anugerah Negara selepas beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, itu pun setelah beberapa kali dipujuk rayu oleh kerajaan dan ahli keluarga - ALFATIHAH !!

16.  Pendirian Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri  berhubung pemberian sebarang pingat dan anugerah seharusnya dijadikan panduan setiap negeri terutama negeri - negeri yang diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan ( PH ).  Menteri Besar dan Ketua Menteri MESTI  BERTEGAS  memaklumkan pendirian ini kepada Raja dan Gabenor mereka; lagi pun Raja-Raja hanyalah manusia biasa, bukan Tuhan atau malaikat yang perlu ditakuti.

17.   Malaysia sudah Merdeka selama  61 tahun dan kini negara  pula di ketuai oleh Agong yang ke 15, maka sudah sampai masanya perubahan segera dilakukan.

18.   Rakyat kini mahu tahu apakah sejumlah wang yang besar hasil titik peluh mereka berbaloi dibelanjakan demi  kesenangan dan kemewahan Raja -Raja dan keluarga mereka?

19.   Saya amat terharu melihat bagaimana petani dan pesawah membanting tulang , bagaimana nelayan menyabung nyawa menempuh ombak gelora, bagaimana pemandu teksi dan pengangkutan lain menyengkang  mata dan bagaimana geladangan tidur di kaki-kaki lima kerana kesusahan  hidup  mencari rezeki - ini semua dilakukan mereka demi mencari sesuap nasi untuk diri dan keluarga mereka, sedangkan pada masa yang sama ada segelintir manusia yang tidak cukup - cukup melayani nafsu mereka dan keluarga dengan  kemewahan hidup seolah-olah itulah syurga mereka.

20. Jika sekiranya Kerajaan PH pimpinan  Tun Dr. Mahathir tidak mahu dituduh sekali lagi sebagai tidak sensitif terhadap Istana, maka saya kini mencadangkan Pungutan Suara atau Referendum harus diadakan dalam masa terdekat ini bagi mengetahui sama ada rakyat setuju atau tidak setiap sen yang dibelanjakan kepada  Agong dan Raja - Raja hendaklah dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Negeri, ATAU mereka tidak peduli sebanyak mana wang rakyat diperuntukan kepada setiap Istana?

21. Di England dan Negara - Negara Eropah yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan seperti Malaysia, setiap sen yang di diperuntukkan kepada Raja mereka MESTI  terlebih dahulu mendapat persetujuan Parlimen.

22. Semoga cadangan  Pungutan Suara atau Referendum ini akan meningkatkan lagi penghormatan rakyat terhadap Raja - Raja sebagai payung kepada rakyat.

23. Sila kongsikan padangan ikhlas saya ini dengan seluas-luasnya.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment