SULTAN - HINDARKAN SIFAT
MAZMUMAH
Tamrin Tun Ghafar
Rabu 25/04/18
( 1 - 41 )
1. Selepas wafatnya Baginda Rasullullah, para sahabat enggan menerima jawatan Ketua atau Khalifah kerana takutnya mereka terhadap balasan ALLAH SWT diatas kelemahan dan kesalahan - kesalahan yang mungkin dilakukan mereka tanpa disedari mata kasar rakyat.
2. Diatas ketakutan itulah mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.
3. Sepatutnya setiap individu yang telah diangkat dan diamanahkan oleh rakyat jelata sebagai pemimpin sama ada Ketua Kerajaan mahu pun Sultan MESTILAH melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sifat Mahmudah seperti yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah dan para sahabat.
4. Imam Al Ghazali didalam Kitabnya 'Arbain Fi Usuluddin' telah menggariskan 10 Sifat Mahmudah ( Terpuji ) dan 10 Sifat Mazmumah ( Keji ).
5. 10 Sifat Mahmudah :
a. Taubat
b. Khauf ( Takut )
c. Zuhud
d. Sabar
e. Syukur
f. Ikhlas
g. Tawakkal
h. Mahabbah ( Kasih Sayang )
i. Redha
j. Zakrul Maut ( Mengingati Mati )
6. 10 Sifat Mazmumah :
a. Banyak Makan
b. Banyak Bercakap
c. Marah
d. Hasad
e. Bakhil
f. Cintakan Kemegahan
g. Cintakan Dunia
h. Bangga Diri
i. Ujub ( Hairan Diri )
j. Riak ( Menunjuk - nunjuk ).
7. Di negara kita , seperti juga Raja - Raja di England dan di Eropah, Sultan atau Raja adalah terikat kepada Perlembagaan dan Undang - Undang Negara kerana mereka adalah Raja Berperlembagaan BUKAN Raja Mutlak.
8. Perlembagaan Negara adalah ‘Supreme’ atau duduknya di atas sekali , justeru Sultan juga seperti rakyat jelata harus akur dan menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang.
9. Sultan TIDAK BOLEH bertindak sesuka hati mengikut selera dan cita rasa mereka.
10. Negara ini adalah hak rakyat BUKAN hak Sultan.
11. 'Tiada rakyat maka tiada Sultan’ - itu adalah kata - kata arwah ayah saya Abdul Ghafar Baba ( Tun ) semasa beliau membentangkan Rang Undang - Undang bersabit penubuhan Mahkamah Khas bagi membicarakan mana - mana Sultan yang melakukan sebarang kesalahan.
12. Sultan hanya diberi perlindungan kekebalan atau immuniti semasa menjalankan tugasan rasmi sahaja dan jika bersalah boleh dibicarakan di Mahkamah Khas.
13. Jika sekiranya sebarang kesalahan dilakukan di luar tugasan rasmi, maka Sultan boleh diheret ke mana - mana mahkamah.
14. Keluarga Sultan seperti Tengku Mahkota, Raja Muda, Tengku Bendahara, Tengku Laksamana dan lain - lain TIDAK ada sebarang perlindungan kekebalan atau immuniti pun, justeru mereka boleh diheret ke mahkamah pada bila - bila masa sahaja apabila melakukan sebarang kesalahan. Dari segi undang-undang, mereka adalah sama seperti rakyat biasa.
15. Di England, Queen Elizabeth dan keluarganya pun terpaksa membayar segala bentuk cukai seperti rakyat biasa yang lain.
16. Difahamkan di suatu ketika dahulu, setiap Sultan hanya dibenar membeli 6 buah kereta untuk kegunaan peribadi tanpa perlu membayar cukai import dan cukai jalan, tetapi setelah menonton beberapa video, Sultan Johor dan keluarganya didapati mempunyai kira - kira 300 buah kereta mewah. Sama ada kenderaan tersebut sudah dibayar cukai import dan cukai jalan - Wallahhuallam !!
17. Rakyat pula terpaksa berkerja keras bagi menyediakan
wang deposit, penjamin dan sebagainya untuk membeli kereta.
18. Sultan dan keluarga harus bersyukur diatas segala nikmat dan kemewahan yang dikecapi selama ini.
19. Apa yang rakyat harapkan dari seseorang Sultan ialah agar mereka menjalankan tugas yang telah diamanahkan mengikut Perlembagaan dan Undang - Undang.
20. Dalam tulisan saya 'FAKTA YANG TAK BOLEH DI PADAMKAN' pada Khamis 23/11/17 dan 'SULTAN BUKAN TUHAN’ pada Isnin 05/03/18 , saya telah sedikit sebanyak menyentuh perkara - perkara berhubung dengan pindaan-pindaan Perlembagaan Negara. Tulisan itu boleh dibaca di sini - tamrintunghafar.blogspot.my
21. Sebelum pindaan tersebut rakyat sering membaca dan mendengar berita - berita bagaimana beberapa insiden jenayah yang dilakukan oleh Sultan Johor ketika itu terhadap rakyat marhaen.
22. Sebagai contoh, bagaimana seorang budak Melayu dipukul dipadang golf sehingga membawa kematian, seorang rakyat lain yang berketurunan Cina maut ditembak pada jarak dekat atas alasan pemuda tersebut seorang penyeludup, bagaimana dua orang rakyat berketurunan India dibelasah dengan begitu teruk oleh Sultan yang dibantu oleh beberapa pengawal peribadinya dengan menggunakan tong gas masak diatas kesalahan memotong kereta yang dipandu oleh Sultan.
23. Kes bagaimana seorang jurulatih hoki , Douglas Gomez dicederakan oleh Sultan Johor merupakan kemuncak hilangnya kesabaran rakyat terhadap kelakuan Istana.
24. Bahang kemarahan rakyat terhadap Sultan begitu membara.
25. Sebagai Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir telah diberi kata dua - selamatkan rakyat atau selamatkan Institusi Raja.
26. Dengan meminda Perlembagaan, Tun Dr. Mahathir bukan sahaja dapat menyelamatkan rakyat dari terus dizalimi tetapi dalam masa yang sama beliau juga berjaya menyelamatkan Institusi Raja.
27. Mungkin oleh kerana perkara tersebut berlaku semasa kebanyakan Sultan kini ketika itu muda atau mungkin ada yang sedang belajar di luar negara, maka ia menyebabkan mereka mungkin samar - samar tentang fakta sebenar.
28. Dengan pendedahan ini , jika tidak mahu berterima kasih pun kepada Tun Dr. Mahathir di atas keikhlasan beliau menyelamatkan keadaan , saya memohon terutama kepada mana - mana Sultan tak perlulah berdendam dan membenci terhadap beliau secara keterlaluan.
29. Sultan sebenarnya bukanlah Dewa atau Malaikat yang turun dari langit , jauh sekali jika dibandingkan dengan Firaun yang merasai diri mereka sebagai Tuhan.
30. Sedar atau tidak, setiap kali kita Sujud kepadaNya , pungkok ( bahasa Kedah yang bermaksud punggung ) kita lebih tinggi dari muka - itu bermakna seseorang itu janganlah nak bermegah - megah sangat dengan kedudukan dan kemewahan yang ALLAH SWT berikan.
31. Tindakan Tunku Mahkota Johor baru - baru ini menginfak atau menderma sebanyak RM1 juta kepada rakyat Johor di sebuah Pasaraya adalah dialu-alukan.
32. Tetapi, alangkah lebih berkesan jika Sultan dan anaknya itu menggunakan kekayan yang ada untuk membantu keseluruhan rakyat Bangsa Johor yang majoritinya sedang di bebani kos sara hidup yang begitu tinggi.
33. Berhubung PRU yang akan berlangsung pada Rabu 09/05/18 ini , walaupun saya adalah Bangsa Melaka tetapi saya ingin mengingatkan rakyat Bangsa Johor dan keseluruhannya bahawa Sultan dan ahli keluarga mereka TIDAK ADA HAK
mencampuri, mempengaruhi atau menentukan siapa yang harus jadi calon dalam pilihanraya dan siapa pula yang tidak diperkenankan.
34. Hak mengundi adalah hak mutlak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
35. Jika Tunku Mahkota Johor benar - benar prihatin terhadap kebajikan rakyat, saya sarankan beliau menyerahkan takhta dan bertanding dalam PRU ini. Jika menang, Sultan bolehlah melantik anaknya itu sebagai MB Johor yang baru.
36. Mungkin dengan kombinasi Ayah sebagai Sultan dan anak sebagai MB, Negeri Johor akan lebih maju lagi.
37. Mengakhiri tulisan saya ini, elok kita semua termasuk Sultan dan ahli keluarga mereka agar lebih mengingati tentang mati dan balasanNya kelak sambil membaca, menghayati dan memahami Surah Al Ghaasyiyah ( 88 ) di m/s 592.
38. Segala pangkat, darjat, kekayaan, kemewahan dan istana-istana AKAN kita tinggalkan buat selama - lamanya apabila sampai masa kita dipanggil mengadap Tuhan.
39. Ketika jasad kita dikebumikan, tidak akan ada seorang pun pengawal perbadi atau Askar Timbalan Setia yang akan bersetuju menemani kita disana kelak. Yang ada ialah iman dan amalan kita sahaja.
40. Amalkanlah Sifat Mahmudah dan tinggalkan Sifat - Sifat Mazmumah.
41. Semoga Sultan, ahli keluarga dan rakyat jelata menerima pandangan ikhlas saya ini dengan hati yang terbuka.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment