Sunday, 11 August 2019

20190127 TAKKAN DAH TERHANTUK MASIH TAK TERNGADAH

TAKKAN  DAH  TERHANTUK  MASIH  TAK  TERNGADAH

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 27/01/19
( 1 -  23 )

1.  Kemenangan besar UMNO / Barisan Nasional atau BN pada Pilihan Raya Kecil ( PRK ) Cameron Highlands yang berlangsung semalam hari Sabtu 26hb Januari adalah bukti bahawa kuasa sebenar  berada di tangan rakyat.

2.  Sudah beberapa kali saya mengingatkan jika UMNO / BN yang telah memerintah selama 61 tahun boleh ditumbangkan , maka rakyat juga boleh menurunkan Kerajaan Pakatan Harapan atau PH dengan sekelip mata sahaja.

3.  Sebenarnya kemenangan BN tidaklah bermakna rakyat MENOLAK  Tun , dan dalam masa yang sama tidak bermakna mereka  sudah boleh MENERIMA Najib.

4.  Kehadiran Najib tak ubah seperti  'Melukut Tepi Gantang' ; ini kerana rakyat khasnya pengundi - pengundi di Cameron Highlands termasuk masyarakat Orang Asli tahu tentang berbagai rompakan harta negara yang telah di lakukan oleh Najib , Rosmah dan Jho Low ; merekalah yang bertanggungjawab menghancurkan ekonomi negara.

5.  Jika Jho Low dan keluarganya termasuk Nik Faizal tidak bersalah , mengapa mereka menyembunyikan diri seperti tikus dalam lubang.

6.  Sejak kebelakangan ini kedengaran bermacam - macam rungutan rakyat yang menagih bantuan dan sokongan Kerajaan.

7.  Pemimpin - pemimpin PH harus rajin turun padang berdamping dengan rakyat  bagi mendapatkan maklum balas.

8.  Dalam masa yang sama percakaran diantara pemimpin sama ada antara parti mahu pun sesama sendiri MESTI dihentikan serta merta.

9.  Jangan fikir dengan menolak Tun sebagai Perdana Menteri segala masalah boleh diatasi.

10.  Tidak ada Lampu Aladdin atau Magic Lamp yang boleh menyelesaikan segala kerumitan yang negara hadapi hasil peninggalan  Kerajaan UMNO / BN dahulu.

11.  Rakyat sedang meneropong tingkah laku dan perangai pemimpi  - pemimpin PH sama ada di Pusat mahu pun di peringkat Negeri dan cawangan.

12  Tidaklah menghairankan jika sekiranya sekali lagi rakyat akan menolak PH pada PRK yang bakal diadakan di Semenyih , Selangor tidak lama lagi.

13.  Memang benarlah Tun selaku Perdana Menteri ingin memberi masa dan peluang kepada Menteri - Menteri dan Menteri - Menteri Besarnya membaiki diri dan prastasi masing - masing , namun adalah lebih baik jika sekiranya rombakan dilakukan SEBELUM nasi menjadi bubur.

14.  Tingkah laku mereka tak ubah seperti ' Si Kudong Dapat Cincin ' atau ' Kera Dapat Bunga '.

15.  Apabila A Kadir Yassin mencadangkan agar Menteri - Menteri di sekolahkan , mereka melenting ; reaksi mereka itu tak ubah bak kata orang tua ‘Bodoh Sombong  Yang Tak Boleh Di Ajar '.

16. Sudah mula kedengaran amalan salahguna kuasa dan rasuah dilakukan dikalangan sesetengah mereka yang telah diberi jawatan dan kepercayaan sama ada diperingkat Menteri , Menteri Besar dan pegawai - pegawai mereka sedangkan Tun selaku Perdana Menteri bersungguh - sungguh mahu memerangi amalan buruk itu.

17.  AMBILLAH TINDAKAN  SEKERAS - KERAS NYA kepada sesiapa saja yang tidak amanah sama ada yang dahulu mahu pun yang sekarang TANPA pedulikan siapa mereka.

18.  Sementara itu carilah jalan bagi melaksanakan janji - janji PH seperti yang terkandung dalam manifesto mereka dahulu.

19.  ' KUAT  KERBAU  PADA  TALI , KUAT MANUSIA  PADA  JANJI '.

20.  Jika ini semua dapat dilaksanakan saya yakin PH akan terus memerintah 100 tahun lagi ; jika tidak , inilah kali pertama dan kali terakhir PH berpeluang berkuasa.

21. Buanglah yang keruh , ambil yang jernih.

22.  Tun adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan , namun kita harus berterima kasih kepada beliau yang sanggup mengemudi bahtera yang telah dihancurkan.

23. BERSATU  KITA  TEGUH  DAN  MAJU ,  BERCERAI  KITA SAMA  SAMA  ROBOH.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment