Tuesday 27 November 2018

20181127 KALAU BEGINI KEADAANNYA LEBIH BAIK ISYTIHAR DARURAT

KALAU  BEGINI  KEADAANNYA  LEBIH  BAIK  ISYTIHAR DARURAT

Tamrin Tun Ghafar

Selasa  - 27/11/18
( 1 -  23 )

1.   Pada Ahad lalu  bersamaan 25hb November 2018 saya telah menulis satu artikel bertajuk  "TANGKAP  SAJA  MEREKA  YANG  MASIH  BERDEGIL”.

2.  Walaupun Kabinet  telah membuat keputusan muktamad menolak ICERD namun
UMNO dan PAS  tetap berdegil mahu meneruskan rancangan mereka menganjurkan Himpunan Menentang Kerajaan seolah - olah Keputusan Kerajaan  itu tidak boleh diterima.

3.  Jika kita halusi ucapan - ucapan mereka terutama Zahid dan Hadi, ia bagaikan mereka ini mempunyai satu kuasa luar biasa yang  sehingga Polis amat takut bertindak.

4.  Kini negara dikejutkan pula dengan pendedahan terbaru oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Audit Negara.

5.  Mengikut kenyataan tersebut, laporan rasmi telah pun diserah oleh Jabatan Audit kepada SPRM  dan Polis untuk diambil tindakan lanjut.

6.  Jika didapati dakwaan Ketua Audit Negara itu sahih maka mereka yang terlibat boleh didakwa dan dipenjarakan.

7.  Penipuan yang dilakukan oleh Najib, Dr. Ali Hamsa ( KSN ) , Ambrin Buang ( bekas Ketua Audit Negara )  Dzulkipli Ahmad ( bekas KP SPRM) dan Tan Sri Shukri Salleh ( bekas Ketua Setiausaha Sulit PM )  dan turut terlibat Apandi Ali (bekas Peguam Negara) dan Arul Kanda; mereka ini boleh dikategorikan sebagai  'Pengkhianat Negara’ atau 'Treason'.

8.   Mereka bersubahat mengubahsuai dan menyembunyikan fakta  Lapuran Audit bagi menyelamatkan Najib dan Jho Low dalam kes 1MDB.

9.   Setelah diubahsuai ( doctored ) Ambrin Buang ,  Ketua Audit ketika itu menyerahkan laporan tersebut kepada PAC dan dalam masa yang sama  laporan tersebut di kategorikan sebagai Rahsia Resmi ( OSA ) yang tidak boleh dibaca oleh orang awam.

10.  Dengan kepercayaan bahawa satu hari kelak apabila laporan itu dibuka untuk awam , maka ketika itu terbuktilah Najib dan  Jho Low bersih dari segala penglibatan dalam skandal 1MDB. 

11.  Rupa-rupanya rancangan mereka itu tidak kecapaian, bak kata pepatah “Pandai-Pandai Tupai Melompat Akhirnya Jatuh Ke Tanah Jua’.

12.   Rakyat khususnya orang Islam harus bersyukur ke hadrat Illahi diatas pertolonganNYA memberi kekuatan, keberanian dan keikhlasan  kepada 3 orang wanita, Nafisah , Salwani dan Dr. Madinah.

13.  Tanpa mereka bertiga ini kita rakyat Malaysia akan terus tertipu oleh durjana  bernama Najib anak Tun Razak ini.

14.  Oleh kerana laporan lengkap sudah pun diserahkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara kepada SPRM  dan Polis, maka apa lagi yang hendak ditunggu?

15.   Saya tidak percaya cakap - cakap  kononnya ada di kalangan kakitangan  SPRM dan Polis yang telah disumbatkan dengan dedak oleh penganut  'Cash Is King' ; maka itulah sebabnya kata mereka tindakan terhadap ketujuh-tujuh pengkhianat tersebut seperti kura - kura.

16.  Sepatutnya berlandaskan beberapa ucapan  Zahid dan Hadi, polis sudah boleh bertindak terhadap mereka.

17.  Ada juga kedengaran kononnya Tan Sri Fuzi terhutang budi kepada Zahid kerana memilih beliau sebagai Ketua Polis Negara , mengatasi Tan Sri Noor Rashid  ; maka itulah sebabnya tidak ada sebarang tindakan dilakukan terhadap Zahid oleh polis.

18.   Pemilihan Tan Sri Fuzi atas cadangan Zahid dipersetujui pula oleh Najib.

19.  Pengkhianatan yang dilakukan oleh ' The Gang of  Seven ' ini turut dikutuk oleh akhbar Utusan Malaysia, kepunyaan UMNO sendiri.

20.   Jika akhbar UMNO sendiri sudah tidak boleh telan penipuan Najib dan Perhimpunan yang dirancang oleh UMNO dan PAS  maka apa lagi yang hendak ditunggu oleh Tan Sri Fuzi selaku Ketua Polis Negara?

21.  Laksanakanlah tugas tanpa takut dan terhutang budi demi keluhuran Perlembagaan dan Undang - Undang sebelum dihancurkan oleh mereka yang hanya mementingkan diri.

22. Selepas pendedahan dibuat oleh Tan Sri Dr. Madinah, rakyat sedang melihat telatah Ahli-Ahli Parlimen pembangkang khususnya UMNO, sama ada mereka terus menyokong pengkhianat-pengkhianat tersebut atau sebaliknya.

23. JANGAN  SALAHKAN  KERAJAAN  JIKA TERPAKSA  BERTINDAK LEBIH  TEGAS  DEMI  NEGARA.

Terima Kasih.

Tuesday 20 November 2018

20181118 MENGAPA PILIH PASIR SALAK?

MENGAPA PILIH PASIR SALAK?

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 18/11/18
( 1 -  29 )

1.  Dalam Parlimen Hadi dengan nada yang serius memberi amaran bahawa sejuta rakyat Melayu akan berhimpun  jika sekiranya  Kerajaan PH meneruskan perlaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai  Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD.

2.  Pada hari Sabtu 17hb November 2018, PAS  dan UMNO  telah mengadakan satu perhimpunan Melayu di Pasir Salak.

3.  Pasir Salak dipilih kerana di sinilah tempatnya Residen British pertama, JWW Birch atau nama sebenarnya, James Wheeler Woodford Birch dibunuh oleh Dato’ Maharajalela, Tok Sagor dan Seputum.

4. Peristiwa ini yang berlaku pada 2hb November 1875 kerana kemarahan orang Melayu yang amat sangat terhadap beliau yang menghina dan menzalimi penduduk setempat.

5. Saya percaya mereka sengaja memilih Pasir Salak dan bulan November juga adalah dengan motif jahat bagi membakar semangat kebencian orang Melayu terhadap Perdana Menteri KONONNYA ada persamaan di antara JWW Birch dengan Tun Dr. Mahathir.

6. Zahid dan Hadi kebelakangan ini sengaja menggunakan isu agama dan perkauman terhadap kerajaan PH; jika tidak dibendung tindakan mereka ini AMAT MERBAHAYA kepada negara yang berbilang kaum dan agama.

7. Perhimpunan yang dihadiri sendiri oleh Presiden UMNO , Zahid Hamidi dan Hadi Awang selaku Presiden PAS  menetapkan satu Perhimpunan Raksaksa akan diadakan diKuala Lumpur pada 8hb December 2018 ini bagi membantah pelaksanaan
ICERD.

8. Selain dari menetapkan tarikh Perhimpunan tersebut, yang paling menarik sekali ialah cadangan Zahid agar UMNO dan PAS  bergabung seperti apa yang pernah berlaku di suatu ketika dahulu apabila PAS dibawah pimpinan Datuk Asri menyertai Barisan Nasional ( BN ).

9. Nyawa PAS dalam BN tidak lama apabila BN menendang keluar PAS sebagai anggota BN.

10. Sebelum dan selepas PRU 14 yang berlangsung pada 9hb Mei yang lepas UMNO  dan PAS  mula menunjukkan hala tuju kedua - dua parti Melayu tersebut.

11. Nada pemimpin - pemimpin kedua - dua parti tersebut  menunjukkan   mereka bukan saja lagi bercinta malah sudah pun mengikat tali pertunangan.

12. Seolah - olah tidak sabar lagi menunggu malam pertama, Zahid tiba - tiba mengganjurkan agar kedua - dua parti tersebut terus bergabung.

13. Hanya yang melewat - lewatkan tarikh ' penikahan ' kedua mempelai tersebut ialah jumlah dulang dan isinya sahaja yang harus di muktamadkan.

14. Takkanlah PAS melalui Amanat Hadi Awang sanggup tidur sebantal dengan UMNO  yang pernah disundalkannya suatu ketika dahulu.

15. Apakah Hadi dan PAS sudah bersedia menjilat ludah dan kahaknya sendiri?

16. Takkanlah pulak PAS kini sanggup mengenepikan perjuangan mereka selama ini  bagi melaksanakan  'sepenuhnya' undang - undang Islam seperti Hukum Hudud?

17. Seperti kata Hadi dalam Amanatnya, PAS  menentang UMNO  dan BN bukan kerana namanya; tetapi kerana UMNO dan BN mengamalkan Perlembagaan dan Undang - Undang kafir; justeru apakah hari ini PAS boleh begitu senang menerima Perlembagaan dan Undang - Undang kafir itu?

18. Atas nama  'wala' , terbukti kini  ahli - ahli PAS  boleh menerima dengan hati terbuka  'Amanat' Hadi yang baru iaitu yang pernah diharamkan sekarang sudah dihalalkan.

19. Apakah lauk daging yang dicampurkan  seketul daging babi kini boleh dimakan oleh orang Islam khasnya ahli - ahli PAS?

20. Apakah  perbicaran di Mahkamah di kota London pada bulan April akan datang akan  membuktikan bahawa sebahagian pemimpin  mereka sudah kenyang  seperti ular sawa?

21. Sebenarnya saya amat bersimpati dengan ahli - ahli PAS  di peringkat bawahan ; mereka percaya bulat - bulat apa pemimpin mereka kata.

22. Bagi Zahid dan pemimpin  UMNO  yang lain terutama yang sedang dan bakal menghadapi pertuduhan undang - undang,  inilah peluang terbaik untuk mereka menyelamatkan diri.

23. Mereka sudah bersedia membuang daging babi tersebut  asalkan cita - cita dan rancangan mereka menolak Tun Dr. Mahathir dengan cara  'undi tak percaya' atau ' vote of no confidence' dapat diusahakan dalam masa terdekat.

24. Dalam dunia politik biasanya apa yang diharapkan tak semestinya dapat, tetapi apa yang didapati adalah sesuatu yang tak pernah diharap.

25. Sebagai contoh yang paling terbaru apabila rancangan PAS dan UMNO hendak mengganjurkan perhimpunan bantahan  pada 8hb December ini terbantut atau sia - sia apabila Kerajaan melalui Perdana Menteri mengumumkan TIDAK AKAN melaksanakan  ICERD.

26. Bagi Hadi dan pemimpin - pemimpin PAS  inilah caranya menutup cerita Hudud yang telah dipermainkan oleh UMNO selama ini.

27. Bagi Zahid pula inilah satu - satunya talian hayat yang tinggal.

28. Semoga Hadi, Zahid , Tun Hamid Muhamnad dan beberapa orang Sultan dan pemakan dedak tidak berangan  seperti 
' Si Luncai Dengan Labu - Labunya'  atau sekadar ' Angan - angan Mat Jenin'.

29. Tun Dr. Mahathir TIDAK  PERNAH  berangan - angan nak menjadi Perdana Menteri buat kali kedua; ALLAH SWT  YANG  MENENTUKAN  SEGALA-GALANYA.

Terima Kasih.

Monday 12 November 2018

20191112 RAKYAT TIDAK BERSALAH

RAKYAT  TIDAK BERSALAH

Tamrin Tun Ghafar

Isnin - 12/11/18
( 1 - 24 )

1.   Disertakan keratan akhbar Sinar Harian yang memuatkan di muka hadapannya peringatan Sultan Kedah yang baru.

2.  Baginda adalah bekas Mejar dalam Angkatan Tentera dan bekas ahli perniagaan sehingga diangkat menggantikan abangnya Tunku Abdul Halim yang baru meninggal dunia.

3.  Mengikut beliau ada 3 perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 yang tidak boleh diusik ( sila lihat keratan akhbar tersebut ).

4.  Sebenarnya peringatan yang sama pernah disuarakan oleh beberapa orang Sultan sebelum ini.

5.  Ekoran teguran A Kadir Jasin terhadap tindakan beberapa orang Sultan, beberapa ' hulubalang ' telah menuduh A Kadir sebagai tidak menghormati, kurang sensitif dan menghina Institusi Raja.

6.  Ada pula yang telah membuat lapuran polis terhadap beliau. Semoga ‘tidak ada udang di sebalik batu’.

7.  Sebelum A Kadir dipanggil polis untuk beri keterangan,  saya mencabar Bukit Aman untuk mengambil tindakan mendakwa TMJ yang telah terbukti melakukan 2 kesalahan serius sebelum ini:

i.  10 tahun dahulu pada umur 24 tahun beliau telah mencederakan Tengku Nadzimuddin dengan menggunakan pistol, dengan dibantu pula oleh pengawal - pengawal peribadi beliau terdiri dari anggota Johor Military Force ( JMF )  - perbuatan jenayah seperti ini  TIDAK  ADA   HAD  MASA UNTUK DIAMBIL TINDAKAN.

ii.  Baru - baru ini beliau menuduh Kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir, kononnya dengan menggunakan alat perisikan tercanggih ( spying equipment ) buatan Yahudi Israel,  sedang menggintip beliau dan bapanya , Sultan Johor.

Ini sebenarnya satu tuduhan AMAT  SERIUS kerana bertujuan membakar semangat rakyat membenci dan jika boleh menumbangkan
Kerajaan yang telah dipilih rakyat secara demokrasi.

8.  Sebagai peringatan, sejak Merdeka 61 tahun dahulu sehingga kini rakyat TIDAK  PERNAH mempersoal mengapa dan bagaimana Sultan - Sultan berada di kedudukan mereka.

9.  Begitu juga sejak 61 tahun dahulu sehingga kini rakyat TIDAK 
PERNAH diberitahu jumlah wang hasil titik peluh mereka digunakan bagi membayar elaun Sultan, keluarga mereka termasuk isteri dan kaum kerabat yang bergelar Tengku Mahkota, Raja Muda, Tengku Laksamana , Tengku Bendahara dan sebagainya serta kos penyelenggaraan setiap Istana.

10.  Semasa rakyat hidup dalam kesempitan dan keperitan akibat rompakan  besar - besaran yang dilakukan oleh Najib , Rosmah  dan konco-konconya tapi dalam masa yang sama ada terdapat  Sultan -  Sultan tidak peduli perasaan rakyat; mereka terus bermewahan termasuk  membina Istana - Istana atau membesarkan Istana yang sudah pun sedia besar, bermegah dengan dengan kapal terbang peribadi ( private jets )  dan menayang beratus  kereta yang nilainya tak kurang RM1 juta setiap buah.

Umum tahu bahawa kekayaan yang mereka perolehi semuanya bermula dengan hasil negara dan negeri seperti tanah, balak, lombong emas, bijih, pasir dan lain-lain lagi.

11.  Kedudukan Raja - Raja adalah terjamin dalam Perlembagaan tetapi ia tidak bermakna mereka tidak boleh dinasihat ,  ditegur malah dikritik jika mereka sendiri yang melanggar Perlembagaan dan undang - undang.

12.  Perlu diingatkan selalu bahawa 9 orang Raja yang terdapat di negara ini mereka ialah  Raja Berpelembagaan BUKAN  Raja Mutlak seperti Sultan Brunei dan Raja - Raja di Negara Arab.

13.  Raja Berpelembagaan membawa maksud bahawa mereka juga TERTAKLUK kepada Perlembagaan dan Undang - Undang.

14.  Jika sekiranya mana - mana Raja melakukan kesalahan mereka boleh didakwa di Mahkamah Khas tetapi bagi ahli keluarga mereka pula seperti  Tengku Mahkota, Raja Muda dan 
lain - lain, mereka BOLEH  didakwa, ditangkap dan dipenjarakan di mana - mana mahkamah dan penjara pada bila - bila masa sahaja jika didapati menyalahi undang-undang seperti yang pernah dilakukan oleh anak Sultan Johor.

15.  Undang - Undang ini telah digubal apabila  Sultan Johor  ketika itu telah menzalami rakyat dengan mencedera malah membunuh rakyat sesuka hatinya.

16.  Justeru itu,  bagi menyelamatkan rakyat dan
bagi mengkekalkan Institusi Raja, Tun Dr. Mahathir , Perdana Menteri ketika itu , atas nasihat  Jemaah Menteri dan akhirnya dengan persetujuan Parlimen sebulat suara  telah DIPAKSA  meminda Perlembagaan tersebut.

17.  Perlu disebut Pindaan yang bersejarah tersebut telah dibentangkan oleh ayah saya Tun Abdul Ghafar Baba pada tahun 1993 yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan  Perdana Menteri.

18.   Raja - Raja kita termasuk ahli keluarga mereka yang selalu rajin melawat  London, malah boleh dikatakan hampir kesemua mereka mempunyai hartanah di sana yang bernilai berjuta - juta ringgit sepatutnya mengambil iktibar bagaimana Raja dan keturunan mereka bukan sahaja di hormati, dikasihi malah dibanggai oleh sebahagian besar rakyat Britain dan dunia.

19.  Mungkin apa yang saya turunkan ini tidak dipersetujui tapi inilah hakikat yang sebenarnya:

a.  Ratu Elizabeth dari England dan keluarga mereka tidak pernah melibatkan diri dalam politik tanah air.

b.  Baginda Queen dan keluarga juga tidak terlibat dalam mana - mana perniagaan dan pentadbiran negara.

c.  Segala perbelanjaan seperti elaun diri dan keluarga dan lain - lain serta kos pengurusan Istana adalah mengikut apa yang DITETAPKAN oleh Parlimen.

d.  Queen dan ahli keluarga biasanya tidak mengeluarkan kenyataan - kenyataan yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat.

e.  Segala tindakan mereka  amat menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang; sebagai contoh mereka tidak merembat atau merampas tanah rakyat , mengambil dan menjual pasir , biji timah dan lain - lain sesuka hati seperti yang pernah dilakukan oleh lanun Viking.

f.   Walaupun Baginda Queen bukan beragama Islam, namun mereka tidak melakukan perkara - perkara yang dilarang seperti  mencedera malah membunuh rakyat mengikut nafsu . Mereka juga menjauhkan diri dari merompak dan berjudi . Mereka senantiasa berhati - hati dengan gejala yang membahayakan seperti dadah dan sebagainya.

g.  Selain itu Baginda dan ahli keluarga tidak membenarkan diri dari diperalat bagi meraih projek dan tender dari Kerajaan.

h.  Segala kurniaan yang hendak diberi dilakukan dengan begitu teliti, jauh sekali mereka menjual sebarang gelaran seperti kacang putih.

i. Seperti rakyat Britain yang lain Queen dan ahli keluarganya juga membayar segala jenis cukai kepada kerajaan.

j. Juruiring Baginda Queen hanya tertakluk kepada 2 buah kereta peronda (satu di depan dan satu lagi di belakang) serta 3 biji motorsikal; peronda motorsikal digunakan untuk membantu kereta kecemasan hospital yang membawa pesakit biasa.

20.   Ada 3 perkara penting yang PERLU dimasukkan dalam Agenda Mesyuarat Majlis Raja - Raja.

i.  Membincang secara teripinci peranan dan tanggungjawab Agong dan Sultan terhadap Negara dan Rakyat.

ii.  Mengkaji peranan mereka selaku Ketua Agama Islam ; bukan setakat nak menentukan tarikh puasa dan raya semata - mata.

iii.  Juga MENASIHATKAN
Sultan Johor dan anaknya bukan sahaja bertindak
mengikut Perlembagaan dan undang - undang  bahkan kesemua Raja - Raja perlu menghormati keputusan majoriti rakyat jelata memilih PH sebagai Kerajaan baru yang menggantikan UMNO /BN.

21.  Mereka SEPATUTNYA  berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir yang telah  berjaya
menyelamatkan
Institusi Raja dari tindakan marah dan benci rakyat terhadap mereka ketika itu.

22.  Akhirnya sekali lagi saya menyeru agar Kerajaan PH yang mengamalkan dasar Ketelusan dan Terbuka mengemukakan setiap sen yang dibelanjakan oleh Agong dan Raja - Raja untuk dibahas dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Negeri pada Sidang Belanjawan yang akan datang.

23.  Jika diadakan kajian (survey) dari Perlis hingga ke Johor, saya yakin majoriti rakyat mahukan segala kos tahunan dan elaun Raja serta keluarga dan belanja mengurus Istana dibentang di Parlimen dan Dewan Negeri.

Mereka juga mahu melihat Raja-Raja kita dan keluarga mereka mengikut jejak langkah Baginda Ratu Elizabeth.

24. Diharap seluruh rakyat dan Istana dapat bersama meniliti pandangan saya ini.

Terima Kasih.

Wednesday 7 November 2018

20181108 PENJENAYAH BUKAN WIRA

PENJENAYAH BUKAN WIRA

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 08/1118
( 1 - 26 )

1.  Itulah tajuk utama (headline) Utusan Malaysia, akhbar kepunyaan UMNO beberapa hari yang lepas.

2.  Sebelum itu dalam ruangan editornya yang menggunakan gelaran 'Awang  Selamat ' telah dengan terang - terangan  membelasah Najib yang pernah menjadi pemimpin parti itu.

3.  Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz yang di suatu ketika dahulu merupakan hulubalang Najib, kini tidak segan silu menempelak bekas bosnya itu.

4.  Tak cukup dengan itu, satu lapuran Polis dan SPRM  tentang salahlaku Najib berhubung 1MDB pun telah dibuat oleh bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau.

5.  Tak tahulah pula berapa ramai lagi pemimpin - pemimpin UMNO yang akan mengikuti jejak langkah Khairy, Nazri dan Utusan selepas ini.

6.  Sementara itu difahamkan mungkin lebih banyak lagi kes baru terhadap Najib dan Rosmah akan dikemukakan di mahkamah, ini termasuk kes pembunuhan Altantuya.

7.  RM2,600 juta atau RM2.6 bilion duit 1MDB dan RM42 juta dari dana SRC yang telah masuk ke akaun peribadi Najib di AmBank telah pun menjadi rahsia umum di serata dunia.

8.  Entah berapa bilion lagi yang disimpan diluar negara, sama - samalah kita tunggu dan lihat nanti.

9.  Saya pernah terbaca satu coretan yang mengatakan dengan jumlah kesalahan jenayah yang dilakukan, Najib akan menjalani hukuman penjara selama 450 tahun lamanya.

10.  Kepada mereka yang masih percaya bahawa Najib, pahlawan Bugis tidak melakukan rompakan- rompakan tersebut , adalah elok jika mereka meminta petunjuk ALLAH  SWT.

11.  Kita semua harus bersyukur kerana ALLAH SWT  telah memberi keberanian kepada rakyat membuang UMNO , parti Najib ( bukan lagi parti orang Melayu ) ke dalam laut dalam pilihanraya umum lalu.

12.  Difahamkan ramai lagi pemimpin UMNO  akan diseret ke mahkamah atas segala jenis jenayah yang pernah mereka lakukan semasa bertakhta dahulu.

13.  Kini Najib dan Zahid Hamidi  sedang memberi gambaran seolah - olah apa yang berlaku terhadap diri mereka adalah satu tindakan politik; kononnya mereka bersih seperti kain putih yang tidak pernah dikotori.

14.  Tidaklah menghirankan apabila sesetengah pemakan dedak menyalak seperti anjing gila mempertahankan kedua - dua mereka itu.

15.  Dulu Najib bangga menggelarkan dirinya sebagai Pahlawan  Bugis yang tidak akan tunduk kepada sesiapa pun.

16. Apabila Tun Mahathir menyelar Najib sebagai lanun, bukan sahaja masyarakat Bugis, malah Sultan Selangor yang juga keturunan Bugis menyelar beliau (Tun); ada yang menuntut Tun meminta maaf kepada masyarakat tersebut.

17. Hari ini bukan sahaja beliau menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah, bahkan kerajaan Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat melalui DOJ juga bercadang mengambil tindakan yang sama.

18. Sebenarnya Najib telah menconteng arang di muka masyarakat Bugis apabila beliau kecundang kepada  pemberita wanita Al-Jazeera baru - baru ini.

19. Kini terbuktilah rupa-rupanya Pahlawan Bugis itu sebenarnya adalah  Pahlawan Plastik sahaja; hanya berani di depan pemakan dedak tapi pengecut menghadapi orang tua yang berumur 93 tahun.

20. Terserahlah kepada masyarakat Bugis khasnya Sultan Selangor dan Johor yang juga keturunan Bugis sama ada mahu terus menyokong perompak ini sebagai Pahlawan mereka atau sebaliknya merendah diri memohon maaf kepada Tun yang telah membongkar perkara sebenar.

21. Bukan ke kaum Bugis mempunyai adat resam dan cara hidup yang baik, merendah diri, menghormati, bermaaf-maafan dan membantu mereka yang memerlukannya.

22. Najib telah MENGHANCURKAN segala harapan dan cita - cita arwah bapanya,  Tun Abdul Razak untuk membangunkan negara lebih maju dari negara- negara lain di rantau ini.

23. Dek terlalu sayangkan Rosmah ( atau takut ) beliau sanggup memalukan Tun Rahah, ibu yang pernah menyusukannya  dengan berbagai jenayah yang dilakukan.

24. Apabila ditanya oleh Para Sahabat, Rasullullah SAW pernah mengatakan peperangan yang paling besar ialah melawan
NAFSU.

25. Kepada ahli - ahli UMNO di semua peringkat, sedarlah diri dan terimalah kenyataan.

26. SAYONARA  UMNO.

Terima Kasih.

R A S U A H

R   A   S   U    A   H REFORMASI REFORMATI Tamrin  Tun  Ghafar   Rabu - 14/02/24 ( 1 - 17 ) 1.   Kali  pertama  Dewan PWTC  tiba - tiba  sen...