Sunday, 23 December 2018

20181223 FROM RUSSIA WITH LOVE

FROM  RUSSIA  WITH  LOVE

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 23/12/18
( 1 -  44 )

1.  Qada' dan Qadar  adalah Rukun Iman yang keenam iaitu mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT semata - mata.

2.  Namun kita juga diberi peluang memilih jalan mana yang  harus kita ikut; ini termasuk memilih pasangan hidup.

3.  Ramai  umat Islam memilih jalan yang diredahiNya dan ramai juga yang masih belum lagi melaksanakan PerintahNya.

4.  Hari ini 23hb Disember genap sebulan KATANYA telah berlangsung Majlis Pernikahan dan Persandingan
diantara Yang Di Pertuan Agong dengan bekas ratu cantik Moscow, Russia.

5.  Mengikut lapuran Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Konsert Barvikha di kota raya Moscow.

6.  Sehingga kini tidak ada sebarang pengesahan dan pengumuman rasmi daripada Istana Negara berhubung Majlis tersebut.

7. Difahamkan Perdana Menteri  hanya dimaklumkan tujuan beliau ( Agong ) bercuti selama dua bulan atas TUJUAN BERUBAT.

8.  Tengku Faris Petra yang dilahirkan  pada 5hb Oktober 1969 telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan ke 29 pada 13hb September 2010, dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

9.  Perlantikan beliau sebagai Sultan diselubungi dengan penuh kontroversi.

10.  Peristiwa 'rampasan kuasa'  itu berlaku atas alasan ayahanda beliau, Sultan Ismai Petra uzur disebabkan serangan angin akmar yang dialaminya.

11.  Beliau merupakan Sultan yang pertama menarik balik Anugerah Kebesaran Darjah Kerabat ( DK ) Kelantan daripada Tun Dr. Mahathir yang semasa itu berkempen menentang UMNO / Barisan Nasional.

12.  Pada 13hb Disember 2016 Majlis Raja - Raja telah memilih beliau sebagai Yang Di Pertuan Agong ke 15.

13.  Satu lagi 'drama' telah berlaku apabila perlantikan Tun Dr. Mahathir telah ditangguhkan beberapa kali oleh beliau.

14.  Tun Dr. Mahathir yang berusia 93 tahun dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Ali terpaksa menahan kesabaran dengan karenah Agong itu.

15.  Atas sebab - sebab tertentu atau mungkin ada  tangan disebalik tabir atau dek mungkin sudah termakan budi, Agong sememangnya mencari helah untuk tidak melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

16.  Ketegasan Mat Sabu ( AMANAH ) dan Lim Guan Eng ( DAP ) telah menyebabkan cadangan Agong melantik Dr. Wan Azizah ( PKR ) gagal.

17. Sebenarnya ketika itu Agong TIDAK menghirau dan MENGHORMATI suara dan kehendak rakyat.

18. Amat mustahil beliau dan pegawai-pegawai tinggi Istana Negara terlepas pandang beberapa kenyataan yang telah dibuat berhubung perkara ini.

19. Sebenarnya tindakan Agong itu tidak menampak atau mencerminkan keikhlasan beliau.

20. Perwatakan demikian amat tidak sesuai dan layak sebagai seorang yang telah diberi kepercayaan menjadi Agong.

21. Pernikahan beliau dengan wanita Russia itu pun telah menimbulkan berbagai persoalan.

22. Oksana Voevodina yang berumur 25 tahun itu telah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Moscow pada tahun 2015.

23. Selain itu beliau tampil sebagai seorang peragawati atau model.

24. Alhamdulillah pada 16hb April 2018 beliau diberitakan telah memeluk Agama Islam dan menggunakan nama Rihana Oxana Gorbatenko.

25. Sama  ada sahih atau sebaliknya namun cerita - cerita dan gambar - gambar berserta video lucah beliau masih  tersebar luas  di media sosial.

26. Ada yang berpendapat aksi - aksi video klip beliau di dalam kolam renang dan diatas katil bersama lelaki lain dan aksi - aksi beliau di tepi pantai dengan pakaian mandi yang menjolok mata itu semuanya dilakukan sebelum beliau memeluk Islam.

27. Ramai juga berpendirian demi menjaga imej negara, Agong sepatutnya tidak tergesa - gesa mencari pasangan.

28. Beliau sepatutnya menyelidik latar belakang wanita tersebut.

29. Tidak boleh dibayangkan jika ada mereka yang kreatif dan nakal mempamerkan potrait Agong bersama Permaisuri ( ? ) baru dengan gambar - gambar seksi beliau di sebelahnya.

30. Terserahlah sama ada Kerajaan mahu mengiktiraf  wanita Russia ini sebagai Permaisuri atau tidak.

31. Satelah menceraikan isteri pertamanya, Tengku Zubaidah Tengku Norudin maka tidaklah menjadi kesalahan bagi beliau mempunyai pasangan hidup baru.

32. Yang bernikah bukankah Faris bin Ismail tapi Tengku Faris bin Tengku Ismail, Yang Dipertuan Agong.

33. Agong adalah LAMBANG NEGARA,  bukannya mat pit atau penghisap dadah tegar yang kahwin di merata tempat secara senyap - senyap dan selepas itu membawa balik isterinya ke rumah ibu bapa untuk diperkenalkan dan mahu dihormati?

34. Apa agaknya perasaan orang tua bila anak yang dilahirkan dan dibelai hingga dewasa berperangai sedemikian.

35. Sejak dulu lagi sudah menjadi amalan sesetengah keturunan Raja berkahwin dengan sesiapa sahaja khasnya dengan dengan bangsa kulit putih, tak kira sama ada pernah berkahwin atau bujang.

36. Kira - kira 11 bulan selepas ditabalkan sebagai Raja England  iaitu pada  11hb Disember 1936 King Edward melepaskan takhta tersebut.

37. Beliau berbuat demikian atas sebab
bagi mengkahwini seorang janda Amerika, Wallis  Simpson dan pada masa yang sama bagi menjaga tradisi, kedaulatan Institusi Raja itu sendiri dan nama baik Empayar Great Britain.

38. Tindakan King Edward itu membuktikan beliau tidak mementingkan pangkat dan kedudukan; nama beliau masih disebut dan dihormati sehingga sekarang.

39. Selepas  turun takhta secara sukarela,  Kerajaan Great Britain memberi gelaran 'The Duke of Windsor’ kepada beliau namun isterinya itu TIDAK dibenar menggunakan gelaran 'Her Royal Highness’.

40. Kisah Agong berkahwin dengan wanita Russia ini mengingatkan saya kepada sebuah filem Inggeris  arahan Ian Flemings berjodol ' FROM  RUSSIA  WITH  LOVE '.

41. Ia berkisar kepada seorang perisik England, James Bond yang akhirnya jatuh cinta dengan seorang gadis rupawan Russia yang telah dilatih sebagai perisik atau Agent Russia.

42. ‘Bak Sireh Pulang Ke Gagangnya’ maka Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob,  timbalannya Nik Amar dan rakyat Serambi Mekah itu bolehlah menyediakan beberapa ekor gajah putih sebagai persediaan menyambut secara besar - besaran dengan penuh tradisi kepulangan Sultan mereka dan Sultanah atau Permaisuri baru  mereka - Tahniah !!!

43. Pahala dan Syurga Bukan Terletak Pada Jubah, Kopiah dan Tudung Yang Kita Pakai tetapi IMAN.

44. SEMOGA TIDAK ADA MUSUH DALAM SELIMUT.

Sila kongsi bersama.

Terima Kasih.

Saturday, 15 December 2018

20181215 JIKA SINGAPURA PUN BOLEH DIJUAL, INIKAN PULA PULAU KUKUP?

JIKA  SINGAPURA  PUN  BOLEH  DIJUAL, INIKAN  PULA  PULAU  KUKUP?

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu - 15/12/18
( 1 -  38 )

1.   Sejarah  Kesultanan Johor berubah apabila Sultan Mahmood mati ditikam oleh Megat Seri Rama, Laksamana Bentan.

2.  Peristiwa itu berlaku ekoran kezaliman Sultan membunuh Dang Anum , isteri Megat Seri Rama yang sedang hamil.

3.  Makam 'Sultan Mahmood
Mangkat Di Julang' itu kini terletak di atas sebuah bukit di bandar Kota Tinggi, Johor.

4.  Oleh kerana beliau tidak mempunyai waris atau zuriat , orang kampung di situ telah memilih seorang dari mereka yang kebetulan berdarah Bugis bergelar Temenggong sebagai ketua mereka yang baru dan akhirnya telah menggunakan gelaran Raja.

5.  Inilah tipu helah pertama sehingga rakyat biasa yang pernah memegang jawatan Temenggong dipilih sebagai Raja atau Sultan sehinggalah ke hari ini.

7.   Dalam tahun 1819 Sultan Hussein Mua’zzam Shah dianggat sebagai Sultan Johor yang baru.

8.   Bagi mendapatkan sokongan dan pengiktirafan British, Raja Hussein telah menjual Pulau Singapura kepunyaan Johor itu kepada mereka.

9.  Peristiwa hitam ini tercatit
dalam sejarah Johor dan Negara.

10.  Jika ada mana - mana pihak yang menganjurkan  rakyat atau 'Bangsa' Johor mengkaji sejarah Johor, maka peristiwa ini tidak boleh diketepikan.

11.  Pesanan akhir Megat Seri Rama ' RAJA  ADIL  RAJA  DI SEMBAH , RAJA ZALIM  RAJA  DISANGGAH' harus dijadikan pengajaran.

12.  Tindakan - tindakan liar dan buas  Sultan Mahmmod Iskandar , bapa kepada Sultan Johor sekarang dengan mencedera, menzalimi malah membunuh rakyat 
sesuka hati itulah yang  menyebabkan Tun Dr. Mahathir bertindak.

13.  Kini Sultan Johor , anaknya dan beberapa Sultan yang lain cuba menutup pekong yang mereka lakukan dengan alasan Kerajaan PH hari ini akan menghapuskan Institusi Raja.

14.  Menegur dan menasihatkan supaya  Raja - Raja menghormati pemimpin dan rakyat dan  menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang dan Agama Islam tidak bermakna Kerajaan hendak menghapuskan Institusi Raja.

15.  Jika sekiranya Raja - Raja menggangap diri mereka  'perfect' atau 'maksum' yang tak boleh di nasihat dan ditegur, maka inilah bermulanya kehancuran Instutusi Raja itu sendiri.

16.  Sekali lagi saya anjurkan agar Majlis Raja - Raja yang bersidang setiap tahun membincangankan peranan dan tanggungjawab dan tingkah laku mereka sendiri.

17.  Rakyat hari ini sedang memerahati segala tingkah laku Raja DAN keluarga mereka.

18.  Penolakan rakyat kepada UMNO / BN terutamanya diJohor baru - baru ini adalah lampu isyarat kepada Sultan dan anaknya itu.

19.  Jika itu pun mereka tak faham atau buat - buat tak faham maka ini membawa makna rakyat atau bangsa Johor mempunyai Sultan dan bakal Sultan yang tak berapa cerdik atau ALLAH SWT telah menutup mata dan hati mereka.

20.  Baru - baru ini negara dikejutkan dengan pemindahan Taman Negara Pulau Kukup dari Hak Milik Kerajaan ke Tanah Kesultanan atau Sultanate Land.

21.  Mengikut undang - undang seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin,  bekas Menteri Besar yang bertanggungjawab mewartakan Pulau itu, apabila Hak Milik bertukar tangan maka Sultan boleh berbuat apa sahaja aktiviti dan mengenakan berbagai syarat atau akhirnya boleh menjual Pulau tersebut kepada pelabur Singapura atau China seperti yang pernah dilakukan oleh keturunan beliau apabila menjual Pulau Singapura, hak asal Johor kepada British dahulu. Lihat saja kepada projek raksasa Forest City, berapa ramai anak tempatan yang mampu membelinya.

22.  Mengikut Enakmen status Pulau Kukup sebagai Taman Negara gugur apabila ia diwartakan sebagai Tanah Kesultanan atau Sultanate Land ; ini bercanggah dengan jaminan Sultan Johor sendiri apabila beliau mengatakan status Pulau itu dikekalkan walaupun berpindah milik.

23.  Begitu juga alasan yang diberi oleh anaknya bahawa tujuan memindahkan Hak Milik Pulau tersebut bagi memelihara dan  melindungi kedaulatan tanah berkenaan.

24.  Jika itulah alasannya,  bukankah baik diserahkan sahaja keseluruhan tanah Johor menjadi Sultanate Land?

25.  Perkara ini telah saya bangkitkan dalam tulisan saya baru - baru ini bertajuk  "ROMPAKAN DI SIANG  HARI , SERAHKAN SAHAJA  SETIAP  INCI TANAH  KEPADA  SULTAN".

26.  Apakah tujuan dan muslihat sebenar Sultan dan anakya MEMAKSA Kerajaan Negeri MEMINDAHKAN Hak Milik dari Negeri kepada mereka?

27.   Ada laporan yang menyatakan
Pulau tersebut kaya dengan emas dan lain hasil maksul bumi.

28.   Dalam perkara Pulau Kukup ini terbukti bukan sahaja Menteri Besar , EXCO , Setiausaha Kerajaan Negeri ,  Pengarah Tanah dan Galian dan Pegawai Undang - Undang takut kepada Sultan dan anaknya malah mereka boleh dianggap BERSEKONGKOL dengan dua orang itu.

29.  Walaupun sudah Pindah Milik dan dibatalkan Warta tersebut namun jika mereka yang diamanahkan rakyat masih sayangkan Negeri dan rakyat Johor, maka Kerajaan Negeri melalui MB dan EXCOnya dan Dewan MASIH  BOLEH MEMBATALKAN kelulusan awal itu.

30.  Yang membuang Kerajaan Negeri UMNO / BN ialah  rakyat, dan yang memberi peluang Osman Sapian sebagai Menteri Besar , barisan EXCO dan ADUN yang lain ialah rakyat Johor juga.

31.  Jangan jadi sepert "Kacang Lupakan Kulit " , "Dah Menyeberang Tongkat Mahu Dibuang".

32.  MB dan EXCO berkhidmat untuk kepentingan negeri dan rakyat BUKAN  nak bertindak apa sahaja kehendak Istana.

33.  Perlu diingatkan sekali lagi kepada Osman Sapian , EXCO dan ADUN dan Pegawai - Pegawai Kerajaan, Sultan BUKAN  Tuhan atau Malaikat atau keturunan Dewa - Dewa dan Jin yang kita perlu takuti.

34.  Sultan dan anaknya juga TERTAKLUK kepada Perlembagaan dan Undang - Undang.

35.  Jika sekiranya tidak ada tindakan membatalkan kelulusan tersebut dalam masa terdekat ini maka adalah lebih baik GANTIKAN SAHAJA beliau kepada sesiapa yang benar - benar berjiwa rakyat - atau rakyat  buangkan sahaja Kerajaan Negeri ini yang sudah seperti kacang lupakan kulit.

36.  Jika Sultan berjiwa besar dan mengamalkan sikap Mahmudiah dan sayangkan Negeri dan 'Bangsa' Johor PULANGKAN saja Pulau Kukup itu kepada Kerajaan Negeri TANPA  MEMINTA sebarang pampasan dan gantian dengan tanah yang lain.

37.  Harta kekayaan Sultan Johor dan keluarganya yang dianugerah ALLAH SWT jika dikumpulkan ia mungkin lebih tinggi dari Bukit Layang - Layang.

38.   Semoga pandangan saya ini dapat berkongsi bersama oleh Sultan, MB, EXCO dan lain - lain.

Terima Kasih.

Sunday, 9 December 2018

20181206 ICERD ATAU ICURI?

ICERD  ATAU  ICURI?

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 06/12/18
( 1 - 31 )

1.  Saya amat tertarik dengan lakaran - lakaran kartun Zunar dan beberapa kartunis lain dengan tajuk dan motif  kelakar tapi penuh dengan mesej dan pesanan.

2.  Jika lakaran seperti yang dilampirkan ini dilukis semasa zaman Najib memerintah dahulu sudah pasti bukan sahaja lakaran tersebut dirampas dan dimusnahkan, malah pelukisnya akan dipenjarakan.

3.  Sebagai contoh Zunar bukan sahaja pernah dikasari tapi pejabat beliau digeledah; 9 tajuk buku karyanya beserta ribuan buah jilidnya turut dirampas.

4.  Tidak cukup dengan itu , beliau juga pernah dilokapkan sebanyak 5 kali , dan dikenakan  9 pertuduhan dibawah beberapa Akta dan Undang - Undang seperti Akta Hasutan, Akta Multimedia,  Penal Code , Undang - Undang  Immigration dan beberapa undang - undang lain . Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjarakan selama 45 tahun.

5.  Itulah demokrasi dan kebebasan bersuara ala Najib yang dilaung - laungkan di pentas antarabangsa tetapi di dalam negara sesiapa sahaja yang menentang beliau akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

6.  Saya sendiri pernah bermalam di lokap polis Jinjang Kuala Lumpur bersama Tian Chua ( mantan MP Batu ) , Hishamuddin Rais , Adam Adli , Haris Ibrahim dan beberapa orang rakan lain.

7.  Kesalahan kami ialah kerana menuduh UMNO/BN menipu dalam PRU 13  dahulu, justeru kami dituduh dibawah Akta Hasutan.

8.  Selepas 5 tahun dan selepas rakyat menumbangkan Kerajaan UMNO/BN barulah kes kami selesai.

9.   Polis dibawah Khalid Bakar, Apandi Ali , Peguam Negara dan Dzulkifli Ahmad , KP SPRM adalah ulat dan alat Najib dan Rosmah ketika itu; kerja mereka ialah menangkap siapa saja yang dilihat menentang Najib.

10.  Mereka mewah dan bermaharajalela.

11.  Boleh dibayangkan apakah tindakan Najib dan Rosmah terhadap Zunar dan kartunis lain termasuk mereka yang tidak sebulu dengannya; yang mewah ialah pemakan - pemakan dedak - CASH  IS  KING.

12.   Walaupun dibenci dan dizalimi namun masyarakat antarabangsa amat kagum dengan lakaran - lakaran beliau.

13.  Zunar telah dihormati dengan beberapa anugerah berprestij seperti :

a.  Courage In Editorial Cartooning Award - 2012.

b.  International Press Foundation Award, New York - 2015.

c.  Cartooning For Peace Award - 2016 ,  Geneva - oleh Kofi Annan, mantan Setiausaha Agong Pertubohan Bangsa Bangsa Bersatu atau United Nation dan beberapa penghormatan lain.

14.  Di satu segi Najib telah berjaya memperdaya dan menipu masyarakat antarabangsa dengan slogan ‘Freedom of Speech’ atau Kebebasan Bersuara, dasar ‘Moderation’ atau Kesederhanaan dan amalan Demokrasi tulin yang kononnya menjadi pegangan Kerajaannya sedangkan apa yang dilakukan terhadap musuh - musuh politiknya lain sekali.

15.  Sebagai contoh kekerasan dilakukan terhadap perhimpunan BERSIH  yang mendesak setiap Pilihanraya mestilah  bersih dari sebarang kecurigaan dan salahlaku,  dan dalam masa yang sama DBKL tidak membenarkan rakyat berhimpun di padang Dataran Merdeka.

16.  Ramai pemimpin BERSIH dipukul, diheret dan dihumbankan ke dalam trak polis.

17.  Perkara yang sama berlaku terhadap penuntut - penuntut universiti yang berhimpun mendesak GST dihapuskan.

18.  Itulah cara Najib dan Kerajaan UMNO /BN memerintah.

19.  Perbezaan begitu ketara sekali apabila Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri tidak teragak - agak membenarkan rakyat berhimpun pada 08/12/18 dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang - undang.

20. Tidakkah Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan Perhimpunan pada 8hb Disember nanti?

21.  Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.

22.  Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Hadi terpaksa meneruskan Perhimpunan  pada 8hb Disember  ini bagi membantah ICERD sedangkan Kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan TIDAK AKAN menandatangi deklarasi tersebut.

23. Oleh kerana berbagai publisiti telah dibuat begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan maka Perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan - alasan yang remeh.

24.  Saya dan ramai lagi akan sama - sama turun padang jika sekiranya Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.

25.  Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana 7 juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di Lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.

26.  Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana Kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.

27.  Hadi pula dengan alasan hendak mengajar Menteri - Menteri yang tidak menghormati Perdana Menteri.

28.  Zahid dan beberapa ahli UMNO pula mahu memprotes ICERD.

29.  Dengan berbagai alasan diberikan mereka,  ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.

30.  Kan lebih bermakna jika mereka gunakan Perhimpunan ini menuntut Najib , Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali  harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.

31.  Yang akan berkumandang di udara ialah laungan ' Takbir' dan ‘Hidup Najib’  bukannya 'Najib , pulangkan duit kami'.

Terima kasih.

20191209 ROMPAKAN DI SIANG HARI - SERAHKAN SAJA JOHOR KEPADA SULTAN

ROMPAKAN DI SIANG  HARI -  SERAHKAN  SAJA  JOHOR  KEPADA  SULTAN

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 09/12/18
( 1 -  24 )

1.    "Alang - Alang  Menyeluk Pekasam Biar  Sampai Ke Pangkal  Lengan”.

2.   Perumpamaan ini saya gunakan bagi membantu Sultan Johor yang kebetulan keturunan setengah Bugis dan setengah Inggeris mengusai sepenuhnya setiap inci tanah  negeri tersebut.

3.   Jika masih ingat Negara  kita pernah dua kali dijajah oleh Inggeris dan kebetulan pula asal usul  Raja Johor pula adalah orang Bugis dari kepuluan Sulawesi, Indonesia.

4.  Jika kita menyingkap sejarah moden yang bermula dari Sultan Ibrahim, moyang kepada Sultan Ibrahim sekarang, berbagai perkara  yang telah dilakukan; ini termasuklah cerita ada di kalangan mereka yang berlagak lebih Inggeris dari Inggeris sendiri, ada yang hobinya mengadakan hubungan dengan isteri orang, menzalimi ,  mencedera malah membunuh rakyat sesuka hati dan merampas tanah negeri atas nama Tanah Sultan atau Sultanate Land.

5.  Kes terbaru yang telah bocor ke pengetahuan rakyat ialah berhubung Pulau Kukup.

6.  Khaled Nordin, Menteri Besar Kerajaan UMNO / BN dahulu telah bukan sahaja menarik balik status Pulau Kukup sebagai Taman Negara , malah bagi maksud mengampu Sultan atas sebab - sebab tertentu secara senyap - senyap telah memindahkan tanah tersebut menjadi Tanah Kesultanan atau Sultanate Land.

7.  Pulau tersebut telah diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 1997.

8.  Sepatutnya Kerajaan baru yang diketuai oleh Osman Supian dan EXCOnya  MEMBATALKAN saja kelulusan yang dibuat itu, bukan mengesahkan salahlaku Kerajaan lama.

9.  Alasan kononnya pemindahaan Taman Negara Pulau Kukup dan semua Taman Negara dari Kerajaan Johor ke Tanah Kesultanan atau Sultanate Land bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negeri Johor adalah tidak masuk akal dan bodoh.

10.   Sebelum peristiwa  'rampasan' Taman Negara Pulau Kukup itu berlaku difahamkan tanah seluas melebihi 50,000 ekar dan  beberapa bidang tanah lain telah pun diberi kepada Sultan oleh Kerajaan UMNO/ BN.

11.  Malah saya difahamkan juga Kerajaan PH telah meluluskan beberapa keping tanah berpotensi kepada orang yang sama atau  proksinya.

12.  Mana - mana EXCO yang tidak bersetuju atau sehaluan dengan kehendak Sultan berkemungkinan besar mereka akan diugut oleh Sultan atau konco - konconya.

13.  Harus diingatkan sekali lagi tanggungjawab utama semua Wakil - Wakil Rakyat Pakatan Harapan khasnya Osman Sapian dan barisan EXCOnya ialah berkhidmat untuk rakyat.

14.  Tanpa sokongan rakyat mereka semua tidak akan berpeluang menjadi Menteri Besar, EXCO, Wakil Rakyat dan jawatan - jawatan lain.

15.  Mereka juga harus ingat bagaimana Sultan dan anaknya yang tak cerdik tapi 'syok' sendiri
itu telah berkempen secara terang - terangan meminta rakyat menolak parti PH; justeru mengapa MB dan EXCO dan Wakil Rakyat yang lain  beria - ia sangat nak berbudi kepada Sultan dan keluarganya yang TIDAK mahu mereka ( PH ) mengambil alih kuasa dari UMNO/ BN?

16.   Cukuplah dengan kekayaan dan kemewahan Sultan dan keluarganya ; biarlah mereka berbangga dengan Istana - Istana dan ratusan kenderaan  hasil segala jenis cukai , pendapatan negeri dan segala jenis hasil mahsul negeri seperti tanah , pasir sungai dan laut , boxsite , perairan Selat Johor dan lain - lain lagi sama ada secara sah atau sebaliknya.

17. Jika hendak  'melindungi kepentingan dan
kedaulatan negeri Johor' dijadikan alasan oleh Sultan dan anaknya bagi memiliki sebanyak mana tanah dan pulau, maka adalah lebih baik serah sahaja keseluruhan negeri Johor kepada Sultan; justeru status Sultan diubah dari Raja Berpelembagaan kepada Raja Mutlak.

18.  Selepas itu Sultan bolehlah melantik siapa sahaja menjadi Bendahara atau Menteri Besar tanpa melalui proses pilihanraya.

19.  Perlembagaan negeri boleh dipinda dengan hanya kehendak Sultan ; ini termasuklah setiap inci tanah di buni Johor dikuasai olehnya.

20.  Ini adalah lebik baik dari berselindung di sebalik Menteri Besar Osman Sapian , EXCO dan Wakil - Wakil rakyat yang dah mula lupa jasa rakyat.

21.  Janganlah jadi  "Kacang Lupakan Kulit" , "Dah Menyeberang Tongkat  Di Buang".

22.  Semoga rakyat dan Sultan diberi kesedaran ,  keinsafan  dan jati diri demi kebaikan bersama.

23.  Segala kedudukan , pangkat,  kekayan dan kemewahan yang kita nikmati adalah sementara sahaja.

24.   Sultan , Menteri Besar , Mufti dan rakyat biasa semuanya AKAN  MATI  dan PASTI akan disoal dialam kubur dan PASTI akan dibangkitkan semula bagi ketentuan Syurga dan Neraka ;  HANYA  AMALAN BAIK  DI DUNIA  YANG  BOLEH  MENJADI
PENYELAMAT.

Terima Kasih.

Saturday, 1 December 2018

20181201 SAMPAI BILA NAK BERGADUH?

SAMPAI  BILA  NAK  BERGADUH?

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu - 01/12/18
( 1 -  32)

1.  Selepas beratus tahun dijajah oleh Portugis , Belanda, Inggeris, Jepun  dan Inggeris semula , akhirnya kita berjaya menurunkan bendera Union Jack dan mengkibarkan bendera sendiri pada 31hb Ogos 1957.

2.  Ribuan rakyat Malaya dari berbagai keturunan membanjiri Stadium Merdeka untuk
mendengar laungan   'MERDEKA !!!' yang dilafazkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri pertama.

3.  6 tahun selepas Merdeka satu lagi sejarah tercipta apabila lahirnya sebuah Negara baru, Malaysia.

4.   Ia adalah hasil gabungan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura.

5.  Gabungan tersebut mula mengecil apabila pada tahun 1965 Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari gagasan tersebut.

6.  Pada 13hb Mei 1969  iaitu hanya 12 tahun selepas merdeka, negara dikejutkan dengan pergaduhan kaum.

7.  Mengikut Tunku dalam tulisannya di ruangan 'As I See It’ di akhbar The Star, peristiwa 13 Mei 1969 itu adalah satu  rampasan kuasa yang dirancang begitu rapi oleh Tun Razak dengan dibantu oleh beberapa pemimpin UMNO  bagi mengambil  alih tampuk kepimpinan daripada beliau.

8.  Perkara ini pernah diceritakan sendiri oleh Tun Ghazali Shafie ( arwah) kepada saya  dan beberapa orang EXCO  Pemuda UMNO yang diketuai oleh Anwar Ibrahim semasa kami membuat kunjung hormat terhadapnya.

9.  Atas cadangan Tun Razak, Dr. Mahathir yang ketika itu baru berusia 43 tahun telah bersetuju meminta Tunku Abdul Rahman berundur melalui  seutus suratnya.

10.  'Rampasan Kuasa' itu yang mengakibatkan ratusan nyawa yang tak bersalah terkorban TERPAKSA dilakukan kerana ketika itu berkemungkinan Tun Razak, dan hanya beliau sahaja  tahu yang beliau sedang menghidapi satu jenis penyakit yang boleh membawa maut.

11.  Bagi membalas budi, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tunku, Dr. Mahathir telah diterima masuk semula sebagai ahli UMNO dan  dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

12.  Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri kedua  tidak lama, hanya 5 tahun sahaja.

13.  Bagi menutup cerita sebenar, jalan mudah yang mereka ambil ialah dengan menyalahkan DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang  dan masyarakat Cina kononnya merekalah yang memulakan peristiwa  berdarah 13 Mei 1969 itu.

14.  Selepas meninggal dunia, Tun Hussain Onn dipilih sebagai Perdana Menteri ke-3 dan diikuti oleh Dr. Mahathir kemudiannya selama 22 tahun.

15.  Tun Mahathir yang bersara secara sukarela digantikan oleh Abdullah Badawi dan selepas itu, Najib Tun Razak.

16.  Bagi menyelamatkan Negara dari amalan rasuah , salahguna kuasa dan rompakan harta rakyat dan negara  yang begitu buas dan berterusan oleh Najib dan Rosmah, Tun Dr. Mahathir TIDAK ADA PILIHAN  melainkan menerima tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

17.  Disebabkan penglibatan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Tunlah, maka buat pertama kali dalam sejarah , UMNO dan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun dan selepas 13 kali Pilihanraya Umum,  dapat dikalahkan sedangkan beberapa usaha menggantikan UMNO/BN sebelum ini tidak pernah berjaya.

18.  Justeru mulai 10hb Mei 2018 pada usia 93 tahun Tun Dr. Mahathir Muhamnad diangkat semula sebagai Perdana Menteri buat kali kedua menggantikan Najib yang 30 tahun lebih muda dari beliau.

19. Walaupun Tun merupakan pemimpin yang tertua sekali dii kalangan pemimpin - pemimpin dunia yang lain namun kita sepatutnya berbangga dan bersyukur kerana beliau masih bertenaga dan tidak nyanyuk seperti tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Najib dan pemakan-pemakan dedaknya menjelang pilihanraya yang lepas.

20.  Bukan senang membaik pulih rumah yang hampir menyembah bumi dek dimakan oleh anai-anai.

21. Setelah dikalahkan dengan teruk dalam peperangan dunia kedua, Jepun dan Jerman kini merupakan negara terkuat dari segi ekonominya; ini kerana rakyat di sana tekad untuk bersatu memulihkan semula negara mereka.

22. Bukankah kita pernah bersatu menuntut kemerdekaan dari British dahulu?

23. Malangnya isu perkauman dan agama masih dijadikan modal oleh pembangkang khasnya  UMNO  dan PAS bagi meraih sokongan tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku terhadap negara - mereka hanya mementingkan nafsu diri asalkan mereka dapat merampas semula kuasa yang telah terlepas dari genggaman.

24. Bagi menyelamatkan diri dari merengkok di dalam penjara,  Najib, Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin UMNO  lain yang sedang dan akan menghadapi berbagai pertuduhan jenayah dan penyelewangan semasa mereka berkuasa dahulu ialah dengan cuba menumbangkan Tun dengan menggantikannya dengan orang lain yang mungkin  'Membaling Batu Sembunyi Tangan'.

25. Hadi pula sedang berangan - angan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika tidak Perdana Menteri  kononnya dengan menggunakan isu keagamaan,  mereka dengan bantun UMNO dan beberapa orang tertentu sama ada yang di luar PH mahun pun yang memegang jawatan tertentu dalam PH boleh menumbangkan Tun dengan sekelip mata.

26. Zahid, Hadi dan beberapa orang kanan mereka tidak berhenti - henti membakar semangat  rakyat Melayu bagi  berhimpun beramai - ramai pada 8hb Disember  ini untuk membantah Kerajaan PH atas alasan kononnya ICERD yang akan menghapuskan hak istimewa orang Melayu , Bahasa dan Raja - Raja Melayu akan dilaksanakan sedangkan Kerajaan telah memutuskan TIDAK AKAN  menandatangi deklarasi tersebut.

27. Polis harus berani dan bertegas - tangkap sahaja mereka ini khasnya Zahid dan Hadi sebelum nasi menjadi bubur; jika tidak lebih banyak lagi insiden yang melibatkan perkauman akan terus berlaku.

28. Apa untungnya kita rakyat Malaysia terus bergaduh dan bermusuhan sesama sendiri?

29. Negara ini bukan dipunyai oleh orang Melayu sahaja; rakyat asal negara ini ialah orang Asli bukan Melayu , Cina dan India?

30. JANGAN TERLALU  EMOSI DENGAN MENGAMBIL   JALAN  MUDAH MENYALAHKAN  ORANG  LAIN  ATAS  KELEMAHAN DAN KEGAGALAN  KITA  SENDIRI.

31. ALLAH  SWT  menjadikan kita berbagai - bagai kaum dan bangsa supaya kita saling hormat menghormati dan bantu membantu di antara satu sama lain.

32. Terserahlah pada pembaca menilai pandangan saya ini.

Terima Kasih.