Sunday, 23 December 2018

20181223 FROM RUSSIA WITH LOVE

FROM  RUSSIA  WITH  LOVE

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 23/12/18
( 1 -  44 )

1.  Qada' dan Qadar  adalah Rukun Iman yang keenam iaitu mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT semata - mata.

2.  Namun kita juga diberi peluang memilih jalan mana yang  harus kita ikut; ini termasuk memilih pasangan hidup.

3.  Ramai  umat Islam memilih jalan yang diredahiNya dan ramai juga yang masih belum lagi melaksanakan PerintahNya.

4.  Hari ini 23hb Disember genap sebulan KATANYA telah berlangsung Majlis Pernikahan dan Persandingan
diantara Yang Di Pertuan Agong dengan bekas ratu cantik Moscow, Russia.

5.  Mengikut lapuran Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Konsert Barvikha di kota raya Moscow.

6.  Sehingga kini tidak ada sebarang pengesahan dan pengumuman rasmi daripada Istana Negara berhubung Majlis tersebut.

7. Difahamkan Perdana Menteri  hanya dimaklumkan tujuan beliau ( Agong ) bercuti selama dua bulan atas TUJUAN BERUBAT.

8.  Tengku Faris Petra yang dilahirkan  pada 5hb Oktober 1969 telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan ke 29 pada 13hb September 2010, dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

9.  Perlantikan beliau sebagai Sultan diselubungi dengan penuh kontroversi.

10.  Peristiwa 'rampasan kuasa'  itu berlaku atas alasan ayahanda beliau, Sultan Ismai Petra uzur disebabkan serangan angin akmar yang dialaminya.

11.  Beliau merupakan Sultan yang pertama menarik balik Anugerah Kebesaran Darjah Kerabat ( DK ) Kelantan daripada Tun Dr. Mahathir yang semasa itu berkempen menentang UMNO / Barisan Nasional.

12.  Pada 13hb Disember 2016 Majlis Raja - Raja telah memilih beliau sebagai Yang Di Pertuan Agong ke 15.

13.  Satu lagi 'drama' telah berlaku apabila perlantikan Tun Dr. Mahathir telah ditangguhkan beberapa kali oleh beliau.

14.  Tun Dr. Mahathir yang berusia 93 tahun dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Ali terpaksa menahan kesabaran dengan karenah Agong itu.

15.  Atas sebab - sebab tertentu atau mungkin ada  tangan disebalik tabir atau dek mungkin sudah termakan budi, Agong sememangnya mencari helah untuk tidak melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

16.  Ketegasan Mat Sabu ( AMANAH ) dan Lim Guan Eng ( DAP ) telah menyebabkan cadangan Agong melantik Dr. Wan Azizah ( PKR ) gagal.

17. Sebenarnya ketika itu Agong TIDAK menghirau dan MENGHORMATI suara dan kehendak rakyat.

18. Amat mustahil beliau dan pegawai-pegawai tinggi Istana Negara terlepas pandang beberapa kenyataan yang telah dibuat berhubung perkara ini.

19. Sebenarnya tindakan Agong itu tidak menampak atau mencerminkan keikhlasan beliau.

20. Perwatakan demikian amat tidak sesuai dan layak sebagai seorang yang telah diberi kepercayaan menjadi Agong.

21. Pernikahan beliau dengan wanita Russia itu pun telah menimbulkan berbagai persoalan.

22. Oksana Voevodina yang berumur 25 tahun itu telah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Moscow pada tahun 2015.

23. Selain itu beliau tampil sebagai seorang peragawati atau model.

24. Alhamdulillah pada 16hb April 2018 beliau diberitakan telah memeluk Agama Islam dan menggunakan nama Rihana Oxana Gorbatenko.

25. Sama  ada sahih atau sebaliknya namun cerita - cerita dan gambar - gambar berserta video lucah beliau masih  tersebar luas  di media sosial.

26. Ada yang berpendapat aksi - aksi video klip beliau di dalam kolam renang dan diatas katil bersama lelaki lain dan aksi - aksi beliau di tepi pantai dengan pakaian mandi yang menjolok mata itu semuanya dilakukan sebelum beliau memeluk Islam.

27. Ramai juga berpendirian demi menjaga imej negara, Agong sepatutnya tidak tergesa - gesa mencari pasangan.

28. Beliau sepatutnya menyelidik latar belakang wanita tersebut.

29. Tidak boleh dibayangkan jika ada mereka yang kreatif dan nakal mempamerkan potrait Agong bersama Permaisuri ( ? ) baru dengan gambar - gambar seksi beliau di sebelahnya.

30. Terserahlah sama ada Kerajaan mahu mengiktiraf  wanita Russia ini sebagai Permaisuri atau tidak.

31. Satelah menceraikan isteri pertamanya, Tengku Zubaidah Tengku Norudin maka tidaklah menjadi kesalahan bagi beliau mempunyai pasangan hidup baru.

32. Yang bernikah bukankah Faris bin Ismail tapi Tengku Faris bin Tengku Ismail, Yang Dipertuan Agong.

33. Agong adalah LAMBANG NEGARA,  bukannya mat pit atau penghisap dadah tegar yang kahwin di merata tempat secara senyap - senyap dan selepas itu membawa balik isterinya ke rumah ibu bapa untuk diperkenalkan dan mahu dihormati?

34. Apa agaknya perasaan orang tua bila anak yang dilahirkan dan dibelai hingga dewasa berperangai sedemikian.

35. Sejak dulu lagi sudah menjadi amalan sesetengah keturunan Raja berkahwin dengan sesiapa sahaja khasnya dengan dengan bangsa kulit putih, tak kira sama ada pernah berkahwin atau bujang.

36. Kira - kira 11 bulan selepas ditabalkan sebagai Raja England  iaitu pada  11hb Disember 1936 King Edward melepaskan takhta tersebut.

37. Beliau berbuat demikian atas sebab
bagi mengkahwini seorang janda Amerika, Wallis  Simpson dan pada masa yang sama bagi menjaga tradisi, kedaulatan Institusi Raja itu sendiri dan nama baik Empayar Great Britain.

38. Tindakan King Edward itu membuktikan beliau tidak mementingkan pangkat dan kedudukan; nama beliau masih disebut dan dihormati sehingga sekarang.

39. Selepas  turun takhta secara sukarela,  Kerajaan Great Britain memberi gelaran 'The Duke of Windsor’ kepada beliau namun isterinya itu TIDAK dibenar menggunakan gelaran 'Her Royal Highness’.

40. Kisah Agong berkahwin dengan wanita Russia ini mengingatkan saya kepada sebuah filem Inggeris  arahan Ian Flemings berjodol ' FROM  RUSSIA  WITH  LOVE '.

41. Ia berkisar kepada seorang perisik England, James Bond yang akhirnya jatuh cinta dengan seorang gadis rupawan Russia yang telah dilatih sebagai perisik atau Agent Russia.

42. ‘Bak Sireh Pulang Ke Gagangnya’ maka Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob,  timbalannya Nik Amar dan rakyat Serambi Mekah itu bolehlah menyediakan beberapa ekor gajah putih sebagai persediaan menyambut secara besar - besaran dengan penuh tradisi kepulangan Sultan mereka dan Sultanah atau Permaisuri baru  mereka - Tahniah !!!

43. Pahala dan Syurga Bukan Terletak Pada Jubah, Kopiah dan Tudung Yang Kita Pakai tetapi IMAN.

44. SEMOGA TIDAK ADA MUSUH DALAM SELIMUT.

Sila kongsi bersama.

Terima Kasih.

Saturday, 15 December 2018

20181215 JIKA SINGAPURA PUN BOLEH DIJUAL, INIKAN PULA PULAU KUKUP?

JIKA  SINGAPURA  PUN  BOLEH  DIJUAL, INIKAN  PULA  PULAU  KUKUP?

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu - 15/12/18
( 1 -  38 )

1.   Sejarah  Kesultanan Johor berubah apabila Sultan Mahmood mati ditikam oleh Megat Seri Rama, Laksamana Bentan.

2.  Peristiwa itu berlaku ekoran kezaliman Sultan membunuh Dang Anum , isteri Megat Seri Rama yang sedang hamil.

3.  Makam 'Sultan Mahmood
Mangkat Di Julang' itu kini terletak di atas sebuah bukit di bandar Kota Tinggi, Johor.

4.  Oleh kerana beliau tidak mempunyai waris atau zuriat , orang kampung di situ telah memilih seorang dari mereka yang kebetulan berdarah Bugis bergelar Temenggong sebagai ketua mereka yang baru dan akhirnya telah menggunakan gelaran Raja.

5.  Inilah tipu helah pertama sehingga rakyat biasa yang pernah memegang jawatan Temenggong dipilih sebagai Raja atau Sultan sehinggalah ke hari ini.

7.   Dalam tahun 1819 Sultan Hussein Mua’zzam Shah dianggat sebagai Sultan Johor yang baru.

8.   Bagi mendapatkan sokongan dan pengiktirafan British, Raja Hussein telah menjual Pulau Singapura kepunyaan Johor itu kepada mereka.

9.  Peristiwa hitam ini tercatit
dalam sejarah Johor dan Negara.

10.  Jika ada mana - mana pihak yang menganjurkan  rakyat atau 'Bangsa' Johor mengkaji sejarah Johor, maka peristiwa ini tidak boleh diketepikan.

11.  Pesanan akhir Megat Seri Rama ' RAJA  ADIL  RAJA  DI SEMBAH , RAJA ZALIM  RAJA  DISANGGAH' harus dijadikan pengajaran.

12.  Tindakan - tindakan liar dan buas  Sultan Mahmmod Iskandar , bapa kepada Sultan Johor sekarang dengan mencedera, menzalimi malah membunuh rakyat 
sesuka hati itulah yang  menyebabkan Tun Dr. Mahathir bertindak.

13.  Kini Sultan Johor , anaknya dan beberapa Sultan yang lain cuba menutup pekong yang mereka lakukan dengan alasan Kerajaan PH hari ini akan menghapuskan Institusi Raja.

14.  Menegur dan menasihatkan supaya  Raja - Raja menghormati pemimpin dan rakyat dan  menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang dan Agama Islam tidak bermakna Kerajaan hendak menghapuskan Institusi Raja.

15.  Jika sekiranya Raja - Raja menggangap diri mereka  'perfect' atau 'maksum' yang tak boleh di nasihat dan ditegur, maka inilah bermulanya kehancuran Instutusi Raja itu sendiri.

16.  Sekali lagi saya anjurkan agar Majlis Raja - Raja yang bersidang setiap tahun membincangankan peranan dan tanggungjawab dan tingkah laku mereka sendiri.

17.  Rakyat hari ini sedang memerahati segala tingkah laku Raja DAN keluarga mereka.

18.  Penolakan rakyat kepada UMNO / BN terutamanya diJohor baru - baru ini adalah lampu isyarat kepada Sultan dan anaknya itu.

19.  Jika itu pun mereka tak faham atau buat - buat tak faham maka ini membawa makna rakyat atau bangsa Johor mempunyai Sultan dan bakal Sultan yang tak berapa cerdik atau ALLAH SWT telah menutup mata dan hati mereka.

20.  Baru - baru ini negara dikejutkan dengan pemindahan Taman Negara Pulau Kukup dari Hak Milik Kerajaan ke Tanah Kesultanan atau Sultanate Land.

21.  Mengikut undang - undang seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin,  bekas Menteri Besar yang bertanggungjawab mewartakan Pulau itu, apabila Hak Milik bertukar tangan maka Sultan boleh berbuat apa sahaja aktiviti dan mengenakan berbagai syarat atau akhirnya boleh menjual Pulau tersebut kepada pelabur Singapura atau China seperti yang pernah dilakukan oleh keturunan beliau apabila menjual Pulau Singapura, hak asal Johor kepada British dahulu. Lihat saja kepada projek raksasa Forest City, berapa ramai anak tempatan yang mampu membelinya.

22.  Mengikut Enakmen status Pulau Kukup sebagai Taman Negara gugur apabila ia diwartakan sebagai Tanah Kesultanan atau Sultanate Land ; ini bercanggah dengan jaminan Sultan Johor sendiri apabila beliau mengatakan status Pulau itu dikekalkan walaupun berpindah milik.

23.  Begitu juga alasan yang diberi oleh anaknya bahawa tujuan memindahkan Hak Milik Pulau tersebut bagi memelihara dan  melindungi kedaulatan tanah berkenaan.

24.  Jika itulah alasannya,  bukankah baik diserahkan sahaja keseluruhan tanah Johor menjadi Sultanate Land?

25.  Perkara ini telah saya bangkitkan dalam tulisan saya baru - baru ini bertajuk  "ROMPAKAN DI SIANG  HARI , SERAHKAN SAHAJA  SETIAP  INCI TANAH  KEPADA  SULTAN".

26.  Apakah tujuan dan muslihat sebenar Sultan dan anakya MEMAKSA Kerajaan Negeri MEMINDAHKAN Hak Milik dari Negeri kepada mereka?

27.   Ada laporan yang menyatakan
Pulau tersebut kaya dengan emas dan lain hasil maksul bumi.

28.   Dalam perkara Pulau Kukup ini terbukti bukan sahaja Menteri Besar , EXCO , Setiausaha Kerajaan Negeri ,  Pengarah Tanah dan Galian dan Pegawai Undang - Undang takut kepada Sultan dan anaknya malah mereka boleh dianggap BERSEKONGKOL dengan dua orang itu.

29.  Walaupun sudah Pindah Milik dan dibatalkan Warta tersebut namun jika mereka yang diamanahkan rakyat masih sayangkan Negeri dan rakyat Johor, maka Kerajaan Negeri melalui MB dan EXCOnya dan Dewan MASIH  BOLEH MEMBATALKAN kelulusan awal itu.

30.  Yang membuang Kerajaan Negeri UMNO / BN ialah  rakyat, dan yang memberi peluang Osman Sapian sebagai Menteri Besar , barisan EXCO dan ADUN yang lain ialah rakyat Johor juga.

31.  Jangan jadi sepert "Kacang Lupakan Kulit " , "Dah Menyeberang Tongkat Mahu Dibuang".

32.  MB dan EXCO berkhidmat untuk kepentingan negeri dan rakyat BUKAN  nak bertindak apa sahaja kehendak Istana.

33.  Perlu diingatkan sekali lagi kepada Osman Sapian , EXCO dan ADUN dan Pegawai - Pegawai Kerajaan, Sultan BUKAN  Tuhan atau Malaikat atau keturunan Dewa - Dewa dan Jin yang kita perlu takuti.

34.  Sultan dan anaknya juga TERTAKLUK kepada Perlembagaan dan Undang - Undang.

35.  Jika sekiranya tidak ada tindakan membatalkan kelulusan tersebut dalam masa terdekat ini maka adalah lebih baik GANTIKAN SAHAJA beliau kepada sesiapa yang benar - benar berjiwa rakyat - atau rakyat  buangkan sahaja Kerajaan Negeri ini yang sudah seperti kacang lupakan kulit.

36.  Jika Sultan berjiwa besar dan mengamalkan sikap Mahmudiah dan sayangkan Negeri dan 'Bangsa' Johor PULANGKAN saja Pulau Kukup itu kepada Kerajaan Negeri TANPA  MEMINTA sebarang pampasan dan gantian dengan tanah yang lain.

37.  Harta kekayaan Sultan Johor dan keluarganya yang dianugerah ALLAH SWT jika dikumpulkan ia mungkin lebih tinggi dari Bukit Layang - Layang.

38.   Semoga pandangan saya ini dapat berkongsi bersama oleh Sultan, MB, EXCO dan lain - lain.

Terima Kasih.

Sunday, 9 December 2018

20181206 ICERD ATAU ICURI?

ICERD  ATAU  ICURI?

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 06/12/18
( 1 - 31 )

1.  Saya amat tertarik dengan lakaran - lakaran kartun Zunar dan beberapa kartunis lain dengan tajuk dan motif  kelakar tapi penuh dengan mesej dan pesanan.

2.  Jika lakaran seperti yang dilampirkan ini dilukis semasa zaman Najib memerintah dahulu sudah pasti bukan sahaja lakaran tersebut dirampas dan dimusnahkan, malah pelukisnya akan dipenjarakan.

3.  Sebagai contoh Zunar bukan sahaja pernah dikasari tapi pejabat beliau digeledah; 9 tajuk buku karyanya beserta ribuan buah jilidnya turut dirampas.

4.  Tidak cukup dengan itu , beliau juga pernah dilokapkan sebanyak 5 kali , dan dikenakan  9 pertuduhan dibawah beberapa Akta dan Undang - Undang seperti Akta Hasutan, Akta Multimedia,  Penal Code , Undang - Undang  Immigration dan beberapa undang - undang lain . Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjarakan selama 45 tahun.

5.  Itulah demokrasi dan kebebasan bersuara ala Najib yang dilaung - laungkan di pentas antarabangsa tetapi di dalam negara sesiapa sahaja yang menentang beliau akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

6.  Saya sendiri pernah bermalam di lokap polis Jinjang Kuala Lumpur bersama Tian Chua ( mantan MP Batu ) , Hishamuddin Rais , Adam Adli , Haris Ibrahim dan beberapa orang rakan lain.

7.  Kesalahan kami ialah kerana menuduh UMNO/BN menipu dalam PRU 13  dahulu, justeru kami dituduh dibawah Akta Hasutan.

8.  Selepas 5 tahun dan selepas rakyat menumbangkan Kerajaan UMNO/BN barulah kes kami selesai.

9.   Polis dibawah Khalid Bakar, Apandi Ali , Peguam Negara dan Dzulkifli Ahmad , KP SPRM adalah ulat dan alat Najib dan Rosmah ketika itu; kerja mereka ialah menangkap siapa saja yang dilihat menentang Najib.

10.  Mereka mewah dan bermaharajalela.

11.  Boleh dibayangkan apakah tindakan Najib dan Rosmah terhadap Zunar dan kartunis lain termasuk mereka yang tidak sebulu dengannya; yang mewah ialah pemakan - pemakan dedak - CASH  IS  KING.

12.   Walaupun dibenci dan dizalimi namun masyarakat antarabangsa amat kagum dengan lakaran - lakaran beliau.

13.  Zunar telah dihormati dengan beberapa anugerah berprestij seperti :

a.  Courage In Editorial Cartooning Award - 2012.

b.  International Press Foundation Award, New York - 2015.

c.  Cartooning For Peace Award - 2016 ,  Geneva - oleh Kofi Annan, mantan Setiausaha Agong Pertubohan Bangsa Bangsa Bersatu atau United Nation dan beberapa penghormatan lain.

14.  Di satu segi Najib telah berjaya memperdaya dan menipu masyarakat antarabangsa dengan slogan ‘Freedom of Speech’ atau Kebebasan Bersuara, dasar ‘Moderation’ atau Kesederhanaan dan amalan Demokrasi tulin yang kononnya menjadi pegangan Kerajaannya sedangkan apa yang dilakukan terhadap musuh - musuh politiknya lain sekali.

15.  Sebagai contoh kekerasan dilakukan terhadap perhimpunan BERSIH  yang mendesak setiap Pilihanraya mestilah  bersih dari sebarang kecurigaan dan salahlaku,  dan dalam masa yang sama DBKL tidak membenarkan rakyat berhimpun di padang Dataran Merdeka.

16.  Ramai pemimpin BERSIH dipukul, diheret dan dihumbankan ke dalam trak polis.

17.  Perkara yang sama berlaku terhadap penuntut - penuntut universiti yang berhimpun mendesak GST dihapuskan.

18.  Itulah cara Najib dan Kerajaan UMNO /BN memerintah.

19.  Perbezaan begitu ketara sekali apabila Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri tidak teragak - agak membenarkan rakyat berhimpun pada 08/12/18 dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang - undang.

20. Tidakkah Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan Perhimpunan pada 8hb Disember nanti?

21.  Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.

22.  Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Hadi terpaksa meneruskan Perhimpunan  pada 8hb Disember  ini bagi membantah ICERD sedangkan Kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan TIDAK AKAN menandatangi deklarasi tersebut.

23. Oleh kerana berbagai publisiti telah dibuat begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan maka Perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan - alasan yang remeh.

24.  Saya dan ramai lagi akan sama - sama turun padang jika sekiranya Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.

25.  Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana 7 juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di Lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.

26.  Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana Kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.

27.  Hadi pula dengan alasan hendak mengajar Menteri - Menteri yang tidak menghormati Perdana Menteri.

28.  Zahid dan beberapa ahli UMNO pula mahu memprotes ICERD.

29.  Dengan berbagai alasan diberikan mereka,  ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.

30.  Kan lebih bermakna jika mereka gunakan Perhimpunan ini menuntut Najib , Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali  harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.

31.  Yang akan berkumandang di udara ialah laungan ' Takbir' dan ‘Hidup Najib’  bukannya 'Najib , pulangkan duit kami'.

Terima kasih.

20191209 ROMPAKAN DI SIANG HARI - SERAHKAN SAJA JOHOR KEPADA SULTAN

ROMPAKAN DI SIANG  HARI -  SERAHKAN  SAJA  JOHOR  KEPADA  SULTAN

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 09/12/18
( 1 -  24 )

1.    "Alang - Alang  Menyeluk Pekasam Biar  Sampai Ke Pangkal  Lengan”.

2.   Perumpamaan ini saya gunakan bagi membantu Sultan Johor yang kebetulan keturunan setengah Bugis dan setengah Inggeris mengusai sepenuhnya setiap inci tanah  negeri tersebut.

3.   Jika masih ingat Negara  kita pernah dua kali dijajah oleh Inggeris dan kebetulan pula asal usul  Raja Johor pula adalah orang Bugis dari kepuluan Sulawesi, Indonesia.

4.  Jika kita menyingkap sejarah moden yang bermula dari Sultan Ibrahim, moyang kepada Sultan Ibrahim sekarang, berbagai perkara  yang telah dilakukan; ini termasuklah cerita ada di kalangan mereka yang berlagak lebih Inggeris dari Inggeris sendiri, ada yang hobinya mengadakan hubungan dengan isteri orang, menzalimi ,  mencedera malah membunuh rakyat sesuka hati dan merampas tanah negeri atas nama Tanah Sultan atau Sultanate Land.

5.  Kes terbaru yang telah bocor ke pengetahuan rakyat ialah berhubung Pulau Kukup.

6.  Khaled Nordin, Menteri Besar Kerajaan UMNO / BN dahulu telah bukan sahaja menarik balik status Pulau Kukup sebagai Taman Negara , malah bagi maksud mengampu Sultan atas sebab - sebab tertentu secara senyap - senyap telah memindahkan tanah tersebut menjadi Tanah Kesultanan atau Sultanate Land.

7.  Pulau tersebut telah diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 1997.

8.  Sepatutnya Kerajaan baru yang diketuai oleh Osman Supian dan EXCOnya  MEMBATALKAN saja kelulusan yang dibuat itu, bukan mengesahkan salahlaku Kerajaan lama.

9.  Alasan kononnya pemindahaan Taman Negara Pulau Kukup dan semua Taman Negara dari Kerajaan Johor ke Tanah Kesultanan atau Sultanate Land bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negeri Johor adalah tidak masuk akal dan bodoh.

10.   Sebelum peristiwa  'rampasan' Taman Negara Pulau Kukup itu berlaku difahamkan tanah seluas melebihi 50,000 ekar dan  beberapa bidang tanah lain telah pun diberi kepada Sultan oleh Kerajaan UMNO/ BN.

11.  Malah saya difahamkan juga Kerajaan PH telah meluluskan beberapa keping tanah berpotensi kepada orang yang sama atau  proksinya.

12.  Mana - mana EXCO yang tidak bersetuju atau sehaluan dengan kehendak Sultan berkemungkinan besar mereka akan diugut oleh Sultan atau konco - konconya.

13.  Harus diingatkan sekali lagi tanggungjawab utama semua Wakil - Wakil Rakyat Pakatan Harapan khasnya Osman Sapian dan barisan EXCOnya ialah berkhidmat untuk rakyat.

14.  Tanpa sokongan rakyat mereka semua tidak akan berpeluang menjadi Menteri Besar, EXCO, Wakil Rakyat dan jawatan - jawatan lain.

15.  Mereka juga harus ingat bagaimana Sultan dan anaknya yang tak cerdik tapi 'syok' sendiri
itu telah berkempen secara terang - terangan meminta rakyat menolak parti PH; justeru mengapa MB dan EXCO dan Wakil Rakyat yang lain  beria - ia sangat nak berbudi kepada Sultan dan keluarganya yang TIDAK mahu mereka ( PH ) mengambil alih kuasa dari UMNO/ BN?

16.   Cukuplah dengan kekayaan dan kemewahan Sultan dan keluarganya ; biarlah mereka berbangga dengan Istana - Istana dan ratusan kenderaan  hasil segala jenis cukai , pendapatan negeri dan segala jenis hasil mahsul negeri seperti tanah , pasir sungai dan laut , boxsite , perairan Selat Johor dan lain - lain lagi sama ada secara sah atau sebaliknya.

17. Jika hendak  'melindungi kepentingan dan
kedaulatan negeri Johor' dijadikan alasan oleh Sultan dan anaknya bagi memiliki sebanyak mana tanah dan pulau, maka adalah lebih baik serah sahaja keseluruhan negeri Johor kepada Sultan; justeru status Sultan diubah dari Raja Berpelembagaan kepada Raja Mutlak.

18.  Selepas itu Sultan bolehlah melantik siapa sahaja menjadi Bendahara atau Menteri Besar tanpa melalui proses pilihanraya.

19.  Perlembagaan negeri boleh dipinda dengan hanya kehendak Sultan ; ini termasuklah setiap inci tanah di buni Johor dikuasai olehnya.

20.  Ini adalah lebik baik dari berselindung di sebalik Menteri Besar Osman Sapian , EXCO dan Wakil - Wakil rakyat yang dah mula lupa jasa rakyat.

21.  Janganlah jadi  "Kacang Lupakan Kulit" , "Dah Menyeberang Tongkat  Di Buang".

22.  Semoga rakyat dan Sultan diberi kesedaran ,  keinsafan  dan jati diri demi kebaikan bersama.

23.  Segala kedudukan , pangkat,  kekayan dan kemewahan yang kita nikmati adalah sementara sahaja.

24.   Sultan , Menteri Besar , Mufti dan rakyat biasa semuanya AKAN  MATI  dan PASTI akan disoal dialam kubur dan PASTI akan dibangkitkan semula bagi ketentuan Syurga dan Neraka ;  HANYA  AMALAN BAIK  DI DUNIA  YANG  BOLEH  MENJADI
PENYELAMAT.

Terima Kasih.

Saturday, 1 December 2018

20181201 SAMPAI BILA NAK BERGADUH?

SAMPAI  BILA  NAK  BERGADUH?

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu - 01/12/18
( 1 -  32)

1.  Selepas beratus tahun dijajah oleh Portugis , Belanda, Inggeris, Jepun  dan Inggeris semula , akhirnya kita berjaya menurunkan bendera Union Jack dan mengkibarkan bendera sendiri pada 31hb Ogos 1957.

2.  Ribuan rakyat Malaya dari berbagai keturunan membanjiri Stadium Merdeka untuk
mendengar laungan   'MERDEKA !!!' yang dilafazkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri pertama.

3.  6 tahun selepas Merdeka satu lagi sejarah tercipta apabila lahirnya sebuah Negara baru, Malaysia.

4.   Ia adalah hasil gabungan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura.

5.  Gabungan tersebut mula mengecil apabila pada tahun 1965 Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari gagasan tersebut.

6.  Pada 13hb Mei 1969  iaitu hanya 12 tahun selepas merdeka, negara dikejutkan dengan pergaduhan kaum.

7.  Mengikut Tunku dalam tulisannya di ruangan 'As I See It’ di akhbar The Star, peristiwa 13 Mei 1969 itu adalah satu  rampasan kuasa yang dirancang begitu rapi oleh Tun Razak dengan dibantu oleh beberapa pemimpin UMNO  bagi mengambil  alih tampuk kepimpinan daripada beliau.

8.  Perkara ini pernah diceritakan sendiri oleh Tun Ghazali Shafie ( arwah) kepada saya  dan beberapa orang EXCO  Pemuda UMNO yang diketuai oleh Anwar Ibrahim semasa kami membuat kunjung hormat terhadapnya.

9.  Atas cadangan Tun Razak, Dr. Mahathir yang ketika itu baru berusia 43 tahun telah bersetuju meminta Tunku Abdul Rahman berundur melalui  seutus suratnya.

10.  'Rampasan Kuasa' itu yang mengakibatkan ratusan nyawa yang tak bersalah terkorban TERPAKSA dilakukan kerana ketika itu berkemungkinan Tun Razak, dan hanya beliau sahaja  tahu yang beliau sedang menghidapi satu jenis penyakit yang boleh membawa maut.

11.  Bagi membalas budi, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tunku, Dr. Mahathir telah diterima masuk semula sebagai ahli UMNO dan  dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

12.  Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri kedua  tidak lama, hanya 5 tahun sahaja.

13.  Bagi menutup cerita sebenar, jalan mudah yang mereka ambil ialah dengan menyalahkan DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang  dan masyarakat Cina kononnya merekalah yang memulakan peristiwa  berdarah 13 Mei 1969 itu.

14.  Selepas meninggal dunia, Tun Hussain Onn dipilih sebagai Perdana Menteri ke-3 dan diikuti oleh Dr. Mahathir kemudiannya selama 22 tahun.

15.  Tun Mahathir yang bersara secara sukarela digantikan oleh Abdullah Badawi dan selepas itu, Najib Tun Razak.

16.  Bagi menyelamatkan Negara dari amalan rasuah , salahguna kuasa dan rompakan harta rakyat dan negara  yang begitu buas dan berterusan oleh Najib dan Rosmah, Tun Dr. Mahathir TIDAK ADA PILIHAN  melainkan menerima tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

17.  Disebabkan penglibatan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Tunlah, maka buat pertama kali dalam sejarah , UMNO dan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun dan selepas 13 kali Pilihanraya Umum,  dapat dikalahkan sedangkan beberapa usaha menggantikan UMNO/BN sebelum ini tidak pernah berjaya.

18.  Justeru mulai 10hb Mei 2018 pada usia 93 tahun Tun Dr. Mahathir Muhamnad diangkat semula sebagai Perdana Menteri buat kali kedua menggantikan Najib yang 30 tahun lebih muda dari beliau.

19. Walaupun Tun merupakan pemimpin yang tertua sekali dii kalangan pemimpin - pemimpin dunia yang lain namun kita sepatutnya berbangga dan bersyukur kerana beliau masih bertenaga dan tidak nyanyuk seperti tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Najib dan pemakan-pemakan dedaknya menjelang pilihanraya yang lepas.

20.  Bukan senang membaik pulih rumah yang hampir menyembah bumi dek dimakan oleh anai-anai.

21. Setelah dikalahkan dengan teruk dalam peperangan dunia kedua, Jepun dan Jerman kini merupakan negara terkuat dari segi ekonominya; ini kerana rakyat di sana tekad untuk bersatu memulihkan semula negara mereka.

22. Bukankah kita pernah bersatu menuntut kemerdekaan dari British dahulu?

23. Malangnya isu perkauman dan agama masih dijadikan modal oleh pembangkang khasnya  UMNO  dan PAS bagi meraih sokongan tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku terhadap negara - mereka hanya mementingkan nafsu diri asalkan mereka dapat merampas semula kuasa yang telah terlepas dari genggaman.

24. Bagi menyelamatkan diri dari merengkok di dalam penjara,  Najib, Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin UMNO  lain yang sedang dan akan menghadapi berbagai pertuduhan jenayah dan penyelewangan semasa mereka berkuasa dahulu ialah dengan cuba menumbangkan Tun dengan menggantikannya dengan orang lain yang mungkin  'Membaling Batu Sembunyi Tangan'.

25. Hadi pula sedang berangan - angan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika tidak Perdana Menteri  kononnya dengan menggunakan isu keagamaan,  mereka dengan bantun UMNO dan beberapa orang tertentu sama ada yang di luar PH mahun pun yang memegang jawatan tertentu dalam PH boleh menumbangkan Tun dengan sekelip mata.

26. Zahid, Hadi dan beberapa orang kanan mereka tidak berhenti - henti membakar semangat  rakyat Melayu bagi  berhimpun beramai - ramai pada 8hb Disember  ini untuk membantah Kerajaan PH atas alasan kononnya ICERD yang akan menghapuskan hak istimewa orang Melayu , Bahasa dan Raja - Raja Melayu akan dilaksanakan sedangkan Kerajaan telah memutuskan TIDAK AKAN  menandatangi deklarasi tersebut.

27. Polis harus berani dan bertegas - tangkap sahaja mereka ini khasnya Zahid dan Hadi sebelum nasi menjadi bubur; jika tidak lebih banyak lagi insiden yang melibatkan perkauman akan terus berlaku.

28. Apa untungnya kita rakyat Malaysia terus bergaduh dan bermusuhan sesama sendiri?

29. Negara ini bukan dipunyai oleh orang Melayu sahaja; rakyat asal negara ini ialah orang Asli bukan Melayu , Cina dan India?

30. JANGAN TERLALU  EMOSI DENGAN MENGAMBIL   JALAN  MUDAH MENYALAHKAN  ORANG  LAIN  ATAS  KELEMAHAN DAN KEGAGALAN  KITA  SENDIRI.

31. ALLAH  SWT  menjadikan kita berbagai - bagai kaum dan bangsa supaya kita saling hormat menghormati dan bantu membantu di antara satu sama lain.

32. Terserahlah pada pembaca menilai pandangan saya ini.

Terima Kasih.

Tuesday, 27 November 2018

20181127 KALAU BEGINI KEADAANNYA LEBIH BAIK ISYTIHAR DARURAT

KALAU  BEGINI  KEADAANNYA  LEBIH  BAIK  ISYTIHAR DARURAT

Tamrin Tun Ghafar

Selasa  - 27/11/18
( 1 -  23 )

1.   Pada Ahad lalu  bersamaan 25hb November 2018 saya telah menulis satu artikel bertajuk  "TANGKAP  SAJA  MEREKA  YANG  MASIH  BERDEGIL”.

2.  Walaupun Kabinet  telah membuat keputusan muktamad menolak ICERD namun
UMNO dan PAS  tetap berdegil mahu meneruskan rancangan mereka menganjurkan Himpunan Menentang Kerajaan seolah - olah Keputusan Kerajaan  itu tidak boleh diterima.

3.  Jika kita halusi ucapan - ucapan mereka terutama Zahid dan Hadi, ia bagaikan mereka ini mempunyai satu kuasa luar biasa yang  sehingga Polis amat takut bertindak.

4.  Kini negara dikejutkan pula dengan pendedahan terbaru oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Audit Negara.

5.  Mengikut kenyataan tersebut, laporan rasmi telah pun diserah oleh Jabatan Audit kepada SPRM  dan Polis untuk diambil tindakan lanjut.

6.  Jika didapati dakwaan Ketua Audit Negara itu sahih maka mereka yang terlibat boleh didakwa dan dipenjarakan.

7.  Penipuan yang dilakukan oleh Najib, Dr. Ali Hamsa ( KSN ) , Ambrin Buang ( bekas Ketua Audit Negara )  Dzulkipli Ahmad ( bekas KP SPRM) dan Tan Sri Shukri Salleh ( bekas Ketua Setiausaha Sulit PM )  dan turut terlibat Apandi Ali (bekas Peguam Negara) dan Arul Kanda; mereka ini boleh dikategorikan sebagai  'Pengkhianat Negara’ atau 'Treason'.

8.   Mereka bersubahat mengubahsuai dan menyembunyikan fakta  Lapuran Audit bagi menyelamatkan Najib dan Jho Low dalam kes 1MDB.

9.   Setelah diubahsuai ( doctored ) Ambrin Buang ,  Ketua Audit ketika itu menyerahkan laporan tersebut kepada PAC dan dalam masa yang sama  laporan tersebut di kategorikan sebagai Rahsia Resmi ( OSA ) yang tidak boleh dibaca oleh orang awam.

10.  Dengan kepercayaan bahawa satu hari kelak apabila laporan itu dibuka untuk awam , maka ketika itu terbuktilah Najib dan  Jho Low bersih dari segala penglibatan dalam skandal 1MDB. 

11.  Rupa-rupanya rancangan mereka itu tidak kecapaian, bak kata pepatah “Pandai-Pandai Tupai Melompat Akhirnya Jatuh Ke Tanah Jua’.

12.   Rakyat khususnya orang Islam harus bersyukur ke hadrat Illahi diatas pertolonganNYA memberi kekuatan, keberanian dan keikhlasan  kepada 3 orang wanita, Nafisah , Salwani dan Dr. Madinah.

13.  Tanpa mereka bertiga ini kita rakyat Malaysia akan terus tertipu oleh durjana  bernama Najib anak Tun Razak ini.

14.  Oleh kerana laporan lengkap sudah pun diserahkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara kepada SPRM  dan Polis, maka apa lagi yang hendak ditunggu?

15.   Saya tidak percaya cakap - cakap  kononnya ada di kalangan kakitangan  SPRM dan Polis yang telah disumbatkan dengan dedak oleh penganut  'Cash Is King' ; maka itulah sebabnya kata mereka tindakan terhadap ketujuh-tujuh pengkhianat tersebut seperti kura - kura.

16.  Sepatutnya berlandaskan beberapa ucapan  Zahid dan Hadi, polis sudah boleh bertindak terhadap mereka.

17.  Ada juga kedengaran kononnya Tan Sri Fuzi terhutang budi kepada Zahid kerana memilih beliau sebagai Ketua Polis Negara , mengatasi Tan Sri Noor Rashid  ; maka itulah sebabnya tidak ada sebarang tindakan dilakukan terhadap Zahid oleh polis.

18.   Pemilihan Tan Sri Fuzi atas cadangan Zahid dipersetujui pula oleh Najib.

19.  Pengkhianatan yang dilakukan oleh ' The Gang of  Seven ' ini turut dikutuk oleh akhbar Utusan Malaysia, kepunyaan UMNO sendiri.

20.   Jika akhbar UMNO sendiri sudah tidak boleh telan penipuan Najib dan Perhimpunan yang dirancang oleh UMNO dan PAS  maka apa lagi yang hendak ditunggu oleh Tan Sri Fuzi selaku Ketua Polis Negara?

21.  Laksanakanlah tugas tanpa takut dan terhutang budi demi keluhuran Perlembagaan dan Undang - Undang sebelum dihancurkan oleh mereka yang hanya mementingkan diri.

22. Selepas pendedahan dibuat oleh Tan Sri Dr. Madinah, rakyat sedang melihat telatah Ahli-Ahli Parlimen pembangkang khususnya UMNO, sama ada mereka terus menyokong pengkhianat-pengkhianat tersebut atau sebaliknya.

23. JANGAN  SALAHKAN  KERAJAAN  JIKA TERPAKSA  BERTINDAK LEBIH  TEGAS  DEMI  NEGARA.

Terima Kasih.

Tuesday, 20 November 2018

20181118 MENGAPA PILIH PASIR SALAK?

MENGAPA PILIH PASIR SALAK?

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 18/11/18
( 1 -  29 )

1.  Dalam Parlimen Hadi dengan nada yang serius memberi amaran bahawa sejuta rakyat Melayu akan berhimpun  jika sekiranya  Kerajaan PH meneruskan perlaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai  Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD.

2.  Pada hari Sabtu 17hb November 2018, PAS  dan UMNO  telah mengadakan satu perhimpunan Melayu di Pasir Salak.

3.  Pasir Salak dipilih kerana di sinilah tempatnya Residen British pertama, JWW Birch atau nama sebenarnya, James Wheeler Woodford Birch dibunuh oleh Dato’ Maharajalela, Tok Sagor dan Seputum.

4. Peristiwa ini yang berlaku pada 2hb November 1875 kerana kemarahan orang Melayu yang amat sangat terhadap beliau yang menghina dan menzalimi penduduk setempat.

5. Saya percaya mereka sengaja memilih Pasir Salak dan bulan November juga adalah dengan motif jahat bagi membakar semangat kebencian orang Melayu terhadap Perdana Menteri KONONNYA ada persamaan di antara JWW Birch dengan Tun Dr. Mahathir.

6. Zahid dan Hadi kebelakangan ini sengaja menggunakan isu agama dan perkauman terhadap kerajaan PH; jika tidak dibendung tindakan mereka ini AMAT MERBAHAYA kepada negara yang berbilang kaum dan agama.

7. Perhimpunan yang dihadiri sendiri oleh Presiden UMNO , Zahid Hamidi dan Hadi Awang selaku Presiden PAS  menetapkan satu Perhimpunan Raksaksa akan diadakan diKuala Lumpur pada 8hb December 2018 ini bagi membantah pelaksanaan
ICERD.

8. Selain dari menetapkan tarikh Perhimpunan tersebut, yang paling menarik sekali ialah cadangan Zahid agar UMNO dan PAS  bergabung seperti apa yang pernah berlaku di suatu ketika dahulu apabila PAS dibawah pimpinan Datuk Asri menyertai Barisan Nasional ( BN ).

9. Nyawa PAS dalam BN tidak lama apabila BN menendang keluar PAS sebagai anggota BN.

10. Sebelum dan selepas PRU 14 yang berlangsung pada 9hb Mei yang lepas UMNO  dan PAS  mula menunjukkan hala tuju kedua - dua parti Melayu tersebut.

11. Nada pemimpin - pemimpin kedua - dua parti tersebut  menunjukkan   mereka bukan saja lagi bercinta malah sudah pun mengikat tali pertunangan.

12. Seolah - olah tidak sabar lagi menunggu malam pertama, Zahid tiba - tiba mengganjurkan agar kedua - dua parti tersebut terus bergabung.

13. Hanya yang melewat - lewatkan tarikh ' penikahan ' kedua mempelai tersebut ialah jumlah dulang dan isinya sahaja yang harus di muktamadkan.

14. Takkanlah PAS melalui Amanat Hadi Awang sanggup tidur sebantal dengan UMNO  yang pernah disundalkannya suatu ketika dahulu.

15. Apakah Hadi dan PAS sudah bersedia menjilat ludah dan kahaknya sendiri?

16. Takkanlah pulak PAS kini sanggup mengenepikan perjuangan mereka selama ini  bagi melaksanakan  'sepenuhnya' undang - undang Islam seperti Hukum Hudud?

17. Seperti kata Hadi dalam Amanatnya, PAS  menentang UMNO  dan BN bukan kerana namanya; tetapi kerana UMNO dan BN mengamalkan Perlembagaan dan Undang - Undang kafir; justeru apakah hari ini PAS boleh begitu senang menerima Perlembagaan dan Undang - Undang kafir itu?

18. Atas nama  'wala' , terbukti kini  ahli - ahli PAS  boleh menerima dengan hati terbuka  'Amanat' Hadi yang baru iaitu yang pernah diharamkan sekarang sudah dihalalkan.

19. Apakah lauk daging yang dicampurkan  seketul daging babi kini boleh dimakan oleh orang Islam khasnya ahli - ahli PAS?

20. Apakah  perbicaran di Mahkamah di kota London pada bulan April akan datang akan  membuktikan bahawa sebahagian pemimpin  mereka sudah kenyang  seperti ular sawa?

21. Sebenarnya saya amat bersimpati dengan ahli - ahli PAS  di peringkat bawahan ; mereka percaya bulat - bulat apa pemimpin mereka kata.

22. Bagi Zahid dan pemimpin  UMNO  yang lain terutama yang sedang dan bakal menghadapi pertuduhan undang - undang,  inilah peluang terbaik untuk mereka menyelamatkan diri.

23. Mereka sudah bersedia membuang daging babi tersebut  asalkan cita - cita dan rancangan mereka menolak Tun Dr. Mahathir dengan cara  'undi tak percaya' atau ' vote of no confidence' dapat diusahakan dalam masa terdekat.

24. Dalam dunia politik biasanya apa yang diharapkan tak semestinya dapat, tetapi apa yang didapati adalah sesuatu yang tak pernah diharap.

25. Sebagai contoh yang paling terbaru apabila rancangan PAS dan UMNO hendak mengganjurkan perhimpunan bantahan  pada 8hb December ini terbantut atau sia - sia apabila Kerajaan melalui Perdana Menteri mengumumkan TIDAK AKAN melaksanakan  ICERD.

26. Bagi Hadi dan pemimpin - pemimpin PAS  inilah caranya menutup cerita Hudud yang telah dipermainkan oleh UMNO selama ini.

27. Bagi Zahid pula inilah satu - satunya talian hayat yang tinggal.

28. Semoga Hadi, Zahid , Tun Hamid Muhamnad dan beberapa orang Sultan dan pemakan dedak tidak berangan  seperti 
' Si Luncai Dengan Labu - Labunya'  atau sekadar ' Angan - angan Mat Jenin'.

29. Tun Dr. Mahathir TIDAK  PERNAH  berangan - angan nak menjadi Perdana Menteri buat kali kedua; ALLAH SWT  YANG  MENENTUKAN  SEGALA-GALANYA.

Terima Kasih.

Monday, 12 November 2018

20191112 RAKYAT TIDAK BERSALAH

RAKYAT  TIDAK BERSALAH

Tamrin Tun Ghafar

Isnin - 12/11/18
( 1 - 24 )

1.   Disertakan keratan akhbar Sinar Harian yang memuatkan di muka hadapannya peringatan Sultan Kedah yang baru.

2.  Baginda adalah bekas Mejar dalam Angkatan Tentera dan bekas ahli perniagaan sehingga diangkat menggantikan abangnya Tunku Abdul Halim yang baru meninggal dunia.

3.  Mengikut beliau ada 3 perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 yang tidak boleh diusik ( sila lihat keratan akhbar tersebut ).

4.  Sebenarnya peringatan yang sama pernah disuarakan oleh beberapa orang Sultan sebelum ini.

5.  Ekoran teguran A Kadir Jasin terhadap tindakan beberapa orang Sultan, beberapa ' hulubalang ' telah menuduh A Kadir sebagai tidak menghormati, kurang sensitif dan menghina Institusi Raja.

6.  Ada pula yang telah membuat lapuran polis terhadap beliau. Semoga ‘tidak ada udang di sebalik batu’.

7.  Sebelum A Kadir dipanggil polis untuk beri keterangan,  saya mencabar Bukit Aman untuk mengambil tindakan mendakwa TMJ yang telah terbukti melakukan 2 kesalahan serius sebelum ini:

i.  10 tahun dahulu pada umur 24 tahun beliau telah mencederakan Tengku Nadzimuddin dengan menggunakan pistol, dengan dibantu pula oleh pengawal - pengawal peribadi beliau terdiri dari anggota Johor Military Force ( JMF )  - perbuatan jenayah seperti ini  TIDAK  ADA   HAD  MASA UNTUK DIAMBIL TINDAKAN.

ii.  Baru - baru ini beliau menuduh Kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir, kononnya dengan menggunakan alat perisikan tercanggih ( spying equipment ) buatan Yahudi Israel,  sedang menggintip beliau dan bapanya , Sultan Johor.

Ini sebenarnya satu tuduhan AMAT  SERIUS kerana bertujuan membakar semangat rakyat membenci dan jika boleh menumbangkan
Kerajaan yang telah dipilih rakyat secara demokrasi.

8.  Sebagai peringatan, sejak Merdeka 61 tahun dahulu sehingga kini rakyat TIDAK  PERNAH mempersoal mengapa dan bagaimana Sultan - Sultan berada di kedudukan mereka.

9.  Begitu juga sejak 61 tahun dahulu sehingga kini rakyat TIDAK 
PERNAH diberitahu jumlah wang hasil titik peluh mereka digunakan bagi membayar elaun Sultan, keluarga mereka termasuk isteri dan kaum kerabat yang bergelar Tengku Mahkota, Raja Muda, Tengku Laksamana , Tengku Bendahara dan sebagainya serta kos penyelenggaraan setiap Istana.

10.  Semasa rakyat hidup dalam kesempitan dan keperitan akibat rompakan  besar - besaran yang dilakukan oleh Najib , Rosmah  dan konco-konconya tapi dalam masa yang sama ada terdapat  Sultan -  Sultan tidak peduli perasaan rakyat; mereka terus bermewahan termasuk  membina Istana - Istana atau membesarkan Istana yang sudah pun sedia besar, bermegah dengan dengan kapal terbang peribadi ( private jets )  dan menayang beratus  kereta yang nilainya tak kurang RM1 juta setiap buah.

Umum tahu bahawa kekayaan yang mereka perolehi semuanya bermula dengan hasil negara dan negeri seperti tanah, balak, lombong emas, bijih, pasir dan lain-lain lagi.

11.  Kedudukan Raja - Raja adalah terjamin dalam Perlembagaan tetapi ia tidak bermakna mereka tidak boleh dinasihat ,  ditegur malah dikritik jika mereka sendiri yang melanggar Perlembagaan dan undang - undang.

12.  Perlu diingatkan selalu bahawa 9 orang Raja yang terdapat di negara ini mereka ialah  Raja Berpelembagaan BUKAN  Raja Mutlak seperti Sultan Brunei dan Raja - Raja di Negara Arab.

13.  Raja Berpelembagaan membawa maksud bahawa mereka juga TERTAKLUK kepada Perlembagaan dan Undang - Undang.

14.  Jika sekiranya mana - mana Raja melakukan kesalahan mereka boleh didakwa di Mahkamah Khas tetapi bagi ahli keluarga mereka pula seperti  Tengku Mahkota, Raja Muda dan 
lain - lain, mereka BOLEH  didakwa, ditangkap dan dipenjarakan di mana - mana mahkamah dan penjara pada bila - bila masa sahaja jika didapati menyalahi undang-undang seperti yang pernah dilakukan oleh anak Sultan Johor.

15.  Undang - Undang ini telah digubal apabila  Sultan Johor  ketika itu telah menzalami rakyat dengan mencedera malah membunuh rakyat sesuka hatinya.

16.  Justeru itu,  bagi menyelamatkan rakyat dan
bagi mengkekalkan Institusi Raja, Tun Dr. Mahathir , Perdana Menteri ketika itu , atas nasihat  Jemaah Menteri dan akhirnya dengan persetujuan Parlimen sebulat suara  telah DIPAKSA  meminda Perlembagaan tersebut.

17.  Perlu disebut Pindaan yang bersejarah tersebut telah dibentangkan oleh ayah saya Tun Abdul Ghafar Baba pada tahun 1993 yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan  Perdana Menteri.

18.   Raja - Raja kita termasuk ahli keluarga mereka yang selalu rajin melawat  London, malah boleh dikatakan hampir kesemua mereka mempunyai hartanah di sana yang bernilai berjuta - juta ringgit sepatutnya mengambil iktibar bagaimana Raja dan keturunan mereka bukan sahaja di hormati, dikasihi malah dibanggai oleh sebahagian besar rakyat Britain dan dunia.

19.  Mungkin apa yang saya turunkan ini tidak dipersetujui tapi inilah hakikat yang sebenarnya:

a.  Ratu Elizabeth dari England dan keluarga mereka tidak pernah melibatkan diri dalam politik tanah air.

b.  Baginda Queen dan keluarga juga tidak terlibat dalam mana - mana perniagaan dan pentadbiran negara.

c.  Segala perbelanjaan seperti elaun diri dan keluarga dan lain - lain serta kos pengurusan Istana adalah mengikut apa yang DITETAPKAN oleh Parlimen.

d.  Queen dan ahli keluarga biasanya tidak mengeluarkan kenyataan - kenyataan yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat.

e.  Segala tindakan mereka  amat menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang; sebagai contoh mereka tidak merembat atau merampas tanah rakyat , mengambil dan menjual pasir , biji timah dan lain - lain sesuka hati seperti yang pernah dilakukan oleh lanun Viking.

f.   Walaupun Baginda Queen bukan beragama Islam, namun mereka tidak melakukan perkara - perkara yang dilarang seperti  mencedera malah membunuh rakyat mengikut nafsu . Mereka juga menjauhkan diri dari merompak dan berjudi . Mereka senantiasa berhati - hati dengan gejala yang membahayakan seperti dadah dan sebagainya.

g.  Selain itu Baginda dan ahli keluarga tidak membenarkan diri dari diperalat bagi meraih projek dan tender dari Kerajaan.

h.  Segala kurniaan yang hendak diberi dilakukan dengan begitu teliti, jauh sekali mereka menjual sebarang gelaran seperti kacang putih.

i. Seperti rakyat Britain yang lain Queen dan ahli keluarganya juga membayar segala jenis cukai kepada kerajaan.

j. Juruiring Baginda Queen hanya tertakluk kepada 2 buah kereta peronda (satu di depan dan satu lagi di belakang) serta 3 biji motorsikal; peronda motorsikal digunakan untuk membantu kereta kecemasan hospital yang membawa pesakit biasa.

20.   Ada 3 perkara penting yang PERLU dimasukkan dalam Agenda Mesyuarat Majlis Raja - Raja.

i.  Membincang secara teripinci peranan dan tanggungjawab Agong dan Sultan terhadap Negara dan Rakyat.

ii.  Mengkaji peranan mereka selaku Ketua Agama Islam ; bukan setakat nak menentukan tarikh puasa dan raya semata - mata.

iii.  Juga MENASIHATKAN
Sultan Johor dan anaknya bukan sahaja bertindak
mengikut Perlembagaan dan undang - undang  bahkan kesemua Raja - Raja perlu menghormati keputusan majoriti rakyat jelata memilih PH sebagai Kerajaan baru yang menggantikan UMNO /BN.

21.  Mereka SEPATUTNYA  berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir yang telah  berjaya
menyelamatkan
Institusi Raja dari tindakan marah dan benci rakyat terhadap mereka ketika itu.

22.  Akhirnya sekali lagi saya menyeru agar Kerajaan PH yang mengamalkan dasar Ketelusan dan Terbuka mengemukakan setiap sen yang dibelanjakan oleh Agong dan Raja - Raja untuk dibahas dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Negeri pada Sidang Belanjawan yang akan datang.

23.  Jika diadakan kajian (survey) dari Perlis hingga ke Johor, saya yakin majoriti rakyat mahukan segala kos tahunan dan elaun Raja serta keluarga dan belanja mengurus Istana dibentang di Parlimen dan Dewan Negeri.

Mereka juga mahu melihat Raja-Raja kita dan keluarga mereka mengikut jejak langkah Baginda Ratu Elizabeth.

24. Diharap seluruh rakyat dan Istana dapat bersama meniliti pandangan saya ini.

Terima Kasih.

Wednesday, 7 November 2018

20181108 PENJENAYAH BUKAN WIRA

PENJENAYAH BUKAN WIRA

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 08/1118
( 1 - 26 )

1.  Itulah tajuk utama (headline) Utusan Malaysia, akhbar kepunyaan UMNO beberapa hari yang lepas.

2.  Sebelum itu dalam ruangan editornya yang menggunakan gelaran 'Awang  Selamat ' telah dengan terang - terangan  membelasah Najib yang pernah menjadi pemimpin parti itu.

3.  Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz yang di suatu ketika dahulu merupakan hulubalang Najib, kini tidak segan silu menempelak bekas bosnya itu.

4.  Tak cukup dengan itu, satu lapuran Polis dan SPRM  tentang salahlaku Najib berhubung 1MDB pun telah dibuat oleh bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau.

5.  Tak tahulah pula berapa ramai lagi pemimpin - pemimpin UMNO yang akan mengikuti jejak langkah Khairy, Nazri dan Utusan selepas ini.

6.  Sementara itu difahamkan mungkin lebih banyak lagi kes baru terhadap Najib dan Rosmah akan dikemukakan di mahkamah, ini termasuk kes pembunuhan Altantuya.

7.  RM2,600 juta atau RM2.6 bilion duit 1MDB dan RM42 juta dari dana SRC yang telah masuk ke akaun peribadi Najib di AmBank telah pun menjadi rahsia umum di serata dunia.

8.  Entah berapa bilion lagi yang disimpan diluar negara, sama - samalah kita tunggu dan lihat nanti.

9.  Saya pernah terbaca satu coretan yang mengatakan dengan jumlah kesalahan jenayah yang dilakukan, Najib akan menjalani hukuman penjara selama 450 tahun lamanya.

10.  Kepada mereka yang masih percaya bahawa Najib, pahlawan Bugis tidak melakukan rompakan- rompakan tersebut , adalah elok jika mereka meminta petunjuk ALLAH  SWT.

11.  Kita semua harus bersyukur kerana ALLAH SWT  telah memberi keberanian kepada rakyat membuang UMNO , parti Najib ( bukan lagi parti orang Melayu ) ke dalam laut dalam pilihanraya umum lalu.

12.  Difahamkan ramai lagi pemimpin UMNO  akan diseret ke mahkamah atas segala jenis jenayah yang pernah mereka lakukan semasa bertakhta dahulu.

13.  Kini Najib dan Zahid Hamidi  sedang memberi gambaran seolah - olah apa yang berlaku terhadap diri mereka adalah satu tindakan politik; kononnya mereka bersih seperti kain putih yang tidak pernah dikotori.

14.  Tidaklah menghirankan apabila sesetengah pemakan dedak menyalak seperti anjing gila mempertahankan kedua - dua mereka itu.

15.  Dulu Najib bangga menggelarkan dirinya sebagai Pahlawan  Bugis yang tidak akan tunduk kepada sesiapa pun.

16. Apabila Tun Mahathir menyelar Najib sebagai lanun, bukan sahaja masyarakat Bugis, malah Sultan Selangor yang juga keturunan Bugis menyelar beliau (Tun); ada yang menuntut Tun meminta maaf kepada masyarakat tersebut.

17. Hari ini bukan sahaja beliau menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah, bahkan kerajaan Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat melalui DOJ juga bercadang mengambil tindakan yang sama.

18. Sebenarnya Najib telah menconteng arang di muka masyarakat Bugis apabila beliau kecundang kepada  pemberita wanita Al-Jazeera baru - baru ini.

19. Kini terbuktilah rupa-rupanya Pahlawan Bugis itu sebenarnya adalah  Pahlawan Plastik sahaja; hanya berani di depan pemakan dedak tapi pengecut menghadapi orang tua yang berumur 93 tahun.

20. Terserahlah kepada masyarakat Bugis khasnya Sultan Selangor dan Johor yang juga keturunan Bugis sama ada mahu terus menyokong perompak ini sebagai Pahlawan mereka atau sebaliknya merendah diri memohon maaf kepada Tun yang telah membongkar perkara sebenar.

21. Bukan ke kaum Bugis mempunyai adat resam dan cara hidup yang baik, merendah diri, menghormati, bermaaf-maafan dan membantu mereka yang memerlukannya.

22. Najib telah MENGHANCURKAN segala harapan dan cita - cita arwah bapanya,  Tun Abdul Razak untuk membangunkan negara lebih maju dari negara- negara lain di rantau ini.

23. Dek terlalu sayangkan Rosmah ( atau takut ) beliau sanggup memalukan Tun Rahah, ibu yang pernah menyusukannya  dengan berbagai jenayah yang dilakukan.

24. Apabila ditanya oleh Para Sahabat, Rasullullah SAW pernah mengatakan peperangan yang paling besar ialah melawan
NAFSU.

25. Kepada ahli - ahli UMNO di semua peringkat, sedarlah diri dan terimalah kenyataan.

26. SAYONARA  UMNO.

Terima Kasih.

Wednesday, 24 October 2018

20181024 TMJ - JANGAN ULANGI PERISTIWA HITAM

TMJ  -  JANGAN  ULANGI  PERISTIWA  HITAM

Tamrin Tun Ghafar

Rabu  -  24/10/18
( 1 -  25 )

1.   Hari ini sepuluh tahun yang lalu iaitu pada 24hb. Oktober 2008 genap sudah berlakunya satu peristiwa yang tidak  sepatutnya berlaku dan dilakukan oleh seorang ahli keluarga Raja.

2.  Sama ada ia telah diselesaikan atau sebaliknya, yang penting ia telah berlaku.

3.  Pada tarikh tersebut, Tengku Nadzimuddin, anak kepada Tengku Mudzaffar dan Tengku Dara Naquiah telah  dibelasah dengan teruk oleh Raja Muda Johor yang kini bergelar Tengku Mahkota Johor atau TMJ dan pengawal - pengawal peribadi yang terdiri dari anggota  Askar Timbalan Setia atau  lebih dikenali sebagai Johor Military Force ( JMF ).

4.  Jika tidak silap Ketua Polis Negara atau IGP ketika peristiwa itu berlaku ialah Tan Sri Musa Hassan.

5.  Mengapa beliau dan Ketua Polis Negeri Johor ketika itu menutup kes yang begitu jelas salah dari Akta Undang-Undang Jenayah?

6.  Tindakan mereka menutup kes sebegini tak ubah seperti ‘Menutup Bangkai Dengan Nyiru’, ‘Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’ dan ‘Pilih Bulu’; itulah imej buruk polis ketika itu.

7.  Kerajaan dan rakyat hari ini menuntut Pasukan Polis dari  Ketua  sehingga ke pangkat  'private' melaksanakan undang - undang dengan tulus dan berhemah tinggi  TANPA kira pangkat dan kedudukan, ini termasuk tindakan terhadap mana - mana ahli keluarga Raja jika mereka melakukan kesalahan; ‘semoga pisang tidak berbuah dua kali’.

8.  Jika kes seorang ahli keluarga Raja pun boleh ditutup oleh polis, apatah lagi kes-kes jenayah yang membabitkan antara Sultan atau ahli keluarga mereka dengan rakyat biasa.

9. Beberapa perkara yang menyebabkan mereka ( polis ) tidak berbuat demikian jika ia melibatkan keluarga Raja ialah :-

i.  Mereka mungkin sudah termakan budi dengan anugerah dan gelaran yang telah diberi oleh mana - mana  Sultan.

ii.  Yang masih belum menerima sebarang pingat dan bintang, mereka tidak mahu dilihat sebagai 'menentang arus' dalam menjalankan tugas.

iii.  Yang sedihnya ada di antara mereka yang menganggap seolah-olah Sultan dan keluarga mereka adalah keturunan dewa-dewa yang diturunkan dari langit bagi menjadi payung atau pelindung rakyat???

iv.  Terdapat begitu ramai anggota polis hari ini yang TIDAK  FAHAM  Perlembagaan dan Undang - Undang.

10. Amalan menggampu berlebih - lebihan  dengan menyembah dan mencium tangan Sultan dan anak -  anak mereka  harus DIBERHENTIKAN serta merta oleh semua rakyat terutama ahli politik dan yang berjawatan; lagi pun Sultan BUKAN Tuhan atau Malaikat yang di turunkan khas dari langit; cukuplah penghormatan kepada Sultan dan keluarga mereka dengan menundukkan sedikit kepala dan bersalam tangan.

11. JANGAN  BIARKAN  SULTAN  DAN  KELUARGA  MEREKA  BERMAHARAJALELA  DENGAN  MELAKUKAN APA  SAHAJA TANPA  MENGHORMATI  PERLEMBAGAAN  DAN  UNDANG - UNDANG  DAN  TANPA  MENGAMBIL  KIRA  PERASAAN  ORANG  LAIN.

12. Kepada Sultan Johor , sebelum nasi menjadi bubur  didiklah  anak emasnya , Tengku Mahkota itu yang bakal menggantikannya agar bersopan santun, berbudi pekerti yang baik dan  tahu menghormati orang lain terutama mereka yang jauh lebih dewasa daripadanya; JANGAN ULANGI PERISTIWA HITAM SEPERTI MANA YANG PERNAH DILAKUKAN OLEH ARWAH DATUK, BAPA DAN BELIAU SENDIRI.

13. Kepada semua Raja dan keluarga mereka pula, belajar dan fahamilah sejarah negara terutama yang melibatkan Perlembagaan dan  mengapa pindaan terhadapnya TERPAKSA  dilakukan.

14. JANGAN  SEWENANG - WENANG  MENUDING  JARI.

15. Sebenarnya kezaliman dan tindak tanduk merekalah yang telah MEMAKSA Kerajaan UMNO/ BN  yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir ketika itu untuk meminda Perlembagaan negara.

16. Pindaan tersebut adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan rakyat daripada terus dizalimi oleh Sultan Johor dan ahli keluarganya dan dalam masa yang sama dapat menyelamatkan Institusi Raja Berpelembagaan.

17.   Jika tidak mahu berterima kasih apatah lagi memohon maaf kepada Tun Mahathir oleh kerana sikap sombong diri yang merasakan kedudukan mereka sebagai Sultan dan keluarga Raja tidak perlu merendah diri memohon maaf kepada insan yang telah berjaya menyelamatkan mereka dari dibuang oleh rakyat ketika itu, sekurang - kurangnya kikislah sifat dan sikap membenci dan bermusuhan terhadap beliau.

18. Malangnya semasa Perlembagaan dipinda hampir kesemua Sultan yang ada sekarang masih dibangku sekolah lagi , apatah lagi anak-anak mereka mungkin masih menyusu atau belum dilahirkan lagi.

19. Atas  alasan hendak menjaga kepentingan rakyat negeri kononnya, kebelakangan ini rakyat menyaksikan bagaimana melampaunya sikap mereka terhadap Perdana Menteri.

20. Tidak boleh dibayangkan apakah jenis tindak balas rakyat terhadap Raja dan keluarga apabila kesabaran mereka mencecah tahap maksima jika Sultan terus dengan perangai buruk mereka dan Tun Mahathir pula membiarkan sahaja situasi itu berlaku tanpa melakukan pindaan kepada Perlembagaan?

21. Semoga apa yang dilakukan oleh rakyat Perancis , Russia , Mesir , Iran , Indonesia dan yang terbaru di Nepal tidak akan berlaku terhadap Sultan dan keluarga mereka di negara ini.

22. Ubahlah sikap dari yang buruk kepada yang baik, dari bermegah - megah  dengan kekayaan dan kemewahan kepada merendah diri dan dari sikap membenci kepada menghormati.

23. ‘Ular Menyusup Di Akar Tidak Akan Hilang Bisanya’, ‘Ikut Resam Padi, Semakin Berisi Semakin Tunduk.’

24. Hanya amalan yang baik sahaja yang akan menyelamatkan kita di sana nanti. Saya yakin jika Sultan rajin menasihatkan rakyatnya, Bangsa Johor, maka beliau juga perlu menasihatkan anaknya terlebih dahulu - ‘Bapa Borek, Anak Rintik.’

25. Semoga Raja dan rakyat jelata dapat mentelaah pandangan ikhlas  saya  ini.

Terima Kasih.

Sunday, 14 October 2018

20181013 SUDAH SAMPAI MASANYA ANAK MELAKA JADI TYT

SUDAH  SAMPAI  MASANYA ANAK  MELAKA  JADI  TYT

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu - 13/10/18
( 1 -  29 )

1.  Hari ini adalah tarikh kelahiran Tun Khalil Yaakob , Yang Di Pertua Negeri Melaka yang ke-80 tahun. Jawatan ini dipegangnya sejak 2004 lagi.

2.  Dari segi umur jika arwah Tun Ghafar masih hidup , ia bermakna Tun Khalil 13 tahun lebih muda dari beliau.

3.  Pada mulanya Ketua Menteri menawarkan saya gelaran terhormat yang membawa gelaran Dato.

3.  Untuk makluman, sebelum ini sebanyak 3 kali tawaran oleh Ketua Menteri - Ketua Menteri  yang terdahulu  telah saya tolak tawaran tersebut.

4.  Kali ini saya menolaknya sekali lagi dan sebaliknya mencadangkan gelaran tertinggi negeri Melaka , iaitu Darjah yang membawa gelaran Dato Seri Utama diberikan kepada arwah ayah saya, Tun Abdul Ghafar Baba.

5.  Cadangan ini saya kemukakan  atas dasar penghargaan dan penghormatan terhadap jasa arwah yang begitu banyak sekali bagi rakyat dan negeri Melaka.

6.  Cadangan saya itu telah dipersetujui oleh  Saudara Adli Zahary, Ketua Menteri; malah pejabat beliau telah pun mengirim saya butiran lanjut berhubung perkara tersebut.

7.  Sebenarnya  tak perlu pun anugerah itu diberikan kepada arwah Tun Ghafar kerana semasa hidup dahulu Kerajaan Pusat dibawah pimpinan  Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu telah pun mengiktiraf jasa dan bakti beliau kepada Negara dengan gelaran tertinggi  ‘Tun’.

8.  Beberaoa tahun lepas sempena 'Hari Wilayah’ atas cadangan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah ketika itu, Yang Di Pertuan Agong telah menganugerahkan darjah kebesaran Dato Seri Utama kepada arwah Tun Ghafar.

9.  Pengiktirafan ini dibuat bagi mengenang jasa arwah semasa memimpin UMNO dan Barisan Nasional ( BN ) Wilayah Persekutuan di suatu ketika dahulu.

10.  Bagaimanapun, beberapa hari lepas, saya dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri bahawa Tun Khalil selaku TYT  tidak setuju anugerah tersebut diberikan kepada arwah  bapa saya (disertakan  teks pesanan dari Saudara Ashraf, Setausaha Politik Ketua Menteri Melaka itu).

11.  Kepada kami sekeluarga penolakan itu adalah perkara kedua, lagi pun ia tidak boleh dibawa ke kubur bagi menentukan Syurga dan Neraka  bagi seseorang.

12. Yang menjadi tanda tanya ialah apakah Tun Khalil menganggap jasa arwah tidak setimpal dengan anugerah yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri; apakah beliau selaku Ketua Menteri  dahulu tidak pernah berjasa dan berbakti kepada rakyat dan negeri Melaka atau pernahkah beliau merompak  kawasan balak dan kekayaan negeri seperti yang pernah dilakukan oleh beberapa Ketua Menteri dan Menteri Besar sebelum ini?

13.  Tahukah beliau arwah Tun Ghafar merupakan Ketua Menteri pertama yang dipilih rakyat sejurus selepas Merdeka.

14. Sedarkah  Tun Khalil bahawa arwah Tun Ghafarlah yang bertanggungjawab  melakar Bendera Negeri Melaka yang maseh berkibar sehingga hari ini?

15. Saya sedar walaupun berlainan parti tetapi Saudara Adli dan rakan - rakan beliau seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub,  Mazlan Aliman  dan lain-lain amat menghormati arwah Tun Ghafar.

16. Apakah jasa mereka yang namanya tidak pernah didengar atau mereka yang baru diberi jawatan   tiba - tiba dianugerahkan dengan berbagai gelaran?

17. Malah jasa arwah Tun Ghafar, kalau mahu disebut jauh lebih besar kepada rakyat dan Negeri Melaka jika dibandingkan dengan Tun Khalil Yaakob sendiri.

18. Tun Khalil mungkin tidak tahu, demi perjuangan sucinya, arwah Tun Ghafar ketika kembali kepada PenciptaNya bukan sahaja tanpa meninggalkan hutang, malah meninggalkan harta  yang tak sebanyak mana bagi dibahagi-bahagikan dengan sempurna oleh anak-anak beliau yang ramai.

19. Saya yakin jika arwah masih hidup  sudah tentu beliau ( Tun Khalil)  orang pertama yang akan berlari menganugerahkan ‘Bintang  dan Bulan’ kepadanya.

20. Sebahagian rakyat tahu apa yang dilakukan oleh Tun Khalil semasa  beliau memegang jawatan Menteri Besar Pahang, begitu juga semasa menjadi Menteri Penerangan dahulu.

21. Mungkin ramai tidak perasan mengapa Abdullah Badawi  melantik beliau sebagai TYT Melaka sejurus selepas menggambil alih jawatan Perdana Menteri menggantikan Tun  Dr. Mahathir.

22. Bermula dengan Tun Leong Yew Koh dari Perak sebagai TYT pertama , kemudian diikuti oleh Tun Malik dari Negeri Sembilan sehinggalah perlantikan Tun Khalil dari Pahang sejak 14 tahun yang lepas, semua TYT Melaka bukan merupakan anak Melaka.

23. Kita juga punyai cukup bukti bagaimana  Tun Khalil selaku TYT telah secara terang-terangan melibatkan diri melawat beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN  sama ada di Melaka mahupun beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN di Pahang  dalam pilihanraya yang lepas dan memberi nasihat serta rangsangan kepada petugas - petugas parti.

24. Beliau boleh menafikan tapi kita punyai ramai saksi yang sanggup tampil ke hadapan.

25. Kepada Saudara Adli, laksanakanlah tanggungjawab yang telah diamanakan dengan sebaik mungkin.

26. Buat pertama kalinya Rakyat Melaka telah menolak UMNO yang telah memerintah negeri itu sejak sekian lama.

27. Rakyat Melaka telah memilih Pakatan Harapan, yang seterusnya mengangkat Saudara sebagai Ketua Kerajaan Melaka.

28. SAUDARA  DI PILIH OLEH  RAKYAT  BUKANYA OLEH TYT.

29. Semoga pandangan saya ini dapat dikongsi bersama.

Terima Kasih

20181007 JANGAN MENGUNDANG LAKNAT ALLAH SWT

JANGAN  MENGUNDANG LAKNAT ALLAH SWT

Tamrin Tun Ghafar

Ahad  -  0710/18
( 1 -  22 )

1.   Selain dikejutkan  dengan Piliharanraya Kecil Parlimen Port Dickson , negara khasnya umat Islam dikejutkan pula dengan pendirian seorang Menteri yang diamanahkan dan bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam.

2.  Menteri yang dimaksudkan ialah Datuk Dr. Mujahid bin Yusoff Rawa dari parti AMANAH yang mewakili Kerajaan Pakatan Harapan ( PH )  pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

3.  Pendirian Tun Mahathir yang tidak bersetuju  dengan kebebasan LGBT sepatutnya dijadikan garis panduan oleh mereka yang bernasib baik dipilih menganggotai Kabinet.

4 .  Walaupun beliau mungkin mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza tapi dari segi etika dan amalan, beliau sepatutnya mengambil kira pendirian Perdana Menteri yang melantiknya sebagai menteri.

5.  Saya tidak pasti sama ada pendirian beliau ini berdasakan fahaman peribadi atau  telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu.

6.  Apakah liberalisme ini merupakan dasar parti Amanah dan  Kerajaan PH?

7.  Sebenarnya saya mula berdamping dengan beliau ini sewaktu bersama dalam PAS dan  dalam sebuah NGO, Gerakan Anti Perkauman atau nama pendeknya GAP.

8.  Mungkin saya salah seorang kenalan yang begitu gembira apabila beliau dipilih sebagai menteri oleh Tun Mahathir.

9.  Namun kegembiran saya itu ibarat 'Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang , Rupanya Hujan Di Tengahari’.

10.  Pendirian  beliau ini telah menghampakan saya dan seluruh umat Islam yang lain yang mahu melihat segala bentuk kemaksiatan ditangani.

11.  Dr. Mujahid yang telah mendapat pelajaran tinggi dari Universiti Al Azhar , Mesir kini dilihat sebagai seekor tikus mondok yang tunduk kepada segelintir manusia yang pandai berpura - pura.

12.  Sebagai umat Islam saya juga tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan segelintir penguatkuasa yang bertindak sesuka hati tanpa mengikut aturan dan peraturan sehingga ia boleh menimbulkan kebencian terhadap Islam itu sendiri.

13.  Memang Islam mengajar kita menghormati
hak dan  kepentingan setiap penganutnya.

14.  Islam juga tidak menggalakkan kita mencari dosa orang lain dengan tindakan - tindakan keterlaluan.

15.  Bukankah tanggungjawab semua terutama pihak berkuasa iaitu pemerintah menentukan segala gejala yang bertentangan dengan Islam itu sendiri ditangani?

16.  Kita sering  dengar ungkapan 'Amal Maaruf dan Nahi Munkar' -  menyuruh  manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

17.  Cara yang paling baik yang  sepatutnya dilakukan ialah mendidik pegawai - pegawai penguatkuasa khasnya dan mereka yang hanya pandai memberi arahan dengan pendekatan - pendekatan yang lebih berhemah.

18.  Mengambil jalan mudah seperti yang diumumkan oleh Menteri yang berkenaan sudah pasti menggalakan kemaksiatan terus berleluasa, jauh sekali daripada membenterasnya.

19.  Kepada sebahagian besar umat Islam di negara ini, pendirian yang diambil adalah bertentangan dengan apa yang diajar, mengambil jalan mudah , tidak bertanggungjawab;  ia bagaikan cuci tangan sahaja.

20.  Sepatutnya Kerajaan mengambil iktibar dari laknat ALLAH  SWT berdasarkan pengalaman ngeri yang menimpa penduduk di Sulawesi, baru-baru ini.

21. Kepada Sdr Mujahid , baliklah  ke pangkal jalan sebelum nasi menjadi bubur.

22. SEMOGA LAKNAT ALLAH TIDAK MENIMPA KITA.

Terima Kasih.

20181005 JANGAN MENCONTENG ARANG DI MUKA

JANGAN  MENCONTENG  ARANG  DI MUKA

Tamrin Tun Ghafar

Jumaat -  05/10/18
( 1 -  34 )

1.  Sudah beberapa  kali kenyataan karut telah dibuat oleh makhluk yang berselindung di sebalik gelaran TMJ ini.

2.  Sebenarnya  'kehebatan' beliau ini hanya semata - mata bergantung  di bawah  ketiak bapanya, Sultan dan pengawal - pengawal peribadi yang terdiri dari anggota Askar Timbalan  Setia Johor atau Johor Military Force ( JMF ).

3.  Kini pasukan tersebut diletakkan dibawah tanggungjawab beliau yang menggelarkan sendiri diri nya sebagai Mejar Jeneral.

4.  Dari segi undang - undang,  amalan dan protokol Angkatan Tentera, beliau sememangnya TIDAK LAYAK sama sekali menggunakan gelaran tersebut dan ini adalah satu kesalahan.

5.  Bagi menjaga nama baik Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan sepatutnya  mengarahkan beliau tidak lagi menggunakan gelaran tersebut.

6.  Kementerian boleh mengutus surat berbentuk  'nasihat' . Jika beliau berdegil dengan tidak mengendahkan 'nasihat' tersebut , maka Kementerian harus mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

7.  Kepada Sdr. Khairy Jamaluddin, bekas Menteri , saya ucap tahniah diatas sikap tanggungjawab  dan prihatin beliau apabila secara sukarela memulangkan medal tentera yang pernah diterimanya.

8.   Di zaman moden ini , apakah perlunya pasukan Askar Timbalan Setia Johor itu dikekalkan sedangkan Angkatan Tentera  dan Pasukan Polis kita sudah memadai menjaga keselamatan negara, apatah lagi setakat mengawal dan  menjaga keselamatan Istana?

9.   Sudah sampai masanya pembersihan dan 'reformasi' dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan dengan mengkaji semula  peranan pasukan tersebut.

10.   Kelakuan TMJ ini  tak ubah seperti  'menconteng arang di muka sendiri'  dan ibarat 'sebab setitik nila rosak susu sebelanga' ; ia sedikit sebanyak  mencemarkan Institusi Raja Berpelembagaan itu sendiri.

11.   Sepatutnya apabila seseorang anak itu melakukan kesalahan atau tak reti bahasa maka adalah menjadi tanggungjawab bapanya untuk mengajar dan membetulkan  yang tak betul melainkan jika bapa itu pun sama - sama tak betul atau dalam bahasa Mat Rempit  - 2 x 5 sahaja.

12.  Hormatilah  diri sendiri jika mahu orang lain menghormati kita;  begitu juga Raja -Raja MESTILAH menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang agar rakyat terus menghormati mereka.

13.  Apakah mereka sudah lupa Sumpah dan Ikrar mereka semasa menggambil alih jawatan sama ada Agong mahu pun Sultan?

14.  Apa yang rakyat lihat hari ini, sudah terlalu banyak tindakan mereka khasnya Sultan Johor dan anaknya yang melanggar Perlembagaan.

15.  Menuduh Kerajaan PH  pimpinan  Tun Dr. Mahathir kononnya menggunakan peralatan canggih buatan Israel  mengintip ( spying) beliau dan bapanya adalah satu tindakan provokasi yang amat serius ;  apa penting sangat ke mereka berdua ini sehingga Kerajaan terpaksa melakukan pengintipan, atau mereka sedang mencari pablisiti murah bagi menutup kelemahan sendiri?

16.  Beliau perlu tampil dengan bukti kukuh  terhadap dakwaan yang dibuat itu,  bukan menyerang secara membabi buta sahaja.

17.  Rakyat mula bertanya apakah ada dua bentuk Perlembagaan dan Undang - Undang yang wujud , satu untuk Sultan dan keluarga mereka dan yang satu lagi untuk rakyat?

18.   Amat malang sekali jika sekiranya Polis tidak tahu atau tidak memahami Perlembagaan.

19.   Sepatutnya Polis boleh menyiasat dan mendakwa beliau atas kesalahan yang serius ini walaupun bergelar  Tengku Mahkota Johor.

20.  Perlu diingatkan sekali lagi Tengku Mahkota , Raja Muda dan lain - lain ahli keluarga Sultan , mereka TIDAK punyai perlindungan kekebalan atau imunity; taraf mereka sama saja seperti rakyat biasa ; boleh diheret ke muka pengadilan bila - bila masa sahaja jika melanggar undang - undang.

21.  Undang - undang tetap undang atau dalam bahasa Inggerisnya law is law.

22.  Polis harus bertindak secara profesional , bukan pilih bulu atau hanya bertindak mengikut arahan.

23.  Ketua Polis Negara TIDAK SEPATUTNYA berpeluk tubuh dalam perkara sedemikian.

24.  Menyarankan Kerajaan Negeri Johor  membayar gaji minima kepada pekerja juga satu tindakan yang boleh dilihat sebagai mencampuri Pentadbiran Negeri - jika gian sangat , serahkan saja gelaran Tengku Mahkota Johor itu dan bertandinglah dalam Pilihanraya.

25.  Jika menang , Sultan lantik anaknya itu sebagai Menteri Besar Johor - itu kan lebih baik!!

26.  Baru - baru ini  secara sinis beliau cuba mempersenda orang tertentu dengan kekayaan kononnya hanya orang tersebut sahaja dengan wang ringgit yang banyak mampu membeli kelab bolasepak Real Madrid, sebuah kelab terkemuka dunia; mengapa   tidak ada angin  tiba - tiba  beliau mengaitkan orang tersebut?

27.  Ini adalah motif jahat; tindakan ini boleh dianggap sebagai  biadab dan kurang ajar oleh seorang budak yang bergelar Tengku Mahkota.

28.  Jika  jaga Persatuan Bolasepak Negara atau FAM pun gagal, janganlah cuba menonjol diri seperti Mat Jenin.

29.  Melalui peguamnya beliau menafikan kononnya  kenyataan yang dimuat-naik dalam facebooknya bukanlah ditujukan  kepada
seorang Menteri yang menyatakan Tun Dr. Mahathir ialah seorang 'perfectionist' ;  tetapi umum bukanlah sebodoh itu.

30.  Saya berpendapat mulai sekarang tak perlulah lagi sesiapa Menteri sibuk nak menyembah dan mencium tangan mereka.

31.  SULTAN  BUKAN  TUHAN  YANG  PERLU  DISEMBAH dan BUKAN  TOK  GURU  ATAU  IBU 
IBU  BAPA  KITA  YANG  BAIK  TANGAN  MEREKA  DICIUM.

32.  Akhir nya  Majlis Raja - Raja patut
menasihatkan Sultan  Johor agar beliau menasihatkan anaknya, Tunku Ismail agar jangan terlalu celupar, hormat dan pelihara Perlembagaan dan Undang - Undang , hormat orang yang lebih dewasa dari kita dan hormatlah perasaan rakyat jelata.

33.   Saya sedia menghadap beliau di mahkamah  pada bila - bila masa jika beliau ingin mengambil tindakan undang-undang berhubung tulisan ini.

34.  JADILAH  PAYUNG  YANG  SEMPURNA  SEBAGAI  TEMPAT  RAKYAT BERTEDUH.

Terima Kasih.

20180920 TUDUHAN JAHAT - MENGAPA POLIS TAKUT BERTINDAK?

TUDUHAN  JAHAT -  MENGAPA  POLIS  TAKUT  BERTINDAK?

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 20/09/18
( 1 -  38 )

1.   Setelah Perlembagaan dipinda, jika sekiranya terdapat mana - mana Sultan melanggar  Perlembagaan dan undang-undang, mereka boleh diheret ke  Mahkamah Khas.

2.  Perkara ini TELAH  pun berlaku apabila Sultan Ahmad Shah dari Pahang dan Tuanku Jaafar  dari Negeri Sembilan didakwa
atas kesalahan yang masing-masing lakukan.

3.  Perlu diingat, ahli keluarga Sultan termasuk Tengku Mahkota atau Raja Muda  langsung TIDAK   mempunyai sebarang perlindungan kekebalan atau immunity; jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum oleh mana - mana mahkamah seperti rakyat biasa sahaja.

4.  Ekoran kekejaman Sultan Iskandar, bapa Sultan Johor sekarang di suatu ketika dahulu di mana beliau sesuka hati mencedera malah menembak mati rakyat yang tidak mampu mempertahankan diri, maka bagi menyelamatkan rakyat dan Institusi Raja Berpelembagaan, Kerajaan  yang dipimpin oleh  Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri ketika itu TERPAKSA  menarik balik kekebalan atau immunity mereka.

5.  Begitu juga Perlembagaan TERPAKSA  dipinda apabila ada kalangan Sultan yang melambat - lambatkan persetujuan kepada undang - undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri; untuk apa perkara sebegini dilakukan? Wallahualam!

6.  Jika sekiranya Sultan ketika itu menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang seperti yang dilakukan oleh datuk dan moyang mereka sebelum ini , saya yakin pindaan terhadap Perlembagaan itu tidak perlu sama sekali dilakukan.

7.  Ini, Sultan dan keluarga mereka PERLU  faham; merekalah sebenarnya penyebab dan punca  mengapa Kerajaan TERPAKSA menarik balik perlindungan kekebalan dan kuasa  muktamad atau kuasa veto mereka, itu pun jika benar mereka punyai kuasa tersebut.

8.  Oleh kerana tidak memahami sejarah dan ditambah dengan sikap mazmumah, sejak kebelakangan ini  Sultan dan keluarga meraka khususnya Sultan Johor dan anaknya, Tunku Ismail dan Sultan Selangor kerap menyalahkan Tun Dr. Mahathir diatas Pindaan Perlembagaan tersebut.

9.  Menjelang PRU 14 yang baru lalu , Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan bagi pihak Majlis Raja - Raja tentang kekecewaan mereka terhadap Tun Dr. Mahathir  kerana bersama Parti - Parti Pembangkang menentang UMNO/ BN.

10.   Ekoran keceman tersebut,  Sultan Kelantan yang kini merupakan Yang Dipertuan Agong telah menarik balik Darjah Kerabat Kelantan (DK Kelantan) yang diberikan kepada Tun Mahathir dan beliau kemudian secara sukarela memulangkan Darjah Kerabat Selangor ( DK Selangor ).

11.  Sultan  Johor dan anaknya pula tidak berhenti-henti menghentam Tun Dr. Mahathir.

12.  Di manakah Sultan - Sultan mahu meletak muka apabila segala usaha mereka ditolak oleh majoriti rakyat dengan menumbangkan Parti UMNO / BN yang mereka sokong selama ini? Itulah isyarat kepada Sultan bahawa rakyat sekarang tidak lagi seperti lembu yang boleh dicucuk hidung.

13. Mereka seharusnya MENCERMIN  diri sendiri sebelum  menuding jari kepada Tun Mahathir.

14. Tindak tanduk mereka  menghumbankan diri ke dalam kancah politik adalah bukti mereka MELANGGAR Perlembagaan dan Sumpah Jawatan mereka.

15. Baru - baru ini anak Sultan  Johor, Tunku Ismail yang tanpa segan silu menggunakan gelaran Brigadier General telah dengan sengaja membuat kenyataan serius terhadap Kerajaan.

16. Tuduhan tanpa asas kononnya Kerajaan sedang mengintip (spying) beliau dan bapa beliau dengan menggunakan alatan buatan Israel adalah tuduhan yang amat berat, serius dan jahat.

17. Amat mengecewakan apabila  polis terutama Bukit Aman dan Polis Johor tidak mengambil sebarang tindakan undang - undang terhadap “budak” ini.

18. Mustahil IGP dan Ketua Polis Johor tidak faham Perlembagaan dan Undang - Undang, atau pun mereka takut dimurkai Sultan, tapi bagaimana pula jika rakyat yang murka?

19. Perlembagaan dan Undang - Undang TIDAK membezakan antara Sultan  dan rakyat.

20. Walaupun Sultan diberi perlindungan kekebalan atau immunity tetapi jika melakukan kesalahan, mereka tetap boleh diheret ke mahkamah; apatah lagi Tengku Mahkota , Raja Muda dan lain - lain ahli keluarga Sultan yang TIDAK diberi sebarang perlindungan kekebalan tersebut.

21. Bayangkan jika sekiranya rakyat biasa membuat tuduhan seperti yang dilakukan oleh anak Sultan Johor baru - baru ini, sudah pasti polis akan bertindak seperti kilat; mereka akan di tangkap, dilokap dan dihumban kedalam penjara.

22. Mengambil kira undang-undang sedia ada, pihak polis  SEPATUTNYA  menjalankan tanggungjawab dengan mengambil tindakan terhadap beliau tanpa memilih bulu.

23. Dalam kes ini Bukit Aman atau polis Johor patut memanggil  anak Raja ini seperti yang selalu pihak polis lakukan kepada rakyat biasa.

24. Jika beliau enggan memberi keterangan di balai polis, maka waran tangkap sepatutnya dikeluarkan.

25. 'Kekebalan’ beliau hanya bergantung dibawah ketiak bapanya dan Johor Military Force ( JMF ) atau dalam bahasa Melayu Askar Timbalan Setia Johor  ( ATJ ).

26. Ditubuhkan dalam sekitar 1886 oleh Sultan Ibrahim ia kini mempunyai kira - kira 100 anggota dan diletakkan dibawah jagaan Tunku Ismail sendiri yang menggelarkan dirinya ' Brigidier General'.

27. Pada asalnya penubuhan  ATJ ini ialah bagi mengawal Istana; mereka hanya berpakaian seluar pendek dan menggunakan cotar sahaja.

28. Kerajaan, melalui Ketua Turus Angkatan Tentera BOLEH memerintahkan segala alat senjata moden yang kini digunakan oleh pasukan ini diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia.

29. Demi keutuhan Institusi Raja Berpelembagaan,  Majlis Raja - Raja MESTI menasihatkan Sultan Johor dan anaknya supaya mendisiplinkan diri mereka.

30. Perdana Menteri juga harus mengingatkan Raja - Raja tentang apa yang berlaku terhadap Raja - Raja di beberapa negara lain.

31. Shah Iran yang begitu hebat sekali pun akhirnya mati sebagai orang pelarian di Mesir. Raja Nepal diturunkan melalui Pungutan Suara atau Referendum Rakyat.

32. Bagi mengelakkan Pungutan Suara atau Referendum yang telah saya cadangkan baru - baru ini , adalah lebih manis jika Majlis Raja - Raja sendiri membuat ketetapan mulai tahun hadapan atau selewat - lewatnya tahun 2020 , segala kos membiayai kehidupan mereka dan keluarga  termasuk elaun bulanan dan lain - lain MESTI dibentang dan dibincang oleh Parlimen dan Dewan Negeri terlebih dahulu.

33. Perlu juga diingatkan kehancuran sesebuah Empayar berpunca dari kesalahan mereka sendiri.

34. Tunku Abdul Rahman dalam tulisannya menyebut kata - kata Raja Mesir,  Raja Farouk yang lari ke Rom, Italy setelah ditumbangkan oleh rakyat  dalam tahun 1952  - “akhirnya yang akan tinggal hanya 5 Raja sahaja - Raja England , raja kelawar , raja sepit , raja diamond dan raja lekok ; mungkin Tunku terlepas pandang, ada satu lagi yang tinggal  iaitu  'joker’.

35. Bak kata Laksamana Bentan, Megat Seri Rama apabila beliau menikam Sultan Mahmud hingga mati " Raja adil Raja disembah , Raja zalim Raja disanggah".

36. Semoga  Raja - Raja  mengambil iktibar segala pandangan ikhlas saya ini.

37. “Ular Menyusup Di Akar Tidak Hilang Bisanya”.

38. Agar tulisan saya  ini dapat dikongsi bersama oleh sebanyak mungkin mereka yang berminat.

Terima Kasih.

20180918 BAKAL PERNIKAHAN YANG AKAN DISAKSIKAN MCA DAN MIC

BAKAL  PERNIKAHAN  YANG  AKAN  DISAKSIKAN  MCA  DAN  MIC

Tamrin Tun Ghafar

Selasa -  11/09/18
( 1 -  27 )

1.  Pada 7hb April 1981 di Kampong Bonggol Paradong , Kuala Terengganu , Hadi Awang yang kini selaku Presiden PAS telah habis-habisan menyerang  UMNO dengan begitu hebat sekali; belum pernah lagi UMNO, sejak tertubuhnya Pas, diserang sebegitu rupa.

2.  Ucapan Hadi itu yang lebih dikenali sebagai Amanat Haji Hadi telah di jadikan pegangan perjuangan ahli - ahli PAS.

3.  Pada 1986 , Hadi sekali lagi menyerang UMNO  kerana berkawan dengan MCA dengan mengumpamakan MCA sebagai seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

4.  Semasa zaman Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Hadi berpeluk-pelukan dengan DAP bagi menumbangkan UMNO/ BN.

5.  Ucapan Hadi di pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan, di hadapan lautan manusia , beliau dengan lantang membela DAP.

6.  Menjelang Pilihan Raya ke 14 yang berlangsung pada 9hb Mei 2018 lalu, pendirian Hadi mula berubah.

7.  Jika dulu beliau menyerang UMNO kerana bersekongkol dengan MCA tapi kini  seolah-olah UMNO / BN adalah parti yang suci dan sealiran dengan PAS.

8.  Lupakah Hadi dan ahli - ahli PAS  kenyataan Najib selaku Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengurusi Barisan Nasional menjelang PRU 13 pada tahun 2008 yang berkata bahawa selagi UMNO /BN berkuasa selagi itu Hukum Hudud TIDAK  akan dilaksanakan?

9.  Apakah Hadi, pemimpin dan ahli PAS  kini telah memaafkan rakan kongsi UMNO iaitu MCA , MIC dan Gerakan yang pernah mengugut mahu keluar ( berhenti ) dari Kabinet jika sekiranya pembentangan RUU 355 tajaan PAS diteruskan dalam Parlimen?

10.  Pada pilihanraya kecil Sungai Kandis baru-baru ini,   PAS bukan sahaja tidak meletakkan calonnya bartanding, malah Hadi mengarahkan ahli - ahlinya bekerja kuat menyokong calon UMNO /BN bagi mengalahkan calon Pakatan Harapan ( PH ).

11.  Kali ini pula di pilihanraya kecil Seri Setia, giliran UMNO / BN pula tidak meletakkan calon, sebaliknya beberapa Ahli
Majlis Tertinggi UMNO bukan sahaja berarak mengiringi calob PAS, bahkan mereka berkempen habis-habisan di sana seolah olah calon UMNO/ BN yang bertanding.

12.  Keadaan di pilihanraya kecil  Balakong lagi memeranjatkan apabila beberapa Pemimpin Tertinggi PAS bersungguh-sungguh berkempen bagi memenangkan calon MCA sedangkan Hadi pernah menyamakan MCA seperti seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

13.  Apakah Hadi telah mengeluarkan fatwa baru yang daging babi itu sekarang ini sudah boleh dimakan oleh beliau dan ahli-ahli PAS?

14. Kebelakangan ini Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain menyerang  PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir atas alasan DAP adalah parti yang anti Melayu dan Islam.

15.  Sama ada mereka lupa atau buat - buat lupa tentang kenyataan Najib yang pernah menentang Hudud dan ugutan MCA terhadap BN jika sekiranya pembentangan RUU 355 diteruskan.

16.  Segala taktik  PAS dan UMNO/ BN di ketiga-tiga pilihanraya kecil tersebut terbukti telah mengalami kegagalan.

17.  Tidak lama lagi  akan berlangsung Perhimpunan Agung  UMNO dan Muktamar Tahunan PAS.

18.  Belum pun lagi UMNO menjemput PAS untuk hadir, tiba - tiba Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan PAS sedang menimbang kehadiran mereka di Perhimpunan Agung UMNO itu.

19.  Begitu juga Zahid Hamidi,  Presiden UMNO telah mengesahkan  'ana' akan hadir di Muktamar PAS nanti.

20.  Itulah tanda - tanda bahawa UMNO dan PAS sudah tentu akan mengadakan ‘Majlis Pernikahan’ mereka tidak lama lagi.

21.  Hanya tarikh ‘penikahan’ saja belum lagi ditetapkan tapi yang pasti rakan baik mereka, MCA dan MIC pasti hadir sebagai saksi kepada ‘perkahwinan’ tersebut.

22. Semoga ‘pernikahan’ kali ini berkekalan sehingga ke anak cucu dan tidak seperti ‘penikahan‘  terdahulu di zaman Tun Razak dan Datuk Asri yang berakhir dengan ‘perceraian’.

23. Sebenarnya taktik Pas berbaik-baik dengan UMNO hanyalah tipu daya Pas apabila mereka berjaya mengurangkan kerusi UMNO di Kelantan dan menumbangkan kerajaan UMNO di Terengganu.

24. Apa pun pesanan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden Pas dalam ucapan terakhirnya, “apabila kita berjinak-jinak dengan musuh (UMNO), itulah tanda bermulanya kehancuran kita (Pas).

25. Kata-kata Tok Guru Nik Aziz Nik Mat kepada saya, “UMNO bila lemah dia cari kita, bila kuat dia tendang kita.”

26. Sama-samalah kita tunggu dab lihat siapakah yang lebih bijak selepas ini.

27. Tulisan ini khas untuk renungan semua ahli - ahli UMNO/ BN dan PAS yang barangkali dalam detik penantian menunggu tarikh ‘pernikahan’ kedua-dua parti itu.

Terima Kasih.

20180909 RAJA-RAJA - PUNGUTAN SUARA ( REFERENDUM ) PERLU DIADAKAN

RAJA-RAJA - PUNGUTAN  SUARA ( REFERENDUM )
PERLU  DIADAKAN

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 09/09/18
( 1 -  23 )

1.  Hari ini rakyat meraikan Hari Keputeraan rasmi Yang Di Pertuan Agong.

2.  Buat pertama kali dalam sejarah negara tidak ada sebarang pengurniaan anugerah kebesaran diberikan kepada sesiapa pun atau dalam erti kata lain tidak ada sebarang Bintang dan Pingat  pun diberi pada tahun ini.

3.  Sebenarnya anugerah sedemikian bolehlah disamakan seperti Sijil Pelajaran, ia hanya diberi kepada mereka yang telah lulus peperiksaan saja.

4.  Mereka yang telah berkhidmat dengan baik dan berjasa kepada negara dan negeri sahaja yang sepatutnya diberi penghormatan menerima anugerah sedemikian.

5.  Amalan memberi anugerah  secara sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja tanpa menggambil kira latar belakang sesaorang penerima seharusnya diberhentikan serta merta mulai sekarang.

6.  Cukuplah dengan cakap - cakap kononnya  ada seorang Sultan dan keluarga beliau dari Pantai Timur yang menjual Pingat Datuk dan Datuk Seri kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar pada harga yang ditetapkan.

7.  Difahamkan amalan itu telah dilakukan sejak sekian lama setiap kali  menyambut Hari Kelahiran Sultan tersebut.

8.  Hasil dari perbuatan  tersebut, kita sering kedengaran bagaimana segala jenis manusia termasuk kaki busuk seperti samseng,  penipu dan perompak dengan mudah menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri di merata-rata.

9.  Perbuatan  sebegini  sudah tentu mengguris perasaan mereka yang benar - benar layak sama ada yang telah dianugerahkan atau yang masih menunggu untuk diberikan sesuatu anugerah.

10.  Ada juga pingat  diberi lagi kepada orang yang sama beberapa kali seolah-olah jasanya sangat besar, sedangkan biasanya orang berkenaan selalunya hanyalah ‘kaki mengampu’ saja.

11.  Sebagai perbezaan , di England  misalnya, pingat HANYA  diberi kepada beberapa orang sahaja dari sekian ramai yang layak
menerimanya.

12.  Cliff Richard , penyanyi terkemuka dunia dan Paul Mac Cartney dari kumpulan The Beatles sebagai contoh, mereka hanya menerima gelaran ' Sir ' dari Ratu Elizabeth selepas berpuluh tahun berkecimpung dalam industri hiburan, tidak seperti di sini bersepah-sepah artis diberikan gelaran Datuk dan Datuk Seri.

13.  Sebagai makluman, gelaran 'Sir' adalah lebih kurang sama gelaran Datuk atau Datuk Seri di negara kita.

14.  Amalan  memberi dan menjual gelaran-gelaran tersebut seperti ‘kacang putih’ perlu dihentikan serta merta.

15.  Allahyarham bapa saya, Tun Abdul Ghafar Baba hanya bersetuju menerima Anugerah Negara selepas beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, itu pun setelah beberapa kali dipujuk rayu oleh kerajaan dan ahli keluarga - ALFATIHAH !!

16.  Pendirian Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri  berhubung pemberian sebarang pingat dan anugerah seharusnya dijadikan panduan setiap negeri terutama negeri - negeri yang diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan ( PH ).  Menteri Besar dan Ketua Menteri MESTI  BERTEGAS  memaklumkan pendirian ini kepada Raja dan Gabenor mereka; lagi pun Raja-Raja hanyalah manusia biasa, bukan Tuhan atau malaikat yang perlu ditakuti.

17.   Malaysia sudah Merdeka selama  61 tahun dan kini negara  pula di ketuai oleh Agong yang ke 15, maka sudah sampai masanya perubahan segera dilakukan.

18.   Rakyat kini mahu tahu apakah sejumlah wang yang besar hasil titik peluh mereka berbaloi dibelanjakan demi  kesenangan dan kemewahan Raja -Raja dan keluarga mereka?

19.   Saya amat terharu melihat bagaimana petani dan pesawah membanting tulang , bagaimana nelayan menyabung nyawa menempuh ombak gelora, bagaimana pemandu teksi dan pengangkutan lain menyengkang  mata dan bagaimana geladangan tidur di kaki-kaki lima kerana kesusahan  hidup  mencari rezeki - ini semua dilakukan mereka demi mencari sesuap nasi untuk diri dan keluarga mereka, sedangkan pada masa yang sama ada segelintir manusia yang tidak cukup - cukup melayani nafsu mereka dan keluarga dengan  kemewahan hidup seolah-olah itulah syurga mereka.

20. Jika sekiranya Kerajaan PH pimpinan  Tun Dr. Mahathir tidak mahu dituduh sekali lagi sebagai tidak sensitif terhadap Istana, maka saya kini mencadangkan Pungutan Suara atau Referendum harus diadakan dalam masa terdekat ini bagi mengetahui sama ada rakyat setuju atau tidak setiap sen yang dibelanjakan kepada  Agong dan Raja - Raja hendaklah dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Negeri, ATAU mereka tidak peduli sebanyak mana wang rakyat diperuntukan kepada setiap Istana?

21. Di England dan Negara - Negara Eropah yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan seperti Malaysia, setiap sen yang di diperuntukkan kepada Raja mereka MESTI  terlebih dahulu mendapat persetujuan Parlimen.

22. Semoga cadangan  Pungutan Suara atau Referendum ini akan meningkatkan lagi penghormatan rakyat terhadap Raja - Raja sebagai payung kepada rakyat.

23. Sila kongsikan padangan ikhlas saya ini dengan seluas-luasnya.

Terima Kasih.