Sunday, 14 October 2018

20180918 BAKAL PERNIKAHAN YANG AKAN DISAKSIKAN MCA DAN MIC

BAKAL  PERNIKAHAN  YANG  AKAN  DISAKSIKAN  MCA  DAN  MIC

Tamrin Tun Ghafar

Selasa -  11/09/18
( 1 -  27 )

1.  Pada 7hb April 1981 di Kampong Bonggol Paradong , Kuala Terengganu , Hadi Awang yang kini selaku Presiden PAS telah habis-habisan menyerang  UMNO dengan begitu hebat sekali; belum pernah lagi UMNO, sejak tertubuhnya Pas, diserang sebegitu rupa.

2.  Ucapan Hadi itu yang lebih dikenali sebagai Amanat Haji Hadi telah di jadikan pegangan perjuangan ahli - ahli PAS.

3.  Pada 1986 , Hadi sekali lagi menyerang UMNO  kerana berkawan dengan MCA dengan mengumpamakan MCA sebagai seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

4.  Semasa zaman Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Hadi berpeluk-pelukan dengan DAP bagi menumbangkan UMNO/ BN.

5.  Ucapan Hadi di pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan, di hadapan lautan manusia , beliau dengan lantang membela DAP.

6.  Menjelang Pilihan Raya ke 14 yang berlangsung pada 9hb Mei 2018 lalu, pendirian Hadi mula berubah.

7.  Jika dulu beliau menyerang UMNO kerana bersekongkol dengan MCA tapi kini  seolah-olah UMNO / BN adalah parti yang suci dan sealiran dengan PAS.

8.  Lupakah Hadi dan ahli - ahli PAS  kenyataan Najib selaku Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengurusi Barisan Nasional menjelang PRU 13 pada tahun 2008 yang berkata bahawa selagi UMNO /BN berkuasa selagi itu Hukum Hudud TIDAK  akan dilaksanakan?

9.  Apakah Hadi, pemimpin dan ahli PAS  kini telah memaafkan rakan kongsi UMNO iaitu MCA , MIC dan Gerakan yang pernah mengugut mahu keluar ( berhenti ) dari Kabinet jika sekiranya pembentangan RUU 355 tajaan PAS diteruskan dalam Parlimen?

10.  Pada pilihanraya kecil Sungai Kandis baru-baru ini,   PAS bukan sahaja tidak meletakkan calonnya bartanding, malah Hadi mengarahkan ahli - ahlinya bekerja kuat menyokong calon UMNO /BN bagi mengalahkan calon Pakatan Harapan ( PH ).

11.  Kali ini pula di pilihanraya kecil Seri Setia, giliran UMNO / BN pula tidak meletakkan calon, sebaliknya beberapa Ahli
Majlis Tertinggi UMNO bukan sahaja berarak mengiringi calob PAS, bahkan mereka berkempen habis-habisan di sana seolah olah calon UMNO/ BN yang bertanding.

12.  Keadaan di pilihanraya kecil  Balakong lagi memeranjatkan apabila beberapa Pemimpin Tertinggi PAS bersungguh-sungguh berkempen bagi memenangkan calon MCA sedangkan Hadi pernah menyamakan MCA seperti seketul daging babi yang berada dalam kawah daging lembu.

13.  Apakah Hadi telah mengeluarkan fatwa baru yang daging babi itu sekarang ini sudah boleh dimakan oleh beliau dan ahli-ahli PAS?

14. Kebelakangan ini Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain menyerang  PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir atas alasan DAP adalah parti yang anti Melayu dan Islam.

15.  Sama ada mereka lupa atau buat - buat lupa tentang kenyataan Najib yang pernah menentang Hudud dan ugutan MCA terhadap BN jika sekiranya pembentangan RUU 355 diteruskan.

16.  Segala taktik  PAS dan UMNO/ BN di ketiga-tiga pilihanraya kecil tersebut terbukti telah mengalami kegagalan.

17.  Tidak lama lagi  akan berlangsung Perhimpunan Agung  UMNO dan Muktamar Tahunan PAS.

18.  Belum pun lagi UMNO menjemput PAS untuk hadir, tiba - tiba Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan PAS sedang menimbang kehadiran mereka di Perhimpunan Agung UMNO itu.

19.  Begitu juga Zahid Hamidi,  Presiden UMNO telah mengesahkan  'ana' akan hadir di Muktamar PAS nanti.

20.  Itulah tanda - tanda bahawa UMNO dan PAS sudah tentu akan mengadakan ‘Majlis Pernikahan’ mereka tidak lama lagi.

21.  Hanya tarikh ‘penikahan’ saja belum lagi ditetapkan tapi yang pasti rakan baik mereka, MCA dan MIC pasti hadir sebagai saksi kepada ‘perkahwinan’ tersebut.

22. Semoga ‘pernikahan’ kali ini berkekalan sehingga ke anak cucu dan tidak seperti ‘penikahan‘  terdahulu di zaman Tun Razak dan Datuk Asri yang berakhir dengan ‘perceraian’.

23. Sebenarnya taktik Pas berbaik-baik dengan UMNO hanyalah tipu daya Pas apabila mereka berjaya mengurangkan kerusi UMNO di Kelantan dan menumbangkan kerajaan UMNO di Terengganu.

24. Apa pun pesanan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden Pas dalam ucapan terakhirnya, “apabila kita berjinak-jinak dengan musuh (UMNO), itulah tanda bermulanya kehancuran kita (Pas).

25. Kata-kata Tok Guru Nik Aziz Nik Mat kepada saya, “UMNO bila lemah dia cari kita, bila kuat dia tendang kita.”

26. Sama-samalah kita tunggu dab lihat siapakah yang lebih bijak selepas ini.

27. Tulisan ini khas untuk renungan semua ahli - ahli UMNO/ BN dan PAS yang barangkali dalam detik penantian menunggu tarikh ‘pernikahan’ kedua-dua parti itu.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment