Sunday 14 October 2018

20180920 TUDUHAN JAHAT - MENGAPA POLIS TAKUT BERTINDAK?

TUDUHAN  JAHAT -  MENGAPA  POLIS  TAKUT  BERTINDAK?

Tamrin Tun Ghafar

Khamis - 20/09/18
( 1 -  38 )

1.   Setelah Perlembagaan dipinda, jika sekiranya terdapat mana - mana Sultan melanggar  Perlembagaan dan undang-undang, mereka boleh diheret ke  Mahkamah Khas.

2.  Perkara ini TELAH  pun berlaku apabila Sultan Ahmad Shah dari Pahang dan Tuanku Jaafar  dari Negeri Sembilan didakwa
atas kesalahan yang masing-masing lakukan.

3.  Perlu diingat, ahli keluarga Sultan termasuk Tengku Mahkota atau Raja Muda  langsung TIDAK   mempunyai sebarang perlindungan kekebalan atau immunity; jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum oleh mana - mana mahkamah seperti rakyat biasa sahaja.

4.  Ekoran kekejaman Sultan Iskandar, bapa Sultan Johor sekarang di suatu ketika dahulu di mana beliau sesuka hati mencedera malah menembak mati rakyat yang tidak mampu mempertahankan diri, maka bagi menyelamatkan rakyat dan Institusi Raja Berpelembagaan, Kerajaan  yang dipimpin oleh  Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri ketika itu TERPAKSA  menarik balik kekebalan atau immunity mereka.

5.  Begitu juga Perlembagaan TERPAKSA  dipinda apabila ada kalangan Sultan yang melambat - lambatkan persetujuan kepada undang - undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri; untuk apa perkara sebegini dilakukan? Wallahualam!

6.  Jika sekiranya Sultan ketika itu menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang seperti yang dilakukan oleh datuk dan moyang mereka sebelum ini , saya yakin pindaan terhadap Perlembagaan itu tidak perlu sama sekali dilakukan.

7.  Ini, Sultan dan keluarga mereka PERLU  faham; merekalah sebenarnya penyebab dan punca  mengapa Kerajaan TERPAKSA menarik balik perlindungan kekebalan dan kuasa  muktamad atau kuasa veto mereka, itu pun jika benar mereka punyai kuasa tersebut.

8.  Oleh kerana tidak memahami sejarah dan ditambah dengan sikap mazmumah, sejak kebelakangan ini  Sultan dan keluarga meraka khususnya Sultan Johor dan anaknya, Tunku Ismail dan Sultan Selangor kerap menyalahkan Tun Dr. Mahathir diatas Pindaan Perlembagaan tersebut.

9.  Menjelang PRU 14 yang baru lalu , Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan bagi pihak Majlis Raja - Raja tentang kekecewaan mereka terhadap Tun Dr. Mahathir  kerana bersama Parti - Parti Pembangkang menentang UMNO/ BN.

10.   Ekoran keceman tersebut,  Sultan Kelantan yang kini merupakan Yang Dipertuan Agong telah menarik balik Darjah Kerabat Kelantan (DK Kelantan) yang diberikan kepada Tun Mahathir dan beliau kemudian secara sukarela memulangkan Darjah Kerabat Selangor ( DK Selangor ).

11.  Sultan  Johor dan anaknya pula tidak berhenti-henti menghentam Tun Dr. Mahathir.

12.  Di manakah Sultan - Sultan mahu meletak muka apabila segala usaha mereka ditolak oleh majoriti rakyat dengan menumbangkan Parti UMNO / BN yang mereka sokong selama ini? Itulah isyarat kepada Sultan bahawa rakyat sekarang tidak lagi seperti lembu yang boleh dicucuk hidung.

13. Mereka seharusnya MENCERMIN  diri sendiri sebelum  menuding jari kepada Tun Mahathir.

14. Tindak tanduk mereka  menghumbankan diri ke dalam kancah politik adalah bukti mereka MELANGGAR Perlembagaan dan Sumpah Jawatan mereka.

15. Baru - baru ini anak Sultan  Johor, Tunku Ismail yang tanpa segan silu menggunakan gelaran Brigadier General telah dengan sengaja membuat kenyataan serius terhadap Kerajaan.

16. Tuduhan tanpa asas kononnya Kerajaan sedang mengintip (spying) beliau dan bapa beliau dengan menggunakan alatan buatan Israel adalah tuduhan yang amat berat, serius dan jahat.

17. Amat mengecewakan apabila  polis terutama Bukit Aman dan Polis Johor tidak mengambil sebarang tindakan undang - undang terhadap “budak” ini.

18. Mustahil IGP dan Ketua Polis Johor tidak faham Perlembagaan dan Undang - Undang, atau pun mereka takut dimurkai Sultan, tapi bagaimana pula jika rakyat yang murka?

19. Perlembagaan dan Undang - Undang TIDAK membezakan antara Sultan  dan rakyat.

20. Walaupun Sultan diberi perlindungan kekebalan atau immunity tetapi jika melakukan kesalahan, mereka tetap boleh diheret ke mahkamah; apatah lagi Tengku Mahkota , Raja Muda dan lain - lain ahli keluarga Sultan yang TIDAK diberi sebarang perlindungan kekebalan tersebut.

21. Bayangkan jika sekiranya rakyat biasa membuat tuduhan seperti yang dilakukan oleh anak Sultan Johor baru - baru ini, sudah pasti polis akan bertindak seperti kilat; mereka akan di tangkap, dilokap dan dihumban kedalam penjara.

22. Mengambil kira undang-undang sedia ada, pihak polis  SEPATUTNYA  menjalankan tanggungjawab dengan mengambil tindakan terhadap beliau tanpa memilih bulu.

23. Dalam kes ini Bukit Aman atau polis Johor patut memanggil  anak Raja ini seperti yang selalu pihak polis lakukan kepada rakyat biasa.

24. Jika beliau enggan memberi keterangan di balai polis, maka waran tangkap sepatutnya dikeluarkan.

25. 'Kekebalan’ beliau hanya bergantung dibawah ketiak bapanya dan Johor Military Force ( JMF ) atau dalam bahasa Melayu Askar Timbalan Setia Johor  ( ATJ ).

26. Ditubuhkan dalam sekitar 1886 oleh Sultan Ibrahim ia kini mempunyai kira - kira 100 anggota dan diletakkan dibawah jagaan Tunku Ismail sendiri yang menggelarkan dirinya ' Brigidier General'.

27. Pada asalnya penubuhan  ATJ ini ialah bagi mengawal Istana; mereka hanya berpakaian seluar pendek dan menggunakan cotar sahaja.

28. Kerajaan, melalui Ketua Turus Angkatan Tentera BOLEH memerintahkan segala alat senjata moden yang kini digunakan oleh pasukan ini diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia.

29. Demi keutuhan Institusi Raja Berpelembagaan,  Majlis Raja - Raja MESTI menasihatkan Sultan Johor dan anaknya supaya mendisiplinkan diri mereka.

30. Perdana Menteri juga harus mengingatkan Raja - Raja tentang apa yang berlaku terhadap Raja - Raja di beberapa negara lain.

31. Shah Iran yang begitu hebat sekali pun akhirnya mati sebagai orang pelarian di Mesir. Raja Nepal diturunkan melalui Pungutan Suara atau Referendum Rakyat.

32. Bagi mengelakkan Pungutan Suara atau Referendum yang telah saya cadangkan baru - baru ini , adalah lebih manis jika Majlis Raja - Raja sendiri membuat ketetapan mulai tahun hadapan atau selewat - lewatnya tahun 2020 , segala kos membiayai kehidupan mereka dan keluarga  termasuk elaun bulanan dan lain - lain MESTI dibentang dan dibincang oleh Parlimen dan Dewan Negeri terlebih dahulu.

33. Perlu juga diingatkan kehancuran sesebuah Empayar berpunca dari kesalahan mereka sendiri.

34. Tunku Abdul Rahman dalam tulisannya menyebut kata - kata Raja Mesir,  Raja Farouk yang lari ke Rom, Italy setelah ditumbangkan oleh rakyat  dalam tahun 1952  - “akhirnya yang akan tinggal hanya 5 Raja sahaja - Raja England , raja kelawar , raja sepit , raja diamond dan raja lekok ; mungkin Tunku terlepas pandang, ada satu lagi yang tinggal  iaitu  'joker’.

35. Bak kata Laksamana Bentan, Megat Seri Rama apabila beliau menikam Sultan Mahmud hingga mati " Raja adil Raja disembah , Raja zalim Raja disanggah".

36. Semoga  Raja - Raja  mengambil iktibar segala pandangan ikhlas saya ini.

37. “Ular Menyusup Di Akar Tidak Hilang Bisanya”.

38. Agar tulisan saya  ini dapat dikongsi bersama oleh sebanyak mungkin mereka yang berminat.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment

10 TAHUN LAGI DAP AKAN JADI TUAN

10  TAHUN  LAGI  DAP  AKAN  JADI  TUAN Tamrin  Tun  Ghafar Khamis - 04/04/24 ( 1 - 19 ) 1.   Ketika  sebok  hendak  menyambut  Hari  Raya  y...