Sunday, 11 August 2019

20180425 SULTAN  -  HINDARKAN  SIFAT  MAZMUMAH

SULTAN  -  HINDARKAN  SIFAT 
MAZMUMAH

Tamrin Tun Ghafar
Rabu 25/04/18
( 1 -  41 )

1.  Selepas wafatnya Baginda Rasullullah, para  sahabat enggan menerima jawatan Ketua atau Khalifah kerana takutnya mereka terhadap balasan ALLAH  SWT diatas kelemahan dan kesalahan - kesalahan yang mungkin dilakukan mereka tanpa disedari mata kasar rakyat.

2.  Diatas ketakutan itulah mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.

3.  Sepatutnya setiap individu yang telah diangkat dan diamanahkan oleh rakyat jelata sebagai pemimpin sama ada  Ketua Kerajaan mahu pun Sultan  MESTILAH melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sifat Mahmudah seperti  yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah dan para sahabat.

4.  Imam Al Ghazali didalam Kitabnya  'Arbain Fi Usuluddin' telah menggariskan 10 Sifat Mahmudah ( Terpuji ) dan 10 Sifat Mazmumah ( Keji ).

5.  10 Sifat Mahmudah :

a.  Taubat
b.  Khauf ( Takut )
c.  Zuhud
d.  Sabar
e.  Syukur
f.  Ikhlas
g.  Tawakkal
h.  Mahabbah ( Kasih Sayang )
i.   Redha
j.   Zakrul Maut ( Mengingati Mati )

6.  10 Sifat Mazmumah :

a.  Banyak Makan
b.  Banyak Bercakap
c.  Marah
d.  Hasad
e.  Bakhil
f.  Cintakan Kemegahan
g.  Cintakan Dunia
h.  Bangga Diri
i.   Ujub ( Hairan Diri )
j.  Riak ( Menunjuk - nunjuk ).

7.  Di negara kita ,  seperti juga Raja - Raja di England dan di Eropah,  Sultan  atau Raja adalah terikat kepada Perlembagaan dan Undang - Undang Negara kerana mereka adalah Raja Berperlembagaan BUKAN  Raja Mutlak.

8.  Perlembagaan Negara adalah ‘Supreme’ atau duduknya di atas sekali , justeru Sultan juga seperti rakyat jelata harus akur dan menghormati Perlembagaan dan Undang - Undang.

9.  Sultan  TIDAK  BOLEH  bertindak sesuka hati mengikut selera dan cita rasa mereka.

10.  Negara ini adalah hak rakyat BUKAN  hak Sultan.

11.  'Tiada rakyat maka tiada Sultan’ - itu adalah kata - kata arwah ayah saya Abdul Ghafar Baba ( Tun ) semasa beliau membentangkan Rang Undang - Undang bersabit penubuhan Mahkamah Khas bagi membicarakan mana - mana Sultan yang melakukan sebarang kesalahan.

12.  Sultan hanya diberi perlindungan  kekebalan atau immuniti semasa menjalankan tugasan rasmi sahaja dan jika bersalah boleh dibicarakan di Mahkamah Khas.

13.  Jika sekiranya sebarang kesalahan dilakukan  di luar tugasan rasmi,   maka Sultan boleh diheret ke mana - mana mahkamah.

14.  Keluarga Sultan seperti Tengku Mahkota, Raja Muda, Tengku Bendahara, Tengku Laksamana dan lain - lain TIDAK ada sebarang perlindungan kekebalan atau immuniti pun, justeru mereka boleh diheret ke mahkamah pada bila - bila masa  sahaja apabila melakukan sebarang kesalahan. Dari segi undang-undang, mereka adalah sama seperti rakyat biasa.

15.  Di England, Queen Elizabeth  dan keluarganya pun terpaksa  membayar segala bentuk cukai seperti rakyat biasa yang lain.

16.  Difahamkan di suatu ketika dahulu, setiap Sultan hanya dibenar membeli 6 buah kereta untuk kegunaan peribadi tanpa perlu membayar cukai import dan cukai jalan, tetapi setelah  menonton beberapa video, Sultan Johor dan keluarganya didapati mempunyai kira - kira 300 buah kereta mewah. Sama ada kenderaan tersebut sudah dibayar cukai import dan cukai jalan -  Wallahhuallam !!

17.   Rakyat pula terpaksa berkerja keras  bagi menyediakan
wang deposit,  penjamin dan sebagainya untuk membeli kereta.

18.  Sultan  dan keluarga harus bersyukur diatas segala nikmat dan kemewahan yang dikecapi selama ini.

19.  Apa yang rakyat harapkan dari seseorang Sultan  ialah agar mereka menjalankan tugas yang telah diamanahkan mengikut Perlembagaan dan Undang - Undang.

20.  Dalam tulisan saya 'FAKTA  YANG  TAK  BOLEH  DI  PADAMKAN' pada Khamis 23/11/17  dan  'SULTAN  BUKAN  TUHAN’ pada Isnin 05/03/18 , saya telah sedikit sebanyak menyentuh perkara - perkara berhubung dengan pindaan-pindaan Perlembagaan Negara. Tulisan itu boleh dibaca di sini - tamrintunghafar.blogspot.my

21.  Sebelum pindaan tersebut rakyat sering membaca dan mendengar berita - berita bagaimana beberapa insiden jenayah yang dilakukan oleh Sultan Johor ketika itu terhadap rakyat marhaen.

22.  Sebagai contoh, bagaimana seorang budak Melayu dipukul dipadang golf sehingga membawa kematian,  seorang rakyat lain yang berketurunan Cina maut ditembak pada jarak dekat atas alasan pemuda tersebut seorang penyeludup, bagaimana dua orang rakyat berketurunan India dibelasah  dengan begitu teruk oleh Sultan yang dibantu oleh beberapa pengawal peribadinya dengan menggunakan tong gas masak diatas kesalahan memotong kereta yang dipandu oleh Sultan.

23. Kes bagaimana seorang jurulatih hoki , Douglas Gomez dicederakan oleh Sultan Johor merupakan kemuncak hilangnya kesabaran rakyat terhadap kelakuan Istana.

24.  Bahang kemarahan rakyat terhadap Sultan begitu membara.

25.  Sebagai Perdana  Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir telah diberi kata dua - selamatkan rakyat atau selamatkan Institusi Raja.

26.  Dengan meminda Perlembagaan, Tun Dr. Mahathir bukan sahaja dapat menyelamatkan rakyat dari terus dizalimi tetapi dalam masa yang sama beliau juga berjaya menyelamatkan Institusi Raja.

27.  Mungkin oleh kerana perkara tersebut berlaku semasa kebanyakan Sultan  kini ketika itu muda atau mungkin ada  yang sedang belajar di luar  negara, maka ia menyebabkan  mereka mungkin samar - samar tentang fakta sebenar.

28.  Dengan pendedahan ini ,  jika tidak mahu berterima kasih pun kepada Tun Dr. Mahathir di atas keikhlasan  beliau menyelamatkan  keadaan , saya memohon terutama kepada mana - mana  Sultan  tak perlulah berdendam dan membenci terhadap  beliau secara keterlaluan.

29.  Sultan sebenarnya bukanlah Dewa  atau Malaikat yang turun dari langit , jauh sekali jika dibandingkan dengan Firaun yang  merasai diri mereka sebagai  Tuhan.

30.  Sedar atau tidak, setiap kali kita Sujud kepadaNya , pungkok ( bahasa Kedah yang bermaksud punggung ) kita lebih tinggi dari muka  - itu bermakna seseorang itu janganlah nak bermegah - megah sangat dengan kedudukan dan kemewahan yang ALLAH SWT berikan.

31. Tindakan Tunku Mahkota Johor baru - baru ini menginfak atau menderma sebanyak RM1 juta kepada rakyat Johor di sebuah Pasaraya adalah dialu-alukan.

32.  Tetapi, alangkah lebih berkesan jika Sultan dan anaknya itu menggunakan kekayan yang ada untuk membantu keseluruhan rakyat Bangsa  Johor yang majoritinya sedang di bebani  kos sara hidup yang begitu tinggi.

33.  Berhubung  PRU yang akan berlangsung pada Rabu  09/05/18 ini , walaupun saya adalah Bangsa Melaka tetapi saya ingin mengingatkan rakyat Bangsa Johor dan keseluruhannya bahawa Sultan dan ahli keluarga mereka  TIDAK ADA  HAK
mencampuri, mempengaruhi atau menentukan siapa yang harus jadi calon dalam pilihanraya dan siapa pula yang tidak diperkenankan.

34.  Hak mengundi adalah hak mutlak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

35.  Jika Tunku Mahkota Johor benar - benar prihatin terhadap kebajikan rakyat, saya sarankan beliau menyerahkan takhta dan bertanding dalam PRU ini. Jika menang, Sultan bolehlah  melantik anaknya itu sebagai MB Johor yang baru.

36.  Mungkin dengan  kombinasi Ayah sebagai Sultan dan anak sebagai MB, Negeri Johor akan lebih maju lagi.

37.  Mengakhiri tulisan saya ini, elok  kita semua termasuk Sultan dan ahli keluarga mereka agar lebih mengingati tentang mati dan balasanNya kelak sambil membaca, menghayati dan memahami  Surah Al Ghaasyiyah ( 88 ) di m/s  592.

38. Segala pangkat, darjat, kekayaan, kemewahan dan  istana-istana AKAN kita tinggalkan buat selama - lamanya apabila sampai masa kita dipanggil mengadap Tuhan.

39. Ketika jasad kita dikebumikan, tidak akan ada seorang pun pengawal perbadi atau Askar Timbalan Setia yang akan bersetuju menemani kita disana kelak. Yang ada ialah iman dan amalan kita sahaja.

40.  Amalkanlah Sifat Mahmudah dan tinggalkan Sifat - Sifat Mazmumah.

41. Semoga Sultan, ahli keluarga  dan rakyat jelata menerima pandangan ikhlas saya ini dengan hati yang terbuka.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment