Sunday, 14 October 2018

20180625 UMNO TU BINATANG APA?

UMNO TU BINATANG APA?

Tamrin Tun Ghafar

Isnin  -  25/06/18
( 1 -  22 )

1.  Saya menyokong tindakan Hishamuddin Tun Hussein yang tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat tertinggi UMNO pada pemilihan kali ini.

2.  Saya yakin tindakan beliau ini berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban di mana beliau merasakan turut memikul beban kekalahan Barisan Nasional baru - baru ini.

3.  Memang benar Najib adalah punca utama kekalahan tersebut tetapi pemimpin - pemimpin  lain perlu  juga memikulnya bersama.

4.  Zahid Hamidi , Khairy Jamaluddin, Annuar Musa , Mat Hassan, Azeez Rahim dan ramai  lagi sepatutnya TIDAK LAYAK  bertanding dan dipilih oleh kerana tindakan Najib adalah  'collective responsibility' atau ' keputusan bersama' dengan semua pemimpin tersebut.

5.  Semasa zaman Najib merekalah hero  yang bermatian mempertahankan beliau.

6.  Kini mereka cuba menjadi hero lagi dengan mengemukakan berbagai cadangan bagi membaik pulih UMNO yang tinggal nyawa - nyawa ikan saja lagi.

7.  Soalnya. mengapa sekarang ? Mengapa mereka menikus di zaman Najib berkuasa dahulu?

8.  Jawapannya mudah, mungkin jika mereka lantang bersuara , mereka pasti akan dipecat seperti yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu adalah seorang Timbalan Perdana Menteri dan Shafie Apdal, Menteri Pembangunan Luar Bandar.

9.  Dalam ertikata lain mereka ini lebih mementingkan jawatan dan kedudukan daripada berjuang untuk parti, jauh sekali untuk rakyat.

10. Di dalam kesibukan berkempen masing - masing calon cuba menonjolkan diri,melalui poster,  memberi sampul surat yang berisi duit, malah ada yang sanggup berbohong  seperti sesetengah penjual ubat di kaki lima.

11. Mat Hassan bukan sahaja menyebarkan poster seolah - olah dia adalah regu Tengku Razaleigh sebagai Timbalan, malah sanggup mengeluarkan kenyataan bodoh  yang berbunyi "UMNO mesti
memilih pemimpin yang berintegriti"  yang membawa maksud   ketulusan, kejujuran dan keikhlasan. Bukankah sejak dilantik sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO NS, beliau telah melantik abangnya, Dato Azman sebagai Setiausaha Perhubungan,adiknya Dato Ghani sebagai Bendahari tak rasmi ,  menantu Dato Azman sebagai Ketua Puteri dan anak sebagai Naib Ketua Pemuda? Sebenarnya Mat Hassan cuba menonjolkan imej seorang yang tidak mementingkan diri dan keluarga.

12.  Beliau patut dihadiahkan cermin muka bersaiz  besar supaya senang nampak jerawat, parut dan kudis di wajahnya sendiri. Bayangkan jika Tengku Razaleigh dan beliau berjaya, kemudian sekiranya berlaku apa-apa kepada Tengku Razaleigh, maka beliaulah bakal menyandang jawatan Presiden UMNO. Nauzubillah!!

13. Karektor Mat Hassan ini juga mencerminkan budaya  sebahagian besar pemimpin UMNO sebenarnya.

14.  Tengku Razaleigh apabila kalah menentang Dr. Mahathir , beliau dan beberapa orang Menteri berhenti dari menjadi  anggota Kabinet.

15.  Bersama rakan - rakan beliau kemudian menubuhkan parti Semangat 46 setelah tidak dibenarkan menyertai UMNO ketika itu.

16.  Itu pada saya adalah tindakan waras sebagai pemimpin dan tidak hanya berkokok selepas parti menerima kekalahan.

17.  Jika sekiranya ahli - ahli UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian berfikir secara rasional, maka saya pasti mereka tidak akan memilih pemimpin yang menggunakan wang ringgit untuk memenangi pertandingan.

18.  Masalahnya sebahagian besar ahli UMNO tidak ubah seperti harimau sarkas, siapa yang hulur lebih, orang itulah yang akan mereka pilih.

19.  Pepatah Inggeris 'Old Habits Die Hard’ yang bermaksud Tabiat Yang
Sukar Hendak Diubah.

20.  Jika perangai ini berkekalan, tidak mustahil satu hari nanti cucu cicit kita akan bertanya "UMNO Tu Binatang  Apa Tok?”

21.  Bayangkan  satu hari nanti dalam program 'Hari Ini Dalam Sejarah' pengacara TV ketika itu membaca satu skrip "Hari ini 30 tahun dahulu pada 9hb Mei 2018 , UMNO dan parti komponennya Barisan Nasional telah ditolak oleh rakyat setelah memerintah selama 61 tahun".

22.  JANGAN  MENANG  SORAK  KAMPUNG  TERGADAI.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment