Sunday, 14 October 2018

20180805 SUNGAI KANDIS - PH PATUT BERTERIMA KASIH KEPADA NAJIB

SUNGAI  KANDIS -  PH  PATUT  BERTERIMA  KASIH  KEPADA  NAJIB

Tamrin Tun Ghafar

Ahad - 05/08/18

1.  Selepas peristiwa ngeri yang berlaku pada UMNO / BN pada PRU14 yang berlangsung pada 09/05/18, Najib Razak terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

2. Bagi UMNO dan Perikatan yang kemudian ditukar ganti kepada Barisan Nasional ( BN ) oleh Tun Razak, Perdana Menteri ke-2 yang juga bapa kepada Najib, kekalahan itu memang amat perit dan memalukan.

3.  Bak kata Najib, beliau tak sangka sama sekali bencinya rakyat terhadap beliau dan Rosmah, isteri tersayangnya.

4.  Pesan orang tua - tua, isteri itu boleh jadi madu dan boleh juga jadi racun.

5.  Melalui pilihanraya kecil ini  Najib cuba membuktikan segala dakwaan Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri tertua dalam dunia terhadap beliau adalah salah dan fitnah semata-mata.

6.  Tidak cukup dengan beliau berkempen bermati - matian,  pada saat akhir Rosmah juga turut  turun padang menemani suaminya dengan kepercayaan rakyat Sungai Kandis sudah bersedia memaafkan mereka.

7.  Terlalu terdesak, beliau  menggunakan taktik kotor dengan memomok - momok Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang kononnya tidak layak memegang jawatan itu.

8.  Dalam pilihanraya Sungai Kandis juga memperlihatkan kerjasama antara UMNO dan PAS tidak begitu menjadi.

9.  PAS  bersetuju menyokong  UMNO / BN  dengan tidak meletakkan calon dan mengarahkan
ahli - ahlinya mengundi calon UMNO, Lokman Noor Adam.

10.  Bayangkan tanpa sokongan padu PAS, berapakah undi sebenar yang UMNO akan diperolehi oleh calon BN?

11. Dah terang lagi bersuluh, rupa-rupanya majoriti rakyat masih tidak boleh memaafkan Najib dan Rosmah diatas segala kepincangan serta skandal yang mereka lakukan semasa berkuasa dahulu.

12.  Wang tunai serta beg tangan berjenama dan barang - barang kemas emas dan permata bernilai melebihi RM 1 Billion kepunyaan mereka yang disembunyikan telah dirampas akhirnya.

13.  Mungkin lebih banyak lagi yang telah dibawa lari ke luar negara dan tidak diketahui oleh kita semua.

14.  Kepada saya, pengelibatan Najib dan Rosmah adalah malapetaka  sekali lagi bagi UMNO dan BN.

15.  Ada dua lagi pilihanraya kecil  akan diadakan dalam masa terdekat ini  - satu di Belakong dan satu lagi di Seri Setia.

16. Bagi membuktikan berkemungkinan  pengundi Sungai Kandis tersilap pangkah dan yang penting bagi membuktikan mereka tak bersalah, apakah Najib dan Rosmah
bersedia turun padang di kedua - dua kawasan itu?

17.  Nasihat saya adalah lebih baik mereka berdua ini  menumpukan masa bagi menghadapi tindakan undang - undang daripada membantu PH menang seperti apa yang berlaku di Sungai Kandis.

18.  Semoga Mat Maslan dan pemimpin - pemimpin UMNO dan BN yang lain boleh menyampaikan nasihat saya ini kepada bekas pemimpin mereka itu.

Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment